Dalam dunia tanpa sempadan yang serba moden dan canggih dengan kemudahan komunikasi yang merentasi sempadan tanpa sekatan, ramai di kalangan kita kini yang mudah terpengaruh dengan segala bentuk cerita, tohmahan, fitnah dan berita karut yang dilontarkan di halaman media sosial tanpa batasan. Apa yang dibimbangkan keadaan tersebut akhirnya akan menjadi ancaman serius kepada keutuhan seluruh lapisan masyarakat dan kehidupan bernegara terutama jika isme ‘freedom of speech and expression’ atau kekebasan bersuara tersebut dianggap sebagai mutlak dan tidak boleh dibatasi.

Para pencinta kebebasan mutlak dan fahaman liberalisme-pluralisme ini mungkin tidak pernah memikirkan tentang kesan atau impak yang akan diterima oleh masyarakat bahkan oleh negara hasil daripada pandangan dan maklumat negatif yang mereka tularkan setiap hari.

Berdasarkan pengalaman di Turki dan juga Mesir, masyarakat Malaysia perlu melihat dari setiap sudut dan aspek hasil dari apa yang dikatakan sebagai kebebasan bersuara itu.

Bahawa semua netizen dapat melihat dengan penuh sedar betapa para pemain media sosial di Turki begitu solid berdiri teguh di belakang Erdogan dalam menentang rampasan kuasa oleh pihak tentera yang tidak setia kepada kerajaan dan negara sendiri. Juga seluruh dunia diajak bersatu meruntun jatuh kerajaan Mesir hanya dengan satu slot video yang dipancarkan dari Dataran Tahrin di Keherah konon ada aktivis yang mati terbunuh dalam demonstrasi?

Saya melihat kedua-dua insiden tersebut dalam kontek perpaduan dan kesatuan umat Melayu Islam di negara ini, bahawa kita perlu lebih berhati-hati dan berwaspada. Sejarah telah mencatat dan membuktikan betapa perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan negara kita ini sering dicabar, dicemburui dan disabotaj oleh pihak-pihak tertentu termasuk oleh anasir dari luar yang hendak mengambil kesempatan dalam usaha mereka untuk menguasai pemerintahan negara.

Malaysia berkedudukan amat strategik yang membahagi dan menghubungkan di antara dunia timor dan barat terutama dalam mengawal pergerakan lalu-lintas kapal-kapal laut dan udara di dunia sebelah sini. Bahawa aliran pergerakan komoditi yang penting seperti minyak dan gas, bahan-bahan mentah dan bahan binaan pasti akan melalui Selat Melaka dan Laut China Selatan, oleh itu menguasai Malaysia tentulah menjadi agenda utama kepada kuasa-kuasa besar terutama sekali Amerika Syarikat, Russia, Jepun dan Republik Rakyat China (RRC).

PELBAGAI usaha telah pun dilakukan oleh negara kuasa besar tersebut untuk menguasai dan menjarah negara kita ini sejak kita merdeka, namun kesatuan politik dan kejayaan diplomasi kita serta keutuhan dan kekukuhan ASEAN telah menggagalkan segala rancangan jahat mereka.

Setiap kuasa besar tersebut termasuk negara kecil yang menjadi proxy Amerika Syarikat dan Yahudi di Asia Tenggara iaitu Singapura amat menyedari, bahawa untuk menguasai Tanah Melayu (Malaysia), sebuah negara Islam majmuk, mereka mesti terlebih dahulu menguasai orang Melayu, oleh itu kesatuan, keutuhan dan perpaduan umat Islam Melayu yang selama ini diperjuang dan cuba dipertahankan oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) perlu segera dilemah dan dihapuskan. Oleh itu orang Melayu mesti sedar bahawa mereka dan survival bangsa mereka sebenarnya sedang terancam dan akan terhakis. Marilah kita memahami hakikat ini dan menyedari akan kesannya terhadap kesinambungan kuasa politik dan survival agama, bangsa dan kedaulatan negara, Malaysia tanah air tercinta.

Penulis ; Naseron Ismail. Pegawai IT UMNO. Bekas Pensyarah Sains Politik dan Kenegaraan Malaysia ITM, Pendaftar Kolej Negeri dan Kolej UniKOP, Pengurus Kanan HEP UniKL, Pengurus Kanan Agensi AMAB. Penulis, Editor dan Aktivis Politik sejak 1981.