KUALA LUMPUR, 9 Feb – Penganalisa politik, Dr. Azmi Hassan menjangkakan percaturan persepsi  dijangka akan menjadi lebih hebat lagi terutamanya menjelang pilihanraya umum ke 14 di yang tidak lama lagi akan diadakan di negara ini.

Menurut Pakar Strategis Geopolitik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, percaturan persepsi agak berbeza dengan berita-berita palsu kerana persepsi itu  menggunakan berita-berita yang kemungkinan besar adalah berita betul, tetapi ianya dicanang, diputar dan dimanipulasikan untuk mempengaruhi seseorang individu itu dalam membuat keputusan.

“Jadi jika dikaitkan dengan pilihanraya akan datang, bila persepsi itu berlaku secara sedar atau pun lebih bahaya lagi secara tidak sedar, keputusan yang dibuat itu nanti akan berlandaskan bukan fakta yang betul, tetapi persepsi yang telah dimanipulasikan.

“Sebab itu penting dalam percaturan persepsi itu, rakyat ataupun pengundi perlu mampu untuk menepis mana yang betul dan mana yang tidak betul. Dan bagaimana untuk menepisnya ialah, kita perlu mempunyai pengetahuan dalam sesuatu isu. Jangan mudah percaya pada sesuatu isu”, katanya dalam temuramah eksklusif bersama UMNO Online.

Dalam dunia alam maya ini jelas beliau, terutama sekali di dalam media sosial, sama ada facebook, twitter , intagram, percaturan persepsi ini mudah dipermainkan.

“Jadi bahaya kerana apabila keputusan  ketika membuat undi pada pilihanraya nanti, berlandaskan persepsi yang tidak betul, nasib yang menimpa negara selepas itu tidak akan dapat dikembalikan seperti yang sedia ada.

“Jadi amat penting sekali kita kepada semua rakyat memahami percaturan persepsi ini. Sebab itu, akta berita palsu akan dibentangkan di parlimen pada bulan Mac ini, antara sebabnya ialah untuk mengekang permainan atau percaturan persepsi ini,”  ujarnya.

Beliau seterusnya berkata, antara contoh-contoh permainan persepsi ini pernah menjatuhkan atau menaikkan sebuah pemimpin dan negara berlaku di beberapa buah negara di dunia seperti Amerika Syarikat, Perancis, Jerman dan lain-lain lagi.

“Antara contoh paling mudah ialah pada tahun lepas, ketika pilihanraya presiden Amerika Syarikat, permainan persepsi yang dilakukan oleh Presiden Donald Trumph begitu hebat sekali. Permainan persepsi yang dilakukan oleh Donald Trumph itu telah membuat rakyat Amerika percaya hanya beliau sahaja yang boleh menyelamatkan Amerika Syarikat. Ini kerana Presiden Donald Trumph begitu pintar bermain persepsi rakyat Amerika.

“Begitu juga dengan pemilihan Presiden Perancis pada bulan Mei tahun lepas, Presiden Emmanuel Macron hampir tewas kepada parti nasionalis Perancis, Marine Le Pen, apabila Rusia bermain percaturan persepsi dengan berita-berita palsu”, katanya.

Begitu juga tambah beliau dengan Brexit yang berlaku di United Kingdon,m (UK) satu pilihanraya pendapat umum pada bulan Jun 2016, ianya adalah berasaskan persepsi sehingga rakyat Britain mengambil keputusan untuk keluar dari kesatuan Eropah.

“Dan hari ini, rakyat Britain begitu menyesal kerana mereka memilih untuk keluar daripada kesatuan Eropah kerana terpedaya dengan pengaruh permainan persepsi yang salah, dengan dakwaan UK  akan lebih untung sekiranya keluar daripada kesatuan Eropah.

“Tapi hakikatnya hari ini, semua orang tahu bahawa UK akan lebih rugi bila keluar dari kesatuan Eropah itu. Keputusan yang dibuat oleh rakyat di negara itu untuk keluar daripada kesatuan Eropah adalah kerana terpengaruh dengan permainan persepsi,” ujarnya.

Kata Azmi lagi, itu merupakan contoh yang paling nyata bagaimana permainan persepsi ini boleh mempengaruhi rakyat untuk membuat pemilihan yang salah dalam membuang undi.

“Jikalau rakyat di negara ini termakan dengan permainan persepsi yang mempunyai agenda, maka keputusan itu akan membawa bencana kepada negara, dan keputusan yang dibuat itu tidak boleh ditarik balik lagi.

“Jadi rakyat perlulah berhati-hatil terutamanya dalam  menjelang pilihanraya umum yang akan berlaku tidak lama lagi, agar kita tidak terperangkap di dalam permainan persepsi pihak-pihak tertentu, supaya tidak membuat keputusan yang salah yang boleh menyebabkan kita menyesal di kemudian hari,” tegasnya.-MediaUMNO

kredit : umno-online.my