PAKATAN HARAPAN diketuai DAP yang turut disertai oleh PKR sentiasa mencanangkan merekalah pejuang demokrasi, mereka pembela kebebasan bersuara dan memegang teguh kepada prinsip kebebasan media.

Tetapi hakikatnya apa yang dilaungkan oleh parti-parti tersebut hanyalah omong kosong. Ia terbukti apabila Kerajaan PKR Selangor melarang pengedaran akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian di jabatan-jabatan di bawah kerajaan negeri.

Sebenarnya, penulis tidak terkejut dengan larangan tersebut kerana kerajaan negeri Selangor di bawah kepemimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali begitu takut dengan apa yang didedahkan oleh kedua-dua akhbar itu khususnya Utusan Malaysia berhubung kepincangan kerajaan negeri.

Namun jauh daripada itu, ia memberi isyarat awal kepada rakyat, itulah sebenarnya sikap Pakatan Harapan jika mereka ditakdirkan memerintah negara ini. Mereka akan menyekat dan menghalang sesiapa sahaja termasuk media yang tidak menyebelahi pakatan itu.

Ternyata Azmin semakin takut dengan bayang-bayang sendiri. Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) beliau melihat media arus perdana seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian adalah ancaman kepada Pakatan Harapan.

Ia bukanlah kerana akhbar-akhbar tersebut melaporkan perkara tidak benar mengenai pentadbiran kerajaan negeri Selangor tetapi beliau bimbangnya memandangkan semakin banyak kelemahan pentadbiran beliau mula terdedah.

Logik akalnya, Azmin bagaikan masih berada dalam pemikiran tahun 90-an, satu zaman yang tidak mempunyai teknologi maklumat. Sekarang zaman teknologi maklumat, kalaupun Utusan Malaysia dan Berita Harian dihalang untuk memaparkan apa yang berlaku di Selangor, rakyat masih boleh mendapat maklumat melalui platform lain.

Penulis melihat Azmin sebenarnya semakin kelam-kabut kerana dari semasa ke semasa kelemahan pentadbirannya didedahkan satu persatu oleh akhbar-akhbar tersebut, malah dalam satu-satu isu Azmin dilihat terperangkap dengan tindakan sendiri.

Oleh itu Azmin cuba menyekat penjawat-penjawat awam di bawah kerajaan negeri supaya tidak membaca kedua-dua akhbar tersebut – satu pendekatan yang dianggap jumud dan bertentangan dengan prinsip kebebasan media yang dilaung-laungkan oleh Pakatan Harapan.

Penulis berasa aneh dan hairan dengan kegelisahan Azmin terhadap kedua-dua akhbar itu. Kalau apa yang dilaporkan oleh media tersebut tidak benar ambil sahaja tindakan undang-undang, bukankah pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan cukup popular dengan langkah seumpama itu seperti mana yang sering dilakukan oleh pemimpin-pemimpin DAP?

Lagipun sekarang bukan zaman 90-an, kalau mana-mana media melaporkan tidak betul mengenai sesuatu isu, rakyat termasuklah penjawat-penjawat awam boleh merujuk kepada laporan media-media lain. Kenapa kelam kabut tidak benarkan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian dilanggan?

Kalau beginilah sikap Azmin, bagaimanakah penjawat-penjawat awam di bawah kerajaan negeri mahu mengetahui sesuatu isu berkaitan Selangor yang dibangkitkan oleh media? Patutlah selama ini banyak isu di negeri itu tidak mampu diselesaikan rupa-rupanya Azmin tidak benarkan mereka membaca akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Bagaimanapun penulis melihat isu ini bukan sekadar satu larangan tetapi jauh daripada itu ia sebenarnya satu ketakutan yang semakin menghantui Azmin. Beliau sudah tidak mampu lagi menangani pelbagai isu yang didedahkan oleh akhbar-akhbar tersebut mengenai pentadbiran kerajaan negeri.

Melalui tindakan melarang langgan itu, Azmin berharap ia akan memberi mesej kepada rakyat kononnya akhbat UtusanMalaysia dan Berita Harian tidak boleh dipercayai. Tetapi Azmin tersilap langkah. Apa yang beliau lakukan membuktikan kebebasan yang selama ini dilaung-laungkan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan termasuklah dalam soal media hanyalah retorik politik.

Sebagai seorang yang dianggap pemimpin masa depan Pakatan Harapan, Azmin sepatutnya lebih bijak dan matang dalam menangani isu berkaitan dengan media. Beliau perlu mempunyai fikiran terbuka dan berlapang dada dalam menghadapi laporan media.

Penulis difahamkan melalui rakan-rakan dalam kedua-dua akhbar itu, apa yang Azmin lakukan tidak akan menjadi `kudis’ apatah lagi menghalang usaha mereka untuk terus memaparkan berita-berita mengenai Selangor khususnya berkaitan kerajaan negeri itu.

Azmin boleh berbangga kerana memiliki kuasa untuk menghalang pejabat-pejabat di bawah kerajaan negeri melanggan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian tetapi dari sudut lain rakyat melihat apa yang beliau lakukan hanya satu tindakan terdesak serta sama sekali tidak akan memberi manfaat kepada Selangor.

Tetapi penulis percaya, sebahagian besar penjawat awam di bawah kerajaan negeri Selangor tetap mengikuti laporan berita kedua-dua akhbar tersebut. Ia kerana mereka percaya melalui cara itu, ia akan dapat membantu mereka memperbaiki perkhidmatan kepada rakyat.

Malangnya, Azmin tidak ada pemikiran demikian. Beliau bimbang kehilangan kuasa politik akibat kepincangan dan isu kelemahan pentadbirannya yang didedahkan oleh akhbar-akhbar tersebut. Jika Azmin tidak mempunyai apa-apa isu, sudah tentulah beliau tidak mengeluarkan larangan berkenaan.

Apapun penulis yakin, sekatan yang dilakukan oleh beliau ke atas akhbar-akhbar tersebut tidak akan ke mana, sebaliknya hanya mendedahkan wajah sebenar pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dalam soal kebebasan media. Dalam bahasa mudah, Azmin adalah antara kelompok pemimpin pakatan itu yang `cakap tak serupa bikin’.

Utusan@