KELMARIN heboh tindakan beberapa pihak membuat laporan polis ke atas Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang didakwa dengan selamba memaki hamun Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dengan kata-kata penghinaan berbaur perkauman

Mereka mendesak siasatan rapi dilakukan oleh pihak polis ke atas Kor Ming, walaupun Ahli Parlimen Taiping itu menafikan beliau ada mengeluarkan perkataan sedemikian dan menyifatkan rakaman video yang tular di media sosial tersebut adalah palsu telah disunting.

Malah Kor Ming juga mengugat dengan menyatakan beliau berhak mengambil tindakan saman ke atas pihak-pihak yang menuduhnya.

Sama ada betul atau tidak rakaman video tersebut biarlah pihak polis menjalankan siasatan tetapi bagi penulis apa yang berlaku adalah pengajaran kepada Kor Ming supaya jangan bermulut celupar.

Ia memandangkan beliau sudah beberapa kali membuat kenyataan kontroversi dan kadang kala dianggap biadab. Atas sebab itulah orang ramai dengan mudah menerima bahawa rakaman video yang tersebar tersebut ada benar walaupun Kor Ming menafikan.

Kor Ming tidak akan berada di kedudukan menjadi `mangsa tuduhan’ jika beliau mengamalkan politik matang dan bukannya maki hamun. Dan ada ketikanya diainggap berbaur perkauman.

Sebenarnya bukan sahaja Kor Ming, sebelum ini beberapa pemimpin DAP juga pernah bermulut celupar ketika mengkritik kepemimpinan kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN).

Selain itu Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr.Mahathir Mohamad turut bersikap biadab apabila menghina keturunan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu kaum Bugis.

Penulis hairan dan tertanya-tanya kenapakah pendekatan memaki hamun memaki hamun, mencarut dan mengeluarkan kenyataan provokasi menjadi pilihan pemimpin-pemimpin pembangkang. Apakah itu  satu-satunya cara dan pendekatan politik mereka dalam usaha menarik hati pengundi?

Sememangnya Kor Ming berhak menafikan rakaman video yang tular tersebut dengan menganggap ia fitnah, tetapi adakah hak yang sama akan diberikan jika ia melibatkan pemimpin-pemimpin BN.

Penulis percaya keadaan itu tidak akan berlaku kerana sudah menjadi `modus operandi’ pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dalam apa keadaan atau isu sekalipun hanya mereka sahaja yang betul dan difitnah.

Justeru mereka pasti akan menyerang habis-habisan pemimpin BN berkenaan dengan pelbagai hujah, walaupun mereka tidak pasti sama ada dakwaan itu benar atau tidak.

Oleh itu Kor Ming perlu menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran supaya pada lain masa akan lebih berhati-hati sama ada ketika membuat ucapan atau menulis sesuatu dalam media sosial.

Ia memandangkan kita mahu mewujudkan politik sihat dan bukannya politik kebencian apatah lagi berbaur perkauman. Ini kerana sikap dan pendekatan politik yang bertujuan menghasut dengan menjadikan isu kaum dan agama sebagai modal politik adalah punca peningkatan isu-isu rasis dan perkauman di negara ini.

Ini juga bagi menjawab kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mempersoalkan keberkesanan konsep wassatiyah yang diperkenalkan kerajaan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menjadikan isu ‘Dobi Hanya Untuk Muslim’ sebagai satu contoh dan indikator peningkatan sikap rasis dalam kalangan rakyat di negara ini.

Untuk pengetahuan Azmin, hakikatnya golongan pemimpin Pakatan Harapanlah, paling ramai  cuba mensabotajkan konsep wassatiyah atau kesederhanaan yang mahu diterapkan kerajaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Sudah acap kali berlaku, pemimpin-pemimpin pembangkang termasuklah daripada DAP – sekutu yang sangat disayangi oleh Azmin itu bermulut celupar dan melakukan provokasi apabila menyerang kerajaan BN.

Apa yang kita bimbang, jika politik seumpama itu dibiarkan lambat laun ia pasti akan menimbulkan reaksi balas daripada pemimpin Melayu dan juga orang Melayu di peringkat akar umbi.

Penulis juga amat mengharapkan agar pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak tegas terhadap mana-mana ahli politik yang melemparkan kata-kata provokasi perkauman, baik secara langsung mahu pun melalui media sosial.

Begitu juga rakyat di negara ini, khususnya di Selangor perlu sedar akan bahayanya politik sempit dan ekstrem. Penuis berpandangan, kita sebagai rakyat perlu tegas untuk menolak mana-mana parti politik yang menjadikan isu perkauman dan agama sebagai modal politik.

Politik sebegini tidaklah mendatangkan kebaikan kepada rakyat dan negara satu sen pun, bahkan akan menjadi api dalam sekam yang kelak boleh membakar jambatan toleransi antara kaum dan agama di negara ini dan boleh menghancurkan masa depan negara.

Dalam soal politik mulut celupar yang sering ditonjolkan oleh pemimpin-pemimpin DAP, penulis ternanti-nanti apakah reaksi pemimpin-pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan khususnya daripada PKR, PPBM dan PAN. Bagaimanapun penulis yakin mereka tidak akan bersuara kerana parti dominan dalam pakatan tersebut adalah DAP. Melakukan teguran ke atas DAP bermakna pemimpin-pemimpin parti tersebut sengaja mencari nahas. Itulah nasib pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan, mereka hakikatnya hanyalah ‘pak turut’ kepada DAP!

DATUK ZEIN ISMA ISMAIL ialah Ketua Penerangan UMNO Selangor.

kredit  – Utusan