KUALA LUMPUR, 3 Dis – Para peserta konvensyen UMNO Selangor  2017 yang diadakan di Dewan Merdeka PWTC hari ini menyatakan rasa teruja dan bersemangat apabila diberitahu kesediaan empat bekas menteri besar Selangor, termasuk Tan Sri Khalid Ibrahim bersedia untuk bergerak bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor dalam menghadapi pembangkang pada PRU ke 14 akan datang ini.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berkata, kehadiran mantan menteri besar, khususnya Tan Sri Muhammad Taib dan Tan Sri Khalid Ibrahim bersama UMNO dan BN memperlihatkan bahawa satu gelombang perubahan yang besar akan berlaku di negeri tersebut.

“Dengan kehadiran empat mantan Menteri Besar Selangor ini untuk membantu UMNO dan BN di Selangor, seperti kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi, tidak ada sebab Selangor tidak boleh kembali di bawah kepimpinan UMNO dan BN pada PRU kali ini.

“Ini adalah disebabkan, pengalaman keempat-empat mantan Menteri Besar ini, dengan pengalaman yang cukup luas dalam politik khususnya di Selangor, sudah semestinya ada banyak perkara yang boleh dibuat perbandingan dan diperjelaskan kepada rakyat, antara keupayaan Pakatan Harapan dan BN dalam mentadbir negeri.

“Ini memandangkan sepanjang pemerintahan Pakatan Harapan di Selangor, tidak ada satu pun pembangunan yang kita kenal pasti dibangunkan oleh mereka yang boleh kita banggakan. Jadi dalam konvensyen hari ini, kehadiran tokoh-tokoh ini memberikan rangsangan yang amat sangat kepada pimpinan utama UMNO Selangor, lebih-lebih lagi kepada rakyat di luar sana,” ujarnya.

Manakala menurut Ketua Wanita UMNO Selangor, Datuk Yati Onn pula, merasa gembira dengan komitmen empat mantan Menteri Besar Selangor yang bersedia untuk membantu UMNO dan BN Selangor bagi menawan kembali Selangor pada PRU yang akan datang.

“Sudah tentu kita merasa amat gembira dengan kesediaan yang diberikan oleh keempat-empat mantan Menteri Besar ini yang mempunyai begitu banyak pengalaman untuk dikongsikan bagi memantapkan usaha UMNO dan BN Selangor untuk mengambil semula pentadbiran negeri daripada Pakatan Harapan.

“Apatah lagi apabila dua mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Taib dan Tan Sri Khalid Ibrahim yang mempunyai pengalaman ketika berada di dalam PKR dan Pas, boleh menceritakan pengalaman mereka kepada rakyat betapa gagalnya parti-parti pembangkang dalam mentadbir negeri yang dikuasai mereka.

“Kehadiran tokoh-tokoh ini ternyata memberikan semangat baru buat jentera-jentera UMNO Selangor dan sudah tentu ada hikmatnya di sebalik kembalinya tokoh-tokoh ini bersama UMNO semula,” katanya.

Begitu juga dengan Naib  Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Abdul Mutalif bin Abdul Rahim menyifatkan konvensyen UMNO Selangor ini diadakan tepat pada masa dan ketikanya dalam usaha untuk membangkitkan semangat juang ahli UMNO untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan BN di Selangor.

“Ini merupakan satu anjakan paradigma yang dicetuskan oleh Tan Sri Noh Omar dalam usaha untuk memperkukuh dan memantapkan gerak kerja politik UMNO dalam usaha untuk menjadikan kemenangan BN di Selangor satu realiti.

“Saya yakin dan percaya, bahawa kepimpinan dan jenteran UMNO Selangor akan memastikan bahawa amanat yang diberikan oleh Datuk Seri Zahid di dalam konvensyen ini bahawa jangan sampai BN kalah buat kali ketiga pada PRU kali ini, akan dijadikan azimat sebagai penguat semangat untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN pada PRU yang akan datang,” tegasnya.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Mohd Yunos pula menyifatkan konvensyen UMNO Selangor ini merupakan satu konvensyen yang amat penting  dan amat baik kerana ia dapat menyemarakkan lagi semangat kepimpinan dan jentera UMNO untuk menawan semula pentadbiran negeri Selangor pada PRU yang akan datang.

“Kehadiran Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi telah menyuntik semangat kepada kepimpinan UMNO Selangor yang hadir dan amanat yang diberikan serta apa yang telah disepakati oleh kepimpinan UMNO di peringkat negeri akan kita berikan tumpuan di peringkat bahagian.

“Manakala dalam soal calon-calon yang bakal bertanding pada PRU akan datang kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memutuskannya. Jadi kita janganlah meletakkan satu harapan yang tinggi dalam soal pemilihan calon ini dan biarlah pucuk pimpinan parti yang menentukan dan memilih calon itu sendiri,”ujarnya.

Sementara itu, konvensyen UMNO Selangor hari ini telah memutuskan sebanyak 11 resolusi yang dibahagikan kepada dasar dan teknikal dalam gerak kerja politik di negeri tersebut.

Selangor juga menjadi negeri yang pertama yang mengumumkan secara terbuka melalui salah satu daripada 11  resolusi tersebut yang mahukan jawatan presiden UMNO yang dipegang oleh Datuk Seri Najib Tun Razak terus dikekal dan tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO yang akan datang. – MediaUMNO