DARI KETUA BAHAGIAN Kenapa Azmin ‘meroyan’?

Kenapa Azmin ‘meroyan’?

22

KETELUSAN, memerangi rasuah dan penyelewe­ngan adalah ‘nyanyian’ pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam usaha menunjukkan kepada rakyatnya kononnya mereka lebih baik daripada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN).

Satu ketika dahulu rakyat juga menyaksikan bagaimana pemimpin-pemimpin pembangkang sanggup berkunjung ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyatakan sokongan kepada agensi itu untuk melaksanakan tugas mereka tanpa rasa takut atau gentar kepada sesiapa.

Kesimpulan daripada tindakan itu menggambarkan Pakatan Harapan akan menyokong apa juga langkah atau siasatan yang dilakukan oleh SPRM tanpa mengira pihak mana pun terlibat.

Mereka mula melancarkan sera­ngan ke atas SPRM dan menganggap agensi itu mengikut telunjuk pemimpin kerajaan dalam melakukan tindakan. Terbaharu Azmin sendiri secara terbuka mahu SPRM bertindak secara profesional tanpa dipe­ngaruhi oleh mana-mana tangan eksekutif dan paling ketara menuduh SPRM mengikut te­lunjuk Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Azmin sebenarnya semakin tidak keruan apabila SPRM menahan anak saudaranya bagi membantu siasatan kes melombong pasir dan terkini membuka semula siasatan skandal tanah di Kampung Sungai Yu, Permatang.

Satu demi satu kes berlaku menyebabkan Azmin semakin bimbang reputasi pentadbiran kerajaan negeri yang selama ini diuar-uarkan bersih dan penuh integriti hakikatnya indah khabar daripada rupa.

Bagi menutup kepincangan yang semakin terdedah, Azmin dan pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri Se­langor mula melakukan serangan ke atas SPRM. Mereka mahu menggambarkan kepada rakyat kononnya apa berlaku adalah satu konspirasi dan bertujuan menjatuhkan pemerintahan kerajaan negeri diketuai DAP.

Sebenarnya, kalau betul Azmin memperjuangkan ketelusan dan memiliki integriti yang tinggi, beliau tidak perlu bimbang dengan siasatan SPRM dalam apa juga kes.

Lagipun perkara itu baharu sahaja di peringkat siasatan, kenapa perlu Azmin melatah dan menuduh SPRM dengan pelbagai tuduhan tidak berasas? Sepatutnya Azmin ber­syukur kerana melalui siasatan dijalankan ia akan mampu membersihkan nama Kerajaan Negeri Selangor daripada sebarang skandal yang boleh menjejaskan reputasinya.

Melemparkan tuduhan dengan mengatakan SPRM mengikut telunjuk pemimpin-pemimpin BN bukan sahaja dangkal malah membuktikan Azmin tidak ikhlas dalam memperjuangkan ketelusan dan menegakkan integriti.

Kalau benar SPRM mengikut arahan pemimpin BN kenapakah ada pemimpin parti itu turut ditahan dan disiasat dalam pelbagai kes sebelum ini? Bolehkah pemimpin-pemimpin BN menuduh SPRM tunduk kepada tekanan pemimpin-pemimpin pembangkang?

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin BN tidaklah sedangkal pemimpin-pemimpin pembangkang dalam berhadapan dengan sesuatu isu. Kalau betul ada kes yang SPRM mempunyai asas untuk bertindak, biarlah agensi itu menjalankan tugasnya.

Sama ada seseorang itu bersalah atau tidak, serahkan sahaja kepada hasil siasatan dan kalau dibawa ke mahkamah, benarkan proses undang-undang mengambil tempatnya.

Oleh itu, penulis menasihatkan Azmin berhentilah ­daripada berperangai seperti ‘kera kena belacan’ apabila ada siasatan dilakukan oleh SPRM melibatkan pentadbiran kerajaan negeri.

Azmin tidak perlu hipokrit dalam bercakap soal ke­telusan dan melemparkan tuduhan yang bukan-bukan kepada SPRM. Sebagai Menteri Besar, Azmin sepatutnya menyokong apa jua tindakan agensi berkenaan dalam usaha memastikan penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa tidak berlaku.

Janganlah bercakap berdegar-degar soal mahu ­memerangi penyelewengan dan rasuah tetapi apabila siasatan melibatkan pemimpin-pemimpin pembangkang termasuk di Selangor mula kelam-kabut.

Dalam isu Kampung Sungai Yu, seperti mana kata Noh, bukan BN yang mencetuskannya tetapi ia dibangkitkan oleh Hannah Yeoh, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) itu yang mengesahkan ada penyelewengan.

Kenyataan itu membuktikan memang ada sesuatu tidak kena dan memerlukan siasatan rapi, justeru apabila SPRM membuka kembali siasatan ia bukan salah pemimpin BN tetapi berdasarkan bukti sedia ada. Azmin sepatutnya memahami senario ini bukannya membuat tuduhan yang bukan-bukan.

Penulis berharap Azmin akan lebih matang dalam mengendalikan sesuatu isu. Jangan berikan isyarat yang salah kepada rakyat. Bercakap soal ketelusan dan integriti tetapi bila kena batang hidung sendiri mula ‘meroyan’ menyalahkan BN.

Kalaupun Azmin mahu bermain politik, beliau sepatutnya berhati-hati apatah lagi jika boleh menimbulkan persepsi beliau mahu mengheret SPRM dalam kancah politik. SPRM bukanlah badan politik dan apa juga tindakan yang dilakukan adalah berdasarkan kepada laporan dan bukti yang diperoleh.

Azmin sepatutnya berterima kasih kepada SPRM kerana agensi itu telah berjaya membuktikan mereka bertindak berdasarkan kepada profesionalisme dan bukannya didorong oleh asakan politik mana-mana pihak.

Sepatutnya dalam situasi sekarang, Azmin berlapang dada dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan terhadap apa juga kes melibatkan pentadbiran kerajaan negeri.

Melalui cara itu ia akan memberi peluang kepada Azmin dan pentadbiran kerajaan negeri membuktikan ketelusan mereka dalam soal integriti dan bukannya bertindak seolah-olah ada perkara yang mahu disembunyikan.

DATUK ZEIN ISMA ISMAIL ialah Ketua Penerangan UMNO Selangor.

© Utusan Melayu (M) Bhd