UMNO Selangor berbesar hati menyambut baik kembalinya Mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, kepangkuan parti.

Kami UMNO Selangor menyifatkan Tan Sri Mat Taib sebagai seorang pemimpin berjiwa besar apabila tidak segan silu mengakui kesilapannya meninggalkan UMNO dan meletakkan kepercayaannya kepada pihak pembangkang dalam perjuangan membela Islam, bangsa dan tanahair.

Bagaimanapun kami percaya bahawa setiap yang berlaku itu pasti ada hikmah dan pengajaran berguna yang boleh kita pelajari.

Setelah lima tahun lamanya Tan Sri berada di dalam politik pembangkang, namun akhirnya beliau terpaksa mengakui bahawa tindakannya membawa wadah perjuangan alif ba ta di dalam pakatan pembangkang hanyalah satu usaha yang sia-sia belaka.

Kami yakin dan pasti, bahawa Tan Sri Muhammad Taib kini dapat melihat dan merasai sendiri parti manakah yang benar-benar mampu untuk terus beristiqamah dalam perjuangan untuk memelihara kepentingan bangsa Melayu.

Tan Sri Mat Taib akhirnya akur hanya UMNO yang konsisten memperjuangkan bangsa Melayu, bukan PAS mahupun PKR. UMNO terbukti wadah perjuangan sejati bangsa Melayu sejak kemerdekaan negara ini.

Apa yang UMNO Selangor ingin tekankan di sini ialah kembalinya Tan Sri ke pangkuan UMNO jelas memperlihatkan bahawa perjuangan agama dan juga bangsa tidak ada tempatnya di dalam pakatan pembangkang.

Ini memandangkan pemimpin Melayu Islam di dalam PKR tidak punyai kuasa untuk bersuara tentang hal-hal yang melibatkan Islam dan bangsa Melayu.

Dengan pengunduran TSMT dari kepimpinan pembangkang Di Selangor, sudah terang lagi bersuluh, bahawa kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui oleh PKR sebenarnya dikuasai oleh DAP.

Sebagai contoh, isu penganjuran pesta arak di Selangor baru-baru ini merupakan satu isyarat yang jelas bahawa DAPlah yang menguasai dan menjadi kata pemutus dalam sesuatu isu yanga berlaku di negeri ini.

Cerita DAP menguasai pentadbiran, biarpun tidak memegang jawatan tertinggi dalam negeri bukan satu cerita baru. Ia juga bukan hanya sekadar cakap-cakap di warung kopi, atau desas desus khabar angin. Ia telah terbukti. Bukan hanya di Selangor, tetapi ia juga berlaku di mana saja negeri yang pembangkang menguasainya.

Kita ambil contoh seperti yang berlaku di negeri Perak ketika Pakatan Harapan menguasai negeri itu selama sembilan bulan sebelum diambil alih oleh BN. Ketika itu, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar.

Beliau seorang Melayu dan beragama Islam. Walaupun beliau berbangsa Melayu dan beragama Islam, namun hakikatnya DAPlah yang membuat keputusan dalam isu-isu pentabbiran termasuk dalam soal Islam dan bangsa Melayu.

Hasilnya, sebuah tanah di kampung baru Cina diserah milik kepada penduduk kampung tersebut selama 999 tahun! Sudah pastinya, itu bukan kehendak Nizar. Penyerahan tanah selama tempoh itu kepada sesebuah kampung tidak pernah berlaku sepanjang sejarah politik negara, dan ianya sudah tentu terjadi di atas kehendak DAP.

Hanya tidak sampai setahun berkuasa, mereka sudah berani menyerahkan tanah secara eksklusif selama 999 tahun kepada sebuah kampung Cina. Bayangkan jika mereka menguasai negara, pastinya segala tanah di negara ini akan bertukar milik kepada kaum tertentu dalam tempoh masa yang tidak masuk akal, seperti yang berlaku di Perak.

Begitu juga di Kedah ketika PAS menguasai pentadbiran negeri pada tahun 2012. SAaya masih ingat lagi bagaimana kerajaan negeri Kedah, yang ketika itu dikuasai oleh PAS melontarkan cadangan agar papan tanda iklan-iklan yang memaparkan model wanita di negeri tersebut agar berpakaian menutup aurat.

Cadangan tersebut akhirnya dibatalkan hanya kerana Pengerusi  DAP Kedah, Lee Guan Aik membantah dan mengugut untuk memutuskan tahaluf siayasi bersama PAS. Hanya kerana seorang wakil DAP membantah, maka cadangan itu dibatalkan. Di sini kita boleh lihat betapa lemahnya pemimpin Melayu  di dalam pakatan pembangkang apabila berhadapan dengan DAP, terutama apabila melibatkan keputusan berhubung Islam dan bangsa Melayu.

