SUBANG – Ketua Penerangan UMNO Selangor, Dato Zein Isma Ismail hari ini mempersoalkan mengapa pendirian pimpinan Pas Negeri Selangor dilihat tidak selari dan bercanggah dengan dasar serta pendirian Pas Pusat yang membuat ketetapan memutuskan tahaluf siyasi mereka dengan Dap, dan juga mana-mana parti yang bekerjasama dengan Dap.

Bahkan, bukan sekadar itu,  kata Zein lagi pimpinan Pas Selangor juga dilihat lebih cenderungdan mesra untuk bekerjasama dengan parti PAN yang secara prinsipnya bertentangan dengan keputusan Pas Pusat yang beranggapan PAN adalah pengkhianat perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas.

“Kita rasa pelik kenapa pendirian pimpinan Pas Selangor tidak selari dengan dasar dan keputusan Pas Pusat. Apakah pimpinan Pas Selangor terkecuali daripada sebarang dasar dan pendirian yang telah ditetapkan oleh Pas Pusat?

“Apa yang istimewa sangat Pas Selangor ini sehingga mereka boleh melakukan sesuatu yang bertentangan dengan dasar dan prinsip perjuangan parti yang telah diputuskan oleh parti?

“Kelihatannya seolah-olah seperti pimpinan Pas Selangor mempunyai agenda peribadi masing-masing dan lebih mementingkan jawatan berbanding prinsip perjuangan yang ditentukan oleh pimpinan Pas Pusat sehingga sanggup bertindak melanggar dasar parti mereka sendiri.

“Bahkan pimpinan Pas Selangor tertentu yang dilihat begitu mesra dengan pimpinan PAN seumpama buah mempelam harum manis yang isinya oren biarpun kulitnya kuning,” ujarnya sinis.

Tambah beliau, kepimpinan Pas negeri, terutama exco-exco Pas jelas seperti kerbau dicucuk di dalam pentadbiran kerajaan negeri yang hanya tunduk kepada Menteri Besar, Azmin Ali dan juga Dap yang menjadi parti dominan di dalam kerajaan negeri.

“Kita boleh nampak jelas di mana suara-suara exco Pas di dalam pentadbiran kerajaaan negeri langsung tidak kedengaran terutamanya dalam soal-soal yang melibatkan soal agama dan bangsa.

“Jika exco-exco Pas Selangor mempunyai maruah serta berpegang teguh dengan prinsip dan pendirian parti mereka sendiri, mereka sepatutnya sudah lama meletakkan jawatan.

“Pas Selangor sepatutnya sedar, kehadiran mereka di dalam pentadbiran kerajaan negeri seolah-olah pepatah Melayu, hanya melukut ditepi gantang.

“Mereka tidak akan mampu untuk berbuat apa-apa agama dan bangsa kerana bukan hanya mereka, tetapi Azmin juga hanyalah boneka kepada agenda Dap di Selangor. Isu pesta arak itu sudah cukup untuk menjadi contoh dan teladan kepada mereka,”tegasnya.

Mengulas lebih lanjut, beliau juga mempersoalkan bagaimana berlaku situasi pemimpin Pas di peringkat negeri yang tidak akur dengan keputusan parti yang telah membuat ketetapan memutuskan tahaluf siyasi dengan mana-mana parti yang menjalinkan kerjasama dengan Dap.

“Bagaimana boleh wujud Pas di dalam Pas? Apakah pimpinan Pas pusat tidak sedar akan perkara ini? Ataupun mereka tahu, tapi mereka tidak punyai kekuatan untuk membuat apa-apa tindakan?

“Pimpinan Pas Selangor sepatut sedar, bahawa rakyat kini sedang memerhatikan gelagat mereka. Jangan ingat rakyat, teruatamanya di Selangor tidak pandai membaca gerak geri politik mereka.

“Janganlah berselindung di sebalik laungan retorik perjuangan Islam, sedangkan hakikatnya kepentingan peribadi lebih mereka utamakan,”akhirinya.