Sudah beberapa kali Menteri Besar Selangor, Azmin mendabik dada memberitahu kepada rakyat bahawa beliau telah membuat pembangunan itu dan ini di negeri Selangor.

Malah lebih hebat daripada itu, katanya Kerajaan pusat juga menciplak beberapa idea pembangkang, salah satu contohnya seperti penutupan tol di Sungai Rasah yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam pembentangan bajet 2018 yang lalu.

Sedangkan perkara itu amat jelas, penutupan tol Sungai Rasah itu adalah hasil usaha UMNO Selangor yang membawa suara rakyat akar umbi untuk disampaikan kepada pucuk pimpinan negara, sejak sekian lama.

Sebab itu amat lucu rasanya apabila Azmin secara tiba-tiba mendakwa itu adalah hasil perjuangannya. Persoalannya mengapa beliau tidak hapuskan tol tersebut sebaik beliau memegang tampuk kuasa di negeri Selangor?

Penulis ingin bertanya kepada Menteri Besar, di mana pembangunan di Selangor yang boleh Azmin banggakan? Apakah wow faktor yang boleh beliau buktikan itu adalah usaha beliau dalam membangunkan negeri ini?

Sedarkah Azmin, bahawa ketika Pakatan Harapan mengambil alih negeri Selangor, mereka seumpama masuk ke sebuah rumah yang sudah dipenuhi kelengkapan.

Azmin dan gerombolannya hanya masuk dengan mencuci kaki dan memasang langsir sahaja, menikmati segala kemudahan yang telah tersedia. Tapi dengan tidak semena-mena beliau mendakwa bahawa segala kelengkapan yang ada di rumah itu adalah hasil usahanya.

Sedangkan semua orang tahu bahawa segala kelengkapan itu telah tersedia ketika beliau melangkah masuk ke rumah itu.

Begitulah lebih kurang analoginya dengan perangai Menteri Besar yang suka mengambil kredit daripada usaha orang lain.

Apakah Azmin tidak tahu malu? Apakah Azmin menganggap rakyat di negeri ini terlalu bodoh hingga tidak tahu hujung dan pangkal siapa yang membangunkan negeri Selangor sehingga menjadi sebuah negeri maju seperti yang ada hari ini.

Apa yang jelas hari ini, kerajaan Selangor di bawah pimpinan pakatan harapan hanya tahu menjual aset-aset negeri untuk mendapat hasil yang cepat.

Kerajaan negeri di bawah pentadbiran Azmin tanpa segan silu menjual bangunan PNKS, menjual hotel Brisdale, hotel Quality Inn, 5 apartment di Makkah dan lain-lain milik kerajaan negeri, termasuklah menjual beberapa tapak-tapak perniagaan untuk peniaga-peniaga kecil milik Majlis Perbandaran kepada syarikat swasta dengan harga jutaan ringgit.

Malah lebih menyedihkan apabila kerajaan Pakatan Harapan telah menutup Yayasan Selangor, sebuah yayasan yang ditubuhkan ketika Selangor di bawah pemerintahan BN untuk membantu anak-anak Selangor luar bandar melanjutkan pelajaran mereka.

Dalam tempoh 10 tahun kerajaan Pakatan Harapan menguasai kerajaan negeri, lebih kurang 4,000 anak-anak Selangor luar bandar yang majoritinya Melayu di negeri ini, telah dinafikan hak mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi oleh kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui oleh Azmin.

Begitu juga dalam soal rumah murah dan rumah mampu milik. Penulis merasa amat terkilan apabila Perbandanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang ditubuhkan untuk membina rumah-rumah mampu milik untuk rakyat Selangor berpendapatan rendah, kini sudah bertukar dasarnya di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

PKNS yang ditubuhkan bertujuan untuk membantu rakyat Selangor khususnya orang Melayu dalam isu-isu pemilikan hartanah, kini seumpama sebuah syarikat pemaju swasta yang mahu mengaut untung tanpa mempedulikan lagi nasib rakyat yang menjadi asas penubuhannya, khususnya orang Melayu dalam soal pemilikan hartanah samada rumah mahupun tapak perniagaan.

Penulis yakin, ramai lagi rakyat Selangor di luar sana yang kecewa dengan dasar Kerajaan Pakatan Harapan negeri Selangor, di bawah pimpinan Azmin yang tidak lagi membina rumah-rumah murah untuk rakyat sepertimana dulu, apabila dasar PKNS yang mahu membantu orang Melayu khususnya telah dirombak dan ditukar.

Apakah Azmin merasakan dengan ideanya memberikan perkhidmatan bas percuma itu sudah memadai untuk menutupi segala kegagalannya di mata rakyat? Apakah dengan adanya perkhidmatan bas percuma itu, ia membuktikan Selangor kini bertambah maju?

Berapa kerat rakyat di negeri ini yang dapat menikmati perkhidmatan bas percuma itu dan apakah rakyat semakin kaya dan senang dengan perkhidmatan bas percuma yang dibangga-banggakan Azmin itu?

Penulis lihat Azmin kini hidup bagaikan di dalam fantasi. Seolah-olah negeri Selangor yang membangun itu dibina oleh beliau dan gerombolan Pakatan Harapan yang baru dua penggal memerintah.

Azmin perlu sedar dari fantasinya dan melangkah masuk ke alam realiti. Realitinya hari ini, status Selangor sebagai sebuah negeri maju tercalar sebaik sahaja pakatan pembangkang mengambil alih kerajaan negeri.

Isu air yang tidak pernah menjadi isu besar di negeri itu tiba-tiba menjadi isu yang kronik dan kritikal akibat kedangkalan pemimpin pembangkang yang lebih mengutamakan kepentingan politik mereka berbanding kesusahan rakyat.

Di zaman pemerintahan Pakatan Pembangkanglah, air di Selangor dicatu secara besar-besaran sehingga menyebabkan peniaga dan kilang-kilang industri di Selangor menghadapi masalah.

Di zaman pemerintahan pakatan pembangkanglah, isu ketiadaan air menjadi begitu serius sehingga bertukar menjadi satu krisis di mana hampir keseluruhan rakyat di negeri Selangor, berada dalam kesusahan dan kepayahan akibat ketiadaan air.

Dan di zaman pembangkang jugalah Selangor digelar negeri Darul Denggi apabila isu pengutipan sampah, tiada pemantauan projek pembangunan yang tidak efektif telah menyebabkan Selangor menjadi negeri nombor satu paling banyak kes demam denggi di negara ini.

Azmin boleh bercakap apa yang beliau suka, tetapi hakikatnya beliau tidak mampu untuk menutup mata dan minda rakyat daripada melihat bermacam-macam kegagalan dan kelemahan di dalam pentadbiran pakatan pembangkang, khususnya dibawah pentadbirannya hari ini.

Bagi penulis, sepatutnya Azmin dan gerombolan pimpinan pembangkang di Selangor mengaku sajalah kelemahan mereka.

Pimpinan pembangkang sebenarnya masih tidak mampu nak mentadbir. Bukan mereka ini dapat menambah baik apa yang ada di dalam negeri, bahkan untuk menjaga dan memgekalkan pembangunan yang sedia ada juga mereka gagal lakukan.

Sebagaimana tunggang langgangnya pembangkang mengurus tadbir parti dan pakatan mereka, begitu jugalah tunggang langgangnya mereka dalam mentadbir negeri.

Utusan Malaysia