DARI KETUA BAHAGIAN Kerajaan Selangor terlalu angkuh

Kerajaan Selangor terlalu angkuh

27

SALAH satu ‘penyakit’ yang melanda pentadbiran kerajaan negeri Selangor di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ialah sombong, bongkak dan angkuh. Beliau dan barisan kepemimpinan kerajaan negeri seolah-olah menganggap merekalah kelompok terpilih dan paling mengetahui apa yang terbaik untuk rakyat Selangor. Justeru apa juga sumbangan atau usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat di bawah teraju Barisan Nasional (BN) di negeri itu akan diperlekehkan.

Walaupun segala bantuan atau projek oleh Kerajaan Pusat khususnya melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ( KPKT) dilakukan demi rakyat namun ia tidak akan mendapat pujian kerajaan Selangor.

Bukan kerana projek atau usaha itu tidak baik, tetapi Azmin dan pemimpin-pemimpin kerajaan negeri hanya memikirkan soal politik. Penulis tidak berasa hairan de­ngan sikap angkuh Azmin yang menganggap kononnya dasar perumahan oleh kerajaan Selangor lebih komprehensif dan adil berbanding dasar perumahan Kerajaan Pusat.

Penulis tidak tahu apakah yang dimaksudkan oleh beliau sebagai adil dan komprehensif itu, apa yang pasti isu perumahan di negeri tersebut semakin diperkatakan oleh rakyat. Bukan sahaja soal janji mahu membina rumah untuk rakyat tidak ditunaikan malah pengurusan rumah pangsa atau perumahan rakyat juga gagal dita­ngani Azmin.

Tetapi anehnya apabila KPKT melalui Menterinya yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berusaha membantu rakyat negeri tersebut dalam soal itu mulalah kepemimpinan kerajaan negeri riuh sekampung.

Riuh bukannya menyokong tetapi berusaha memperlekehkan apa juga usaha Noh dan Kerajaan Pusat. Sebab itulah penulis tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan oleh Azmin dengan perkataan ‘adil dan komprehensif’? Adilkah apabila janji untuk membina rumah Selangorku entah ke mana? Adilkah apabila harga rumah yang dijual PKNS lebih daripada RM 1 juta?

Apa sebenarnya objektif penubuhan PKNS? Adakah tujuan PKNS diwujudkan untuk bersaing dengan pemaju-pemaju lain dan mengaut keuntungan berlipat kali ganda? Penulis tidak kisah jika keuntungan PKNS digunakan untuk memperbanyakkan rumah mampu milik bagi rakyat Selangor, tetapi apa yang penulis lihat ia bagaikan mimpi di siang hari.

Hakikatnya, Azmin terus bongkak dan angkuh, beliau bersama-sama pemimpin Pakatan Harapan diketuai DAP hanya pandai mengkritik dan mencari salah kerajaan pusat sahaja, tetapi di negeri yang mereka tadbir penuh dengan masalah rakyat.

Adalah jelas dalam soal perumahan rakyat kerajaan negeri bukan sahaja tidak adil tetapi juga menipu rakyat dengan janji-janji yang mereka taburkan berkenaan isu rumah mampu milik itu. Azmin dan kerajaan Selangor bukan sahaja perlu menghentikan sandiwara dan retorik politik mereka, malah perlu benar-benar ikhlas untuk membela nasib rakyat negeri itu.

Jadilah pemimpin yang bertanggungjawab dan memikul amanah dengan penuh jujur serta ikhlas. Janganlah hanya mahu bermain politik sepanjang masa. Penulis memahami antara kerajaan Selangor dan Kerajaan Pusat ada perbezaan ideologi politik tetapi janganlah sampai ia menghalang matlamat untuk membela nasib rakyat. Sepatutnya dalam soal memberikan kesejahteraan kepada hidup rakyat, soal perbezaan politik perlu diketepikan dan perhitungan politik tidak harus dijadikan pertimba­ngan.

Penulis membangkitkan perkara ini kerana berasa kesal dan kecewa dengan sikap Azmin dan kerajaan Selangor kerana sudahlah mereka tidak menunaikan janji membina rumah mampu milik malah dilihat mahu mensabotaj usaha baik kerajaan BN dalam menyediakan rumah itu untuk rakyat negeri tersebut.

Contohnya, terlalu banyak dolak dalik yang diberikan oleh kerajaan negeri seolah-olah sengaja mahu memperlambat-lambatkan kelulusan terhadap usaha kerajaan pusat membina rumah PR1MA untuk rakyat di Selangor.

Penulis tertanya-tanya apakah mereka takut dengan usaha kerajaan BN yang mahu membantu meringankan beban rakyat untuk memiliki rumah sendiri sehingga mereka bertindak mensabotaj rancangan kerajaan itu? Tidakkah mereka sedar tindakan bodoh dan angkuh itu hanyalah merugikan rakyat di Selangor untuk memiliki rumah mereka sendiri?

Oleh itu, jika benar kerajaan Selangor yang sering melaung-laungkan berjuang untuk rakyat dan mahu memberikan kesejahteraan kepada rakyat, jangan terlalu banyak mahu bermain politik. Ini kerana tindakan seumpama itu hanya akan menyebabkan rakyat negeri tersebut menderita. Jika sesuatu projek itu boleh mendatangkan kebaikan kepada rakyat, kerajaan negeri perlu memberi sokongan dan bukannya memikirkan keuntungan politik semata-mata.

Justeru penulis berharap, kerajaan negeri Selangor tidak terlalu angkuh dalam menguruskan pentadbiran negeri berkenaan. Tidak mengapa untuk berbeza pandangan dan ideologi tetapi usahlah kepentingan rakyat mahu dipertaruhkan.

Jika PKR, DAP dan Pas begitu yakin bahawa mereka sentiasa mendapat sokongan rakyat, maka tiada apa yang harus dibimbangkan terhadap sebarang projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat di negeri itu.

Apa pun dalam isu kesejahteraan rakyat, Azmin dan kepemimpinan kerajaan negeri janganlah terlalu sombong dan angkuh kerana lambat laun mereka pasti dihukum rakyat. Ini memandangkan rakyat semakin bijak menilai siapakah yang membela nasib mereka dan siapa pula yang sentiasa mahu mempolitikkan segala-galanya.

DATUK ZEIN ISMA ISMAIL ialah Ketua Penerangan UMNO Selangor

© Utusan Melayu (M) Bhd