KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia, Datuk Zaini Hassan menganggap isu berkaitan ‘slow leaner’ oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini adalah satu putar belit dari pihak tertentu.

Katanya, beliau memahami bahawa Tengku Adnan bercakap dalam satu konteks yang begitu baik dan begitu murni sebagai satu motivasi kepada para pelajar tetapi telah diambil sebagai satu konteks yang amat berbeza.

“Bagi saya ini adalah satu spinning, satu putar belit,” katanya dalam sidang media bersama Tengku Adnan selepas mengadakan pertemuan tertutup yang turut disertai AJK Alumni UiTM, di Ibu Pejabat UMNO, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak luar yang tidak ada kaitan dengan UiTM agar tidak mengambil kesempatan.

“Biar kami sahaja iaitu 700 ribu ahli alumni ini yang selesaikan masalah kami, kami tidak mahu pihak di luar sana yang tidak ada kaitan dengan kami menggunakan kesempatan ini untuk meraih political mileage.

“Kami amat berbesar hati dengan pertemuan ini malah Datuk Seri Tengku Adnan sebagai Setiausaha Agung sebuah parti terbesar di Malaysia sanggup menyatakan permohonan maaf walaupun niat ucapannya adalah berbeza” ujarnya.

Terdahulu, Tengku Adnan telah menerangkan bahawa ucapan beliau dalam pada majlis Anugerah Nadi Negara 2017 Sabtu lalu telah disunting dan tidak disiarkan sepenuhnya lantas menjadi tular sehinggakan mengundang kritikan khususnya golongan pembangkang.

“Yang saya lakukan adalah satu ucapan motivasi, ada puak tertentu yang sengaja ambil kesempatan untuk laga-lagakan UMNO dan UiTM.

“Kerajaan telah memerintah 60 tahun banyak jasa yang kadang kala telah diambil mudah, kerajaan telah sediakan keselamatan maka dengan keselamatan kita boleh lakukan macam-macam, mencari rezeki, perniagaan pembelajaran dan sebagainya.” – MediaUMNO