SUNGAI BULOH – Ketua Penerangan UMNO Selangor, Dato Zein Isma membidas kenyataan pakatan pembangkang yang menyalahkan Jabatan Pendaftaran Negara (ROS)  berhubung kegagalan mereka mendaftarkan Pakatan Harapan , parti PPBM dan menyifatkan alasan yang diberikan itu hanyalah taktik mereka untuk mengalih perhatian rakyat terhadap kegagalan dan kelemahan mereka sendiri.

Menurut beliau,pemimpin pembangkang sepatutnya memperjelaskan kepada rakyat, mengapa mesyuarat agung PPBM hanya dihadiri oleh 12 orang sahaja dan mengapa pemilihan CEC Dap terus bermasalah biarpun setelah didiadakan pemilihan semula.

“Ini yang perlu diperjelaskan. Mereka perlu terangkan kepada rakyat, mengapa mesyuarat agung PPBM,parti yang kononnya mahu menyelamatkan Malaysia hanya dihadiri 12 pemimpin sahaja? Jika ahli yang datang hanya 12 orang, kemudian mendakwa itu adalah mesyuarat agung, sudah tentu ia tidak masuk akal. Pasti ROS akan tolak permohonan mereka kerana tidak cukup syarat.

“Begitu juga dengan isu pemilihan CEC Dap. Sudahlah tertangguh hampir bertahun lamanya, apabila Dap mengadakan semula pemilihan CEC itu, ia tetap bermasalah apabila ada ahli-ahli mereka yang mendakwa bahawa senarai perwakilan tidak dipamerkan ketika pemilihan itu berlansung. Bahkan, auditor luar yang dilantik Dap tidak pun berada di dalam bilik kertas undi ketika pengiraan dijalankan.

“Jadi inilah yang perlu dijelaskan oleh pemimpin pakatan harapan. Bukan hanya tahu buat alasan mudah dengan menyalahkan ROS dan mendakwa kononnya pemimpim UMNO punya angkara untuk melewat-lewatkan pendaftaran mereka itu.

“Sedangkan rakyat di akar umbi sudah tahu, bahawa isu pedaftaran PPBM dan isu pemilihan CEC Dap bukan salah pihak lain, sebaliknya ia adalah kerana ketidakcekapan pemimpin parti itu mentadbir dan menguruskan parti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online ketika diminta mengulas tentang kegagalan pemimpin pembangkang mendaftar pakatan Harapan serta pendaftaran PPBM yang tidak diluluskan kerana gagal mematuhi syarat-syarat pertubuhan.

Seperti pemilihan CEC Dap baru-baru ini, kata Zein yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Subang, pemilihan CEC Dap itu juga didakwa tidak telus apabila terdapat dakwaan daripada ahli Dap sendiri bahawa ada berapa perkara yang meragukan berlaku di dalam pemilihan tersebut.

“Sebagai contoh, tidak ada pemantauan semasa pengiraan undi. Kemudiannya undi kepada calon yang sudah meninggal dunia. Dakwaan-dakwaan tersebut memperlihatkan ada yang tidak kena dengan pemilihan CEC Dap kali kedua itu. Saya juga dapat maklumat bahawa hari ini, ada dua orang ahli Dap yang akan membuat laporan polis berhubung CEC Dap baru-baru ini.

“Sebab itu saya katakan, janganlah asyik nak tuding jari pada orang lain. Kita bukan tak tahu dan tak nampak apa yang berlaku. Jangan fikir rakyat bodoh untuk percaya dengan alasan seperti itu, sedangkan mereka juga tahu bahawa pemilihan Dap bermasalah dan begitu juga dengan keadaan parti PPBM yang sedang berkecamuk hari ini.

“Sepatutnya pembangkang mengaku sajalah kelemahan mereka. Mereka tak mampu nak mentadbir, waima parti sendiri pun jadi huru hara dan tunggang langgang. Itu baru parti, belum lagi negara. Kalau tadbir negara macam mana mereka tadbir parti, terlingkup kita.

“Daripada mereka terus berpura-pura dengan rakyat, baiklah mereka mengaku kelemahan sendiri kerana  akar umbi tahu apa sebenarnya yang berlaku,”ujarnya.

 

Sumber -selangorpost