DARI KETUA BAHAGIAN Hipokrasi Tun M, – Pakatan Harapan

Hipokrasi Tun M, – Pakatan Harapan

19

APABILA berbicara mengenai Tun Dr. Mahathir Mo­hamad, ada pihak yang mendakwa kononnya aura be­liau begitu hebat menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyerang bekas Perdana Menteri itu dari segenap penjuru.

Bagi penulis, kritikan oleh pemuja-pemuja Dr. Mahathir itu sebenarnya bukanlah satu serangan politik, sebaliknya satu imbasan untuk memperlihatkan betapa hipokritnya bekas Presiden UMNO itu dalam berpolitik.

Dr. Mahathir sanggup duduk sebaris dengan pemimpin dan kelompok yang sebelum ini beliau anggap paling rasis di dunia ketika 22 tahun berkuasa sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Malah Dr. Mahathir juga tidak berasa bersalah apabila bersedia menerima semula seorang pemimpin yang sebelum ini dikecam dan dihina sebagai orang yang tidak layak menjadi pemimpin negara kerana bermoral rendah, tetapi sekarang individu yang dianggap pengkhianat itu diterima sebagai rakan seperjuangan semata-mata mahu memenuhi agenda politik peribadi.

Kedengarannya lucu, tetapi itulah hakikat perjalanan politik Dr. Mahathir di hujung usianya. Apakah Dr. Mahathir menyangkakan rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu mudah lupa?

Sebab itu hari ini, sudah ada kedengaran suara-suara yang melontarkan kata-kata bahawa pemimpin dan ahli UMNO di seluruh negara ditipu ‘hidup-hidup’ selama 22 tahun oleh Dr. Mahathir melalui kelicikan politik yang bertunjangkan prinsip iaitu matlamat menghalalkan cara.

Masakan tidak, selama 22 tahun beliau memerintah negara, apa yang tidak pernah beliau hamburkan kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengenai betapa rasisnya manusia itu dan parti yang dipimpinnya.

Selama 22 tahun, beliau mendendangkan lagu DAP itu rasis kepada orang Melayu, terutamanya ahli-ahli UMNO sehinggakan tanggapan tersebut sukar dibuang daripada pemikiran orang Melayu sehingga ke hari ini dan mungkin untuk tempoh berpuluh tahun lagi.

Begitulah kuatnya pendoktrinan yang dilakukan beliau terhadap orang UMNO khususnya dan orang Melayu secara amnya, betapa rasisnya DAP dan betapa tidak la­yaknya parti itu untuk menjadi pentadbir negara. Dan jika DAP dibiarkan menerajui negara, maka bumi Malaysia ini katanya akan kucar-kacir.

Tetapi hari ini, beliau mampu tersenyum selamba duduk di tengah-tengah barisan pemimpin DAP di dalam mesyuarat agung parti tersebut, sesuatu yang tidak pernah terbayang oleh ahli-ahli UMNO dan orang Melayu, tanpa ada rasa bersalah atau segan silu dengan barisan manusia dan parti yang pernah dikutuk, dicerca dan dianggap tidak berguna selama 22 tahun!

Apa yang jelas hari ini, wajah Dr. Mahathir yang sebenar terserlah, wajah seorang pemimpin hipokrit, seorang pemimpin yang hanya mempergunakan orang Melayu semata-mata untuk menjadi seorang yang berkuasa, seorang Perdana Menteri dan mempergunakan UMNO sebagai wadah untuk mengaut kekayaan berbilion-bilion untuk dirinya, keluarga dan kroni-kroninya.

Penulis yakin, jika di zamannya dulu Pas lebih kuat ­daripada UMNO dan memerintah negara, sudah tentu beliau tidak akan menjadi ahli UMNO, sebaliknya akan menjadi ahli Pas kerana hanya melalui parti yang kuat dan memerintah negara, matlamat peribadinya untuk menjadi Perdana Menteri boleh dicapai.

Beliaulah pengamal tegar prinsip politik matlamat menghalalkan cara, seperti mana yang dapat kita lihat melalui tindakannya hari ini.

Penulis menganggap maruah pemimpin pembangkang hanya di bawah tapak kaki Dr. Mahathir sahaja kerana, betapa mudahnya bekas Perdana Menteri itu mematikan perjuangan pembangkang selama ini yang 22 tahun bermati-matian menentang pemerintahannya yang dianggap sebagai pemerintahan ‘MahaFiraun’ dan ‘Maha Zalim’.

Takutnya mereka sehingga menjadikan manusia yang dianggap ‘zalim’ dan ‘kejam’ itu sebagai calon Perdana Menteri mereka.

Tindakan mencalonkan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri jelas memperlihatkan pemimpin-pemimpin pembangkang hanyalah bertaraf pengikut yang sanggup melakukan apa saja asalkan rasa lapar mereka terhadap kuasa dapat terisi.

Mereka tidak peduli tentang betapa ramai rakyat yang telah terpenjara, yang telah jadi sengsara akibat terpe­ngaruh dengan laungan perjuangan palsu mereka ketika menentang insan yang mereka gelarkan sebagai ‘Maha Firaun’ itu.

Apa yang lebih menyedihkan apabila keluarga PKR yang diterajui dinasti Datuk Seri Anwar Ibrahim sanggup menelan segala pahit maung serta luka maruah diri dan keluarga mereka yang telah dipijak dan dihina oleh insan yang pernah berkata suami dan ayah mereka itu seorang peliwat dan homoseksual, serta memberi lampu hijau untuk dihumban di dalam penjara dengan bersetuju meletakkan insan itu kembali sebagai calon Perdana Menteri mereka.

Politik kegilaan apakah yang sedang dipersembahkan kepada rakyat di negara ini? Penulis yakin sebahagian besar rakyat di negara ini sedar akan wayang kulit yang sedang dipersembahkan oleh pemimpin Pakatan Harapan dan Dr. Mahathir.

Penulis percaya rakyat terbanyak sudah faham dan nampak tentang nawaitu dan matlamat sebenar Dr. Mahathir dan pemimpin pakatan yang rakus ingin berkuasa, dengan terus cuba untuk memperbodohkan rakyat agar menjadi kuda tunggangan untuk mencapai matlamat peribadi dan agenda kepartian mereka.

DATUK ZEIN ISMA ISMAIL ialah Ketua Penerangan UMNO Selangor.

© Utusan Melayu (M) Bhd