DARI KETUA BAHAGIAN Kenapa Pakatan Harapan gelisah?

Kenapa Pakatan Harapan gelisah?

56

PENULIS agak hairan dengan pelbagai reaksi yang diberikan oleh Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP apabila bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib membuat keputusan untuk menyertai semula UMNO – lima tahun selepas meninggalkan parti keramat orang Melayu itu.

Sebelum ini Muhammad pernah berada dalam Pas dan dua tahun kemudian menyertai PKR. Kalau kita masih ingat kemasukan beliau ke dalam PKR telah disambut dengan penuh gembira dua pemimpin kanan PKR iaitu Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketika itu kedua-dua pemimpin berkenaan begitu menghargai penyertaan Muhammad. Tiada langsung istilah surat khabar lama atau baharu, malah pandangan sama turut diberikan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang lain.

Mereka menganggap kehadiran Muhammad yang merupakan seorang ahli politik cukup berpengalaman di Selangor akan membantu meningkatkan sokongan rakyat terhadap parti itu sama ada di kawasan luar bandar mahupun bandar di negeri tersebut.

Tetapi kini apabila Muhammad membuat keputusan kembali ke dalam UMNO, segala puji-pujian dan penghargaan itu hilang entah ke mana. Apa yang ada hanyalah cacian dengan menyifatkan UMNO menerima ‘surat khabar lama’.

Namun perlu diingatkan ‘surat khabar lama’ itulah yang sebelum ini digunakan pembangkang untuk ­menyerang kembali kerajaan. Muhammad diusung ke sana ke mari termasuklah dalam kempen-kempen pilihan raya.

Bagaimanapun kalaulah soal ‘surat khabar lama’ mahu diperkatakan, Pakatan Harapan lebih teruk apabila sanggup menerima ‘surat khabar yang lebih lama’ untuk dijadikan Pengerusi mereka iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Lebih menyedihkan, ‘surat khabar yang lebih lama’ itu dulunya amat dibenci oleh pihak pembangkang khusus­nya DAP, PKR, dan Pas, tetapi sekarang Dr. Mahathir telah digunakan habis-habisan bagi menyerang kerajaan.

Malah beliau juga digunakan untuk mendapat soko­ngan daripada pengundi-pengundi Melayu termasuklah dalam kawasan Felda. Soalnya, kenapakah isu ‘surat khabar lama’ ini tidak diperkatakan? Apakah kerana ia memberi keuntungan kepada politik pembangkang maka segalanya mahu ‘dihalalkan’?

Justeru penulis berpendapat, pihak yang suka me­ngumpul ‘surat khabar lama’ ialah pembangkang. Mereka terima dengan lahapnya segala macam jenis bentuk ‘surat khabar lama’, terutama sekali yang datang daripada UMNO. Mereka tidak peduli, sekalipun surat khabar lama itulah yang dulu yang menghentam dan mencerca mereka, janji matlamat mereka untuk menjatuhkan kerajaan BN dan UMNO tercapai.

Sudah pasti kembalinya mereka kepada UMNO itu bersebab, penulis yakin seperti mana kata Muhammad puncanya adalah beliau akhirnya sedar parti pembangkang ­sememangnya tidak mampu berjuang seperti mana perjua­ngan UMNO dalam membela Islam, orang Melayu dan negara.

UMNO seperti mana yang kita tahu, sentiasa membuka pintunya kepada sesiapa sahaja untuk menjadi ahli. Malah, pemimpin dan ahli UMNO yang keluar parti, kemudian mahu kembali kerana sedar bahawa tidak ada parti selain UMNO yang mampu berjuang untuk agama, bangsa dan negara, pastinya kita alu-alukan.

Katakanlah jika Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal atau pun Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali pun ingin kembali kepada UMNO, insya-Allah penulis yakin pintu UMNO sentiasa akan terbuka untuk membuat rundingan ke arah itu. Jadi tidak timbul isu soal surat khabar lama atau tidak.

Ia memandangkan bagi UMNO, sesiapa sahaja yang mahu memperjuangkan nasib bangsa dan agama pasti akan dialu-alukan. Ini kerana perjuangan itu sama sekali tidak boleh dilakukan oleh PKR, PAN mahupun PPBM.

Faktanya mereka adalah ‘pak turut’ dalam Pakatan Harapan. Yang berkuasa dan menentukan segala-galanya bukan ketiga-tiga parti tersebut tetapi DAP. Inilah menjadi salah satu penyebab kenapa Muhammad yang penulis kenali mempunyai jiwa Melayu kental akhirnya kembali kepada UMNO.

Selepas berada dalam dua buah parti, Muhammad semakin sedar siapa ‘taiko’ dalam pakatan pembangkang dan memahami jika beliau berhasrat untuk memperjuangkan nasib orang Melayu, ia tidak akan ke mana, ­justeru kembali kepada UMNO adalah langkah terbaik.

Penulis juga beranggapan, sebenarnya dengan ‘me­nyerang’ kemasukan semula Muhammad ke dalam UMNO adalah satu lagi strategi mengambil alih isu bagi menutupi segala kepincangan yang berlaku di dalam Pakatan Harapan.

Jangan lupa ketika ini parti yang menjadi sandaran pakatan itu untuk menarik sokongan orang Melayu iaitu PPBM turut berhadapan dengan masalah apabila seorang demi seorang pemimpinnnya meninggalkan parti tersebut.

Tetapi penulis yakin, isu remeh-temeh yang cuba diprovokasikan itu tidak dapat mengalih perhatian rakyat daripada melihat kelemahan dan kepincangan yang sedang berlaku di dalam Pakatan Harapan. Jika pemimpin Pakatan Harapan menyangka mereka dapat memperbodohkan rakyat seperti dulu-dulu, maka mereka salah percaturan.

Mana mungkin mereka mampu menyorokkan bangkai gajah dengan sehelