Sudah pasti sepanjang tahun ini pelbagai kenangan pahit dan manis kita lalui. Bagi rakyat Selangor, terlalu banyak perkara yang mereka tempuh bukan sahaja sepanjang tahun 2017 tetapi juga sejak pentadbiran kerajaan negeri berada di bawah kepemimpinan pakatan pembangkang yang disertai oleh DAP,PKR dan Pas.

Keadaan seolah-olah menjadi bertambah buruk apabila Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengambil alih jawatan Menteri Besar daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Azmin yang diharapkan akan membawa lebih banyak perubahan kepada Selangor sebaliknya dilihat semakin gagal menguruskan negeri itu.

Terdapat banyak isu yang menunjukkan Azmin gagal sebagai Menteri Besar. Bagaimanapun beliau berjaya menutupi semua kegagalan itu melalui permainan politik licik. Azmin lebih banyak beretorik dalam menyelesaikan masalah rakyat dan berhadapan dengan sesuatu isu.

Kalau mahu digariskan terlalu banyak perkara yang menunjukkan kegagalan Azmin. Tiada apa yang membanggakan bagi Selangor di bawah kepemimpinan Azmin, sebaliknya sehingga ke hari ini di penghujung tahun 2017, masih terdapat pelbagai kemelut dan krisis di negeri itu gagal ditangani oleh beliau.

Penulis tidak perlu menyenaraikan kesemua masalah di negeri tersebut tetapi cukup mengupas beberapa isu yang menjadi bukti hakikatnya Azmin bukanlah pentadbir yang baik sebaliknya hanya bijak menutupi kegagalan dan kelemahannya melalui penampilan dan ucapan semata-mata.

Antara perkara yang sehingga kini tidak diselesaikan oleh Azmin biarpun kita sudah mahu melangkah ke tahun baru ialah;

· Masalah bekalan air berlanjutan.

– Ramai yang mengecam Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos apabila beliau memakai tuala melakukan demonstrasi membantah masalah bekalan air di Selangor, tetapi apa yang beliau lakukan adalah bagi menyampaikan mesej bagaimana kerajaan negeri gagal mengatasai isu itu biarpun ia sudah berlanjutan sejak 2012 lagi.

– Dalam isu ini Azmin lebih banyak menuding jari menyalahkan pihak lain sedangkan beliau sendiri tidak bersungguh-sungguh mengatasinya khususnya dalam mendapat kerjasama daripada kerajaan pusat.

– Azmin ternyata terlalu ego. Beliau tidak mempunyai apa-apa pelan tindakan krisis air. Akibatnya dari semasa ke semasa masalah bekalan air akan terus menghantui negeri tersebut yang dianggap negeri terkaya di negara ini.

· Integriti semakin musnah.

– Kerajaan negeri Selangor sering menegaskan, mereka telus dan penuh integriti, tetapi sehingga ke hari ini Selangor merupakan satu-satunya negeri yang tidak menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

– Kalau Azmin benar-benar memiliki integriti yang tinggi, beliau tidak akan takut untuk menandatangani ikrar tersebut, bagaimanapun alasan keengganan Azmin mulai terjawab apabila anak saudaranya ditahan oleh SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah aktiviti perlombongan pasir secara haram.

– Malah kredibiliti dan integriti kerajaan negeri juga semakin dipertikaikan apabila tercetus isu pemilikan tanah di Kampung Sungai Yu, Permatang di Tanjong Karang. Setakat ini sebanyak 15 individu termasuk seorang exco kerajaan negeri dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan.

· Isu perumahan rakyat

– Sepanjang menjadi Menteri Besar, Azmin ternyata gagal menangani isu ini. Mewujudkan rumah mampu milik untuk rakyat hanya retorik dan janji-janji kosong. Pada masa sama, penduduk di projek pangsapuri kos rendah dan sederhana terus dibelenggu masalah infrastruktur, tetapi apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar campur tangan Azmin menuduh Noh mahu bermain politik.

· PKNS DAN Skandal UNISEL

– Dalam isu perumahan juga, Azmin gagal untuk memastikan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kembali kepada objektif asal penubuhannya iaitu membantu rakyat memiliki rumah.

– PKNS ketika ini jelas tidak berjaya membantu orang Melayu memiliki rumah. Sebaliknya seperti teguran Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah perbadanan itu seolah-olah bersaing dengan pemaju lain dan terlalu ghairah mengejar keuntungan.

– Apa yang berlaku di Unisel lebih teruk apabila wujudnya dakwaan melibatkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dengan syarikat Jana Niaga Sdn.Bhd JNSB) dan universiti itu. Ia berkaitaan campur tangan MBI dalam penyelesaian pertikaian kontrak antara JNSB dan Unisel.

Kesimpulannya, dalam kita menyambut tahun baru 2018, penulis berharap rakyat Selangor akan membuka mata untuk melihat dan menilai bahawa pentadbiran negeri itu di bawah Azmin sebenarnya penuh dengan masalah dan skandal.

Namun begitu semuanya berjaya ditutupi oleh Azmin melalui sandiwara politik dan sikap suka menuding jari menyalahkan pihak lain. Sikap Azmin itu sudah tentulah tidak akan memberikan keuntungan kepada kesejahteraan rakyat Selangor.

Bagaimanapun masih belum terlambat untuk rakyat Selangor melakukan perubahan. Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pasti akan diadakan pada tahun 2018. Oleh itu sambutlah tahun baru 2018 itu dengan kesyukuran dan pada masa sama menanam keazaman untuk melaksanakan perubahan politik di negeri tersebut.

Langkah itu bukanlah semata-mata mahu memberi kuasa kepada BN, tetapi untuk memastikan negeri yang kita cintai itu tidak terus dirosakkan oleh watak-watak ahli politik seperti Azmin.

kredit – Utusan