KUALA LUMPUR, 5 Dis – Majlis Penyampaian Geran ‘Mobile Entrepreneur’ kepada Usahawan Muda Puteri yang disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia hari ini adalah salah satu inisiatif Puteri UMNO dalam menggalakkan wanita-wanita muda menceburi dalam bidang perniagaan.

EXCO Pergerakan Puteri UMNO, Nor Hazreena Mohamad Hashim berkata, geran ini adalah usaha sama antara Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Giatmara bagi membantu usahawan-usahawan wanita muda untuk menjalankan perniagaan walaupun mereka tidak mempunyai premis perniagaan.

“Geran ini diberikan kepada Puteri untuk usahawan bergerak khususnya dari Pergerakan Puteri UMNO dan kita mengharapkan supaya lebih ramai usahawan-usahawan wanita di luar sana terutamanya usahawan wanita muda tidak hanya menghadkan perniagaan mereka di dalam kedai atau rumah mereka sahaja.

“Sekiranya mereka tidak mempunyai kedai kami akan memberikan bantuan seperti geran ini dan motorsikal untuk memudahkan mereka bergerak dari rumah ke rumah pelanggan masing-masing,” ujarnya yang juga penyelaras program tersebut.

Bagi penerima geran ini, Geran Mobile Entrepreneur dilihat banyak membantu mereka untuk menjalankan dan mengembangkan perniagaan mereka.

“Geran ini juga mampu menarik minat usahawan-usahawan muda baru untuk bergiat diri dalam bidang ini.

“Geran ini sangat berguna untuk saya kerana geran ini dapat membantu keluarga saya, saya berharap agar semua anak-anak muda akan ceburi bidang ini kerana ini adalah bidang yang sangat bagus.

“Dengan adanya bantuan geran mobile entrepreneur ini saya dapat mengembangkan bisnes saya lagi,” Siti Zalieka Zakaria, salah seorang penerima geran.

Bagi Farrawahida Binti Mohamad Sa’aid, melalui bantuan ini ianya dapat meringankan beban usahawan-usahawan muda dalam menjalankan perniagaan mereka dan dalam masa yang sama dapat membantu keluarga.

“Selepas saya menerima geran ‘mobile entrepreneurship’ ini saya akan berusaha, akan membantu keluarga dalam bisnes dan juga dalam masa yang sama ingin membantu kawan-kawan dan juga orang-orang yang menceburi bidang ‘entrepreneur online’ ini.

“Saya akan teruskan usaha saya dalam memajukan bisnes saya dan dalam masa yang sama untuk membantu eknonomi negara Malaysia,” ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Jamuan Makan tengahari Pergerakan Sayap bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Tun Razak, di sini petang tadi.