Situasi yang sama juga berlaku di dalam kerajaan Selangor hari ini. Biarpun Menteri Besarnya datangnya dari PKR, namun amat jelas bahawa Menteri Besar itu hanyalah semata-mata boneka dan tidak mampu untuk membuat sebarang keputusan tanpa restu DAP, biarpun ia berkaitan dengan hal ehwal umat Islam dan bangsa Melayu.

Inilah antara perkara penting yang perlu difikirkan oleh rakyat, khususnya umat Melayu dan Islam di negara ini. Di sini UMNO Selangor ingin tegaskan, bahawa orang Melayu bukan anti kaum Cina. Orang Melayu juga bukan rasis. Tetapi majoriti orang Melayu tidak dapat menerima cara dan corak pemikiran serta ideologi politik pemimpin dan penyokong DAP yang jelas biadap serta tidak mempunyai sensitiviti terhadap masyarakat yang berbilang bangsa.

Mereka tidak hormat kepada perlembagaan negara yang menyatakan Islam sebagai Agama Persekutuan. Mereka tidak pedulikan tentang sensitiviti umat Melayu Islam yang menjadi majoriti di negara ini. Apa yang mereka pentingkan adalah kehendak dan idelogi mereka untuk sedaya upaya menjadi negara ini sebuah negara sekular. Sebuah negara yang sama rata, sama rasa.

Rakyat khususnya di Selangor perlu sedar, hakikatnya apa yang ditawarkan oleh pakatan harapan kepada rakyat hakikatnya adalah sebuah kerajaan yang dikuasai oleh DAP. Biarpun DAP tidak memegang jawatan, itu bukan perkara penting buat mereka. Apa yang penting ialah, mereka menguasai pentadbiran dan keputusan mutlak berada di tangan mereka.

Mereka tidak kisah jika pemimpin Melayu di dalam pakatan harapan menjadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar atau pun Ketua Menteri. Apa yang penting bagi mereka ialah, perdana menteri dan timbalan perdana menteri itu kelak berada di bawah telunjuk mereka.

Biarpun ada pihak yang mendakwa bahawa penguasaan DAP terhadap pakatan harapan hanyalah satu satu propaganda UMNO, namun dakwaan tersebut tidak dapat menutup hakikat yang sebenarnya.

 

Sejak dari Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan, DAP sememangnya mahu menjadi parti yang paling berkuasa di dalam pakatan pembangkang tersebut. Disebabkan sikap DAP yang dilihat terlalu berkuasa di dalam pakatan pembangkang itulah yang menyebabkan pakatan pembangkang berpecah sebanyak dua kali, apabila PAS bertindak keluar dari pakatan tersebut.

PAS yang begitu kuat dengan ideologi negara Islamnya itu akhirnya terpaksa bertindak keluar dari pakatan pembangkang kerana tidak tahan dengan sikap DAP yang mahu menguasai pakatan harapan. Akibat menentang DAP, akhirnya PAS sendiri berpecah apabila pemimpin PAS yang pro kepada DAP bertindak keluar dan menubuhkan parti PAN.

Jadi apa yang tinggal di dalam pakatan harapan, adalah parti-parti politik yang pro kepada DAP. Apa yang tinggal di dalam pakatan harapan hanyalah pemimpin-pemimpin Melayu yang menjadi macai kepada agenda DAP dan bergantung harap kepada parti tersebut untuk berkuasa memerintah negara.

Kami menganggap, parti-parti pembangkang seperti PPBM, PAN dan juga PKR hanyalah satu pakatan himpunan parti-parti politik penyokong DAP saja. Fungsi mereka tidak lebih dari itu. Pemimpin Melayu pakatan boleh berjanji dengan pelbagai janji-janji manis untuk mengekal hak-hak istimewa bumiputera, Islam sebagai agama persekutuan dan sebagainya, namun akhirnya keputusan itu ada di tangan DAP, bukan mereka.

Barisan kepimpinan UMNO Selangor berharap agar orang Melayu dan umat Islam di negara ini, khususnya di Selangor sedar, bahawa pemimpin Melayu di dalam pakatan pembangkang hanyalah kuda tunggangan DAP Inilah perkara penting yang sepatutnya kita sedar.

Hakikatnya hari ini, DAPlah yang menguasai pakatan pembangkang dengan kekuatan kerusi yang ada pada mereka, dan parti-parti lain yang berwajah Melayu itu hanyalah alat atau boneka Dap untuk melaksanakan hasrat mereka bagi menjadikan Malaysia sebuah negara sekular yang liberal dan sama rata.

Justeru rakyat yang sebelum ini ragu-ragu atau pengundi atas pagar boleh menilai parti manakah yang ikhlas dan bersungguh-sungguh membela nasib bangsa Melayu.

 

Sekian. Terima Kasih.

DATO’ HJ ZEIN ISMA HJ ISMAIL
KETUA PENERANGAN UMNO SELANGOR