Laungan Hidup UMNO!, Hidup BN, Hidup Malaysia! bergema di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2017 menjadi laungan perang yang menandakan bermulanya misi penting gabungan parti pemerintah menghadapi ‘bapa segala pilihan raya’, yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan penangguhannya meniupkan semboyan mengerah seluruh perwakilan dan anggota parti menggempur habis-habisan bagi mendapatkan kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk mempertahankan Putrajaya.

“Dengan semangat yang membara dan api perjuangan yang semakin menyala-nyala, tugas kita kini hanyalah satu, jagalah amanat dan wasiat ini sampai bila-bila, tiga azimat menjadi pendinding kekebalan dan kekuatan dalam parti berkaromah ini, Bersatu, Bersetia, Berhidmat,” kata beliau.

Pada perhimpunan terakhir sebelum PRU14 itu, Najib meninggalkan tiga bekalan berharga supaya pimpinan di peringkat Bahagian UMNO menyelesaikan sebarang masalah secara ‘musyawarah’ (berunding) dalam semangat kekeluargaan parti, menerima keputusan parti dalam menentukan calon atas semangat cintakan parti serta berjuang dan bertempur dengan penuh berani bagi mencapai kemenangan yang besar.

Kini terpulang kepada perwakilan dan anggota UMNO untuk menterjemahkannya dalam bentuk tindakan, menyahut seruan Najib bagi menentukan survival dan destini parti yang tidak pernah tewas pilihan raya sejak 1955 itu.

Parlimen Penggal Ke-13 akan berakhir pada 24 Jun 2018 dan jika ia tidak dibubarkan sebelum tarikh akhir berkenaan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas itu.Pada masa ini, UMNO mempunyai 86 kerusi daripada 132 kerusi Parlimen BN manakala pembangkang memiliki 88 kerusi dengan dua lagi diwakili Bebas.

Obor perang dinyalakan semasa Najib menyampaikan ucapan dasar presiden pada perasmian perhimpunan Khamis lepas dengan Najib melaungkan lima seruan dan semboyan untuk menentukan kemenangan UMNO dan BN pada PRU14.

Lima laungan itu adalah UMNO dan BN perlu bergerak sebagai satu pasukan,bergerak penuh yakin bahawa UMNO berada di landasan yang benar dan betul serta bertindak dengan pantas untuk menyelesaikan cabaran yang dihadapi secara syura dan kekeluargaan.

Selain itu, anggota UMNO diseru bertarung di alam siber dan dunia digital sebagai pejuang siber, dan bertarung dengan semangat juang dan tekad yang tinggi bahawa UMNO melakukan sehabis baik, lalu berserah dan bertawakal kepada Allah.

Gendang perang turut dipalu Naib Presiden yang menjalankan tugas timbalan presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan serentak perhimpunan agung sayap Wanita, Pemuda dan Puteri apabila menetapkan kemenangan besar majoriti dua pertiga bagi UMNO dan BN.

Seruan itu seterusnya disahut pemimpin ketiga-tiga sayap tersebut iaitu Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Khairy Jamaluddin dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang berkikrar untuk memastikan pergerakan masing-masing melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan sebaik mungkin.

Perhimpunan kali ini juga menyaksikan solidariti perwakilan apabila mengambil ketetapan sebulat suara meluluskan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Ini sekaligus menyaksikan gandingan Najib dan Ahmad Zahid mendapat pengiktirafan perwakilan untuk mengemudi parti menghadapi lawan pada PRU14.

Najib ketika mengulas keputusan itu menyifatkan perwakilan mementingkan perpaduan dalam parti dan tidak mahu membuang masa dalam politik yang tidak membina, sekali gus memperkukuh parti serta mengelak pertikaian dalaman.

Walaupun perhimpunan parti tunjang kerajaan itu berkisar mengenai PRU14, namun sebagai pembela kepada isu kemanusiaan sejagat, UMNO dan kerajaan turut melaungkan penolakan sekeras-kerasnya pengumuman Amerika Syarikat menjadikan kota suci ketiga umat Islam, Baitulmuqaddis, sebagai ibu negara Israel.

Najib turut memuji perhimpunan agung kali ini sebagai mungkin yang terbaik pernah dihadirinya terutama daripada segi ‘mood’, sentimen dan kehadiran para perwakilan serta pemerhati.