DARI KETUA BAHAGIAN DAP kekal ‘taiko’ pakatan

DAP kekal ‘taiko’ pakatan

16

APABILA pemimpin-pemimpin DAP menentang keras pembatalan pesta arak, tiada pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan membantah­nya, malah penulis yakin kalaulah DAP berkeras mahu ia diadakan di Selangor, kita pasti mendengar alasan, “kita menghormati hak dan kebebasan kaum lain tetapi penganjur perlu mematuhi syarat dan undang-undang ditetapkan.”

Apapun penulis tidak berhasrat untuk mengulas mengenai pesta arak, sebaliknya mahu memperkatakan bagaimana pandangan pelbagai pihak bahawa DAP adalah parti paling berkuasa dan dominan dalam Pakatan Harapan bukanlah omong kosong.

Di Selangor, Menteri Besar, Datuk Seri Mohammed Azmin Ali dilihat sentiasa berhati-hati dalam tindakannya kerana bimbang melukai hati pemimpin-pemimpin DAP.

Isu pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan di Selangor tunduk kepada DAP bukan perkara baharu. Isu arak di Selangor juga bukan isu baharu. Dulu, Datuk Dr. Hassan Ali pernah berkonfrontasi dengan pemimpin DAP, Ronnie Liu dalam isu penjualan arak di kedai 24 jam.

Ringkas cerita, akhirnya Dr. Hassan Ali yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor ketika itu gagal mempertahankan hasratnya untuk menghalang penjualan arak di kedai-kedai 24 jam. Bahkan, beliau juga akhirnya ter­singkir daripada pentadbiran kerajaan negeri. Inilah akibatnya apabila pemimpin Melayu di dalam Pakatan Harapan ingin melawan kehendak DAP!

Bagi penulis, peristiwa yang berlaku kepada Dr. Hassan itu memberikan pengajaran buat Mohamed Azmin. Jangan lawan DAP, nanti kamu akan hilang jawatan Menteri Besar.

Cerita DAP menguasai pentadbiran, biarpun tidak memegang jawatan tertinggi dalam negeri bukan satu cerita baharu. Ia juga bukan hanya cakap-cakap di warung kopi atau desas-desus tetapi telah terbukti. Bukan hanya di Selangor, tetapi ia juga di mana sahaja negeri yang dikuasai pembangkang.

Contohnya apa yang berlaku di Perak, satu ketika dahulu apabila pembangkang mengu­asai negeri itu selama sembilan bulan. Ketika itu, Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin daripada Pas menjadi Menteri Besar. Walaupun memegang jawatan itu namun hakikatnya semua orang tahu DAPlah yang membuat keputusan dalam isu-isu pentadbiran.

Hasilnya, sebuah tanah di kampung baru Cina dipajak kepada penduduk kampung tersebut selama 999 tahun! Sudah pastinya, itu bukan kehendak Mohamad Nizar. Pajakan tanah selama tempoh itu tidak pernah berlaku sepanjang sejarah politik negara dan ia sudah tentu berlaku atas kehendak DAP.

Begitu juga di Kedah ketika Pas memerintah pada 2012. Saya masih ingat lagi bagaimana kerajaan ­negeri melontarkan cadangan agar papan tanda iklan yang memaparkan model wanita di negeri tersebut agar berpakaian menutup aurat.

Cadangan tersebut dibatalkan hanya kerana Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik membantah dan mengugut untuk memutuskan tahaluf siayasi bersama Pas. Hanya kerana seorang wakil DAP membantah, maka cadangan itu dibatalkan. Daripada situ, kita boleh lihat betapa lemahnya pemimpin Melayu di dalam pakatan pembangkang apabila berhadapan dengan DAP terutama melibatkan keputusan berhubung Islam dan orang Melayu.

Inilah antara perkara penting yang perlu difikirkan oleh rakyat, khususnya umat Melayu dan Islam di negara ini. Penulis tegaskan, bahawa orang Melayu bukan anti kaum Cina.

Orang Melayu juga bukan rasis. Tetapi majoriti orang Melayu tidak dapat menerima cara dan corak pemikiran serta ideologi politik pemimpin dan penyokong DAP yang jelas biadab serta tidak mempunyai sensitiviti terhadap masyarakat yang berbilang bangsa.

Mereka tidak hormat kepada Perlembagaan yang menyatakan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Mereka tidak pedulikan tentang sensitiviti umat Me­layu Islam yang menjadi majoriti di negara ini. Apa yang mereka pentingkan adalah kehendak dan ideologi mereka untuk sedaya upaya menjadi negara ini sebuah negara sekular. Sebuah negara yang sama rata, sama rasa.

Sebab itu, kita lihat kenyataan pemimpin DAP akan lebih menjurus kepada menegakkan ideologi politik sekular mereka tanpa mempedulikan orang lain. Saya melihat, DAP sejak akhir-akhir ini bertambah galak apabila ada segelintir pemimpin Melayu yang tidak sedarkan diri, menyokong segala tindak tanduk mereka.

Bagi penulis, apa yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan kepada rakyat hakikatnya adalah sebuah kerajaan yang dikuasai oleh DAP. Biarpun DAP tidak memegang jawatan, itu bukan perkara penting buat mereka. Apa yang penting ialah, mereka menguasai pentadbiran dan keputusan mutlak berada di tangan mereka.

Mereka tidak kisah jika pemimpin Melayu di dalam pakatan itu menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Apa yang penting bagi mereka ialah sebagai parti yang pastinya akan menjadi dominan berdasarkan jumlah kerusi. siapa pun pemimpin Melayu yang berada di kedua-dua itu kelak harus mengikut telunjuk mereka.

Biar pun ada pihak yang mendakwa penguasaan DAP terhadap Pakatan Harapan hanyalah propaganda UMNO, namun dakwaan tersebut tidak dapat menutup fakta sebenar. Sejak dari Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan, DAP sememangnya mahu menjadi parti paling berkuasa dalam pakatan tersebut. Disebabkan sikap DAP yang dilihat terlalu berkuasa di dalam pakatan pembangkang itulah yang menyebabkan Pas yang begitu kuat dengan ideologi negara Islam akhirnya terpaksa bertindak keluar daripada pakatan pembangkang kerana tidak tahan dengan sikap ‘taiko’ yang ditunjukkan DAP. Oleh itu, apa yang tinggal dalam Pakatan Harapan, adalah parti pro DAP dan pemimpin Melayu yang bersedia akur dengan apa sahaja kehendak DAP.

DATUK ZEIN ISMA ISMAIL ialah Ketua Penerangan UMNO Selangor.

kredit© Utusan Melayu (M) Bhd