DARI KETUA BAHAGIAN Utamakan kesejahteraan rakyat Selangor

Utamakan kesejahteraan rakyat Selangor

40

KETIKA ini sedang heboh diperkatakan mengenai pesta arak Better Beer Festival 2017. Acara yang sepatutnya diadakan di Kuala Lumpur ditolak secara tegas oleh Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) atas faktor-faktor keselamatan.

Bagaimanapun ada ura-ura ia mahu dipindahkan ke Selangor. Sama ada ia benar-benar akan berlangsung atau tidak, sama-samalah kita tunggu. Tetapi apa yang pasti Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi secara tegas mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghentikan pesta tersebut.

Sebenarnya, penulis pun tertanya-tanya apa untung­nya pesta seumpama itu diadakan di sesebuah negeri. Walaupun kita perlu menghormati hak dan kebebasan kaum lain tetapi ada perkara yang perlu dilihat dalam konteks lebih besar.

Di negara kita, mereka yang bukan Islam dibenarkan meminum arak, cuma agak aneh kalau ia mahu diadakan secara terbuka dan boleh mengundang pelbagai masalah khususnya dari segi ke­selamatan.

Justeru penulis berpendapat atas alasan apapun pesta arak itu tidak boleh diadakan di Selangor bukan sahaja soal keselamatan tetapi juga menjaga sensitiviti. Ia memandangkan mengikut statistik 57.9 peratus penduduk Selangor beragama Islam, Kristian 3.8 peratus, Buddha 24.4 peratus, Hindu 11.6 peratus dan lain-lain anutan 2.3 peratus.

Berdasarkan statistik itu adalah wajar jika sensitiviti umat Islam perlu turut dijaga dan bukannya menjaga hati kaum lain. Tambahan pula kalau mengikut laporan-laporan akhbar pemimpin-pemimpin agama lain juga menentang pesta ini.

Ia seperti mana ditegaskan oleh Presiden Malaysia Hindu Sangam, Datuk R.S Mohan Shan yang menegaskan, “Saya sa­ngat tidak bersetuju kalau pesta itu dilakukan secara terbuka kerana ia menggalakkan budaya tidak sihat seperti mabuk khususnya kepada golongan remaja yang akan mudah terpe­ngaruh.’’

Hakikatnya banyak lagi perkara lain yang perlu diberi tumpuan di Selangor berbanding terlibat dalam polemik pesta arak ini. Antara yang paling membimbangkan kita ialah masalah demam denggi di negeri itu yang diuar-uarkan sebagai negeri berkebajikan.

Untuk rekod, Selangor mencatatkan rekod tertinggi kes denggi dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini. Mengikut laporan statistik Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan, Kementerian Kesihatan, negeri itu mencatatkan 37,804 kes denggi, iaitu suatu jumlah yang membimbangkan dengan kadar 140 kes sehari.

Menurut laporan itu, jumlah kes yang direkodkan di seluruh negara dalam tempoh itu ialah 69,255 kes dengan negeri kedua tertinggi ialah Kuala Lumpur sebanyak 6,544 kes, Johor (6,219), Perak (4,793), Negeri Sembilan (2,714) dan Kelantan (2,238). Tempat paling rendah dilaporkan ialah di Labuan, dengan hanya 65 direkodkan.

Sepatutnya inilah antara yang patut diberi perhatian utama oleh kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Sebagai ahli politik yang suatu ketika pernah meredah parit untuk terlibat dalam gotong-royong membersihkan kawasan bagi menghapuskan nyamuk aedes, tumpuan khusus perlu diberikan kepada ancaman ini.

Tiada gunanya kita bercakap soal pelaburan berbilion-bilion ringgit, air percuma atau peruntukan sebanyak RM150 juta untuk skim peduli sihat, kalau masalah pe­nyakit denggi tidak boleh diselesaikan.

Kalau kerajaan negeri benar-benar prihatin laksanakan kempen besar-besaran bagi tujuan itu kerana sementara pembangunan dan pertumbuhan ekonomi, aspek kesihatan juga amat penting. Bak kata orang tiada guna kaya raya tetapi kita sakit.

Oleh itu penulis berharap Mohamed Azmin perlu lebih bijak memberi keutamaan dalam mentadbir negeri atau sekurang-kurangnya mengimbangkan pengurusan bagi sesuatu perkara. Sementara tumpuan perlu diberikan bagi memajukan negeri, soal kesihatan rakyat juga harus difikirkan.

Satu lagi isu yang masih lagi menjadi perdebatan dan persoalan serta polemik dalam kalangan rakyat Selangor ialah kenapakah sehingga ke hari ini, kerajaan negeri Se­langor begitu keberatan menandatangani Ikrar Bebas Ra­suah (IBR) yang dipelopori oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebagai anak jati Selangor, penulis rasa terkilan bukan disebabkan ideologi politik berbeza dengan kerajaan ne­geri tetapi merasakan tidak ada salahnya jika IBR ditandatangani.

Tambahan pula baru-baru ini, ketika berucap pada majlis penyerahan kelulusan pemberimilikan tanah di Kampung Melayu Subang, Mohamed Azmin membidas pemimpin-pemimpin kerajaan pusat sambil menegaskan, “kerajaan Negeri Selangor, kita ada maruah kita, ada integriti.’’

Kalau betullah kerajaan negeri Selangor mempunyai maruah dan integriti, sudah pasti Mohamed Azmin tidak akan keberatan menandatangani IBR seperti mana dilakukan oleh sekutunya DAP di Pulau Pinang dan Pas di Kelantan. Oleh itu adalah perlu dalam soal integriti ini, Mohamed Azmin kotakan janji dan jangan mengamalkan perbuatan ibarat cakap tak serupa bikin.

Apa yang lebih penting dalam menguruskan Selangor Mohamed Azmin harus bijak memberikan keutamaan khususnya berkaitan dengan kesejahteraan rakyat. Ja­nganlah melakukan tindakan yang semata-mata bertujuan menonjolkan kerajaan negeri dalam semua aspek tetapi dari segi perbuatan entah ke mana.