SUBANG, 20 Dis – Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail mempertikaikan tindakan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali yang membaca petikan Bible dalam ucapannya di program sambutan Hari Krismas peringkat negeri Selangor dan menyifatkan tindakannya itu telah menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat, khususnya umat Islam di negara ini.

Kata Zein, Azmin sebagai umat Islam sepatutnya mengambil petikan daripada Al Quran dan bukannya mengambil petikan kitab-kitab lain yang boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ini.

“Kita sebagai umat Islam, saya rasa adalah lebih molek sekiranya Menteri Besar Selangor mengambil petikan daripada ayat-ayat Al Quran yang menjadi pegangan umat Islam.

“Ketika umat Islam di zaman Rasulullah saw berhijrah dan meminta perlindungan kepada Raja Najasyi yang beragama Kristian, para sahabat menyebut petikan ayat Quran dalam pertemuan mereka dengan Raja tersebut yang memperlihatkan titik persamaan menyembah Allah, Tuhan yang satu di dalam Islam dan juga Kristian.

“Dalam hal ini, saya lihat apa yang Azmin lakukan dengan memetik ayat daripada kitab Bible sebenarnya bertujuan untuk meraih sokongan politik, khususnya di kalangan penganut Kristian.

“Jangan gadaikan akidah kerana tamakkan kuasa. Matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Sebagai seorang beragama islam, kita wajib menerima sepenuhnya apa yang telah menjadi syariat Islam,” tegasnya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambah beliau yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Subang, seseorang yang beragama Islam perlu mengambil kira tentang hukum agama iaitu halal dan haram dalam melakukan sesuatu perkara.

“Dalam bab akidah sebagai seorang muslim, adalah haram kita mengiktiraf dan meredai tentang akidah agama yang lain. Telah nyata Allah swt hanya menerima islam sebagai agama yang diredhainya. Di dalam Quran Allah telah berfirman,  bahawa agama yang diredhai oleh Allah hanyalah islam.

“ Di dalam Islam, siapa yang menyatakan semua agama adalah sama, hukumnya kufur. Umat islam yang mengikiraf bahawa agama lain juga benar adalah kufur.

“Ada satu riwayat di mana pernah terjadi di suatu ketika Baginda Nabi saw melihat Saidina Umar Al Khattab membaca kitab Taurat, lalu Baginda menjadi marah kerana apabila alquran diturunkan bermakna segala kitab terdahulu telah terbatal. Kata baginda saw, jika para Nabi2 terdahulu masih hidup, mereka tetap wajib mengikut Al Quran,” ujarnya.

“Islam bukan agama yang extreme atau melampau. Islam tidak menafikan hak agama lain. Islam tidak menghalang agama lain untuk diamalkan. Tetapi islam melarang umatnya dari mengikut ajaran agama lain.

“Firman Allah swt surah Al Kafirun jelas sebagai sempadan untuk membezakan antara batasan Islam dan agama yang lain,” katanya lagi.

Sehubungan itu, sekiranya Azmin Ali memetik ayat dari kitab Bible itu untuk meraih sokongan dan undi daripada penganut Kristian, maka jelaslah beliau seorang ahli politik yang sanggup mengenepikan sola akidah kerana mahu meraih sokongan orang bukan islam.

“Tindakan beliau itu seolah-olah menjatuhkan martabat islam dan diletakkan setaraf dengan agama yang lain sedangkan Islam itu adalah agama yang paling tinggi dan mulia.

“Sebelum berbuat sesuatu, saya nasihatkan Azmin agar merujuk terlebih dulu kepadapada pada alim ulama. Jangan hanya berpandukan logik akal kerana agama mesti dipimpin oleh wahyu bukan didahului oleh akal sendiri.

“Bagi saya, ini merupakan satu episod malang bagi rakyat Selangor, khususnya umat Islam di negeri ini kerana mempunyai seorang Menteri Besar yang ‘jahil murakkab’ sehingga sanggup menggadaikan prinsip kemuliaan Islam demi meraih sokongan undi untuk mempertahankan kekuasaannya,” ujarnya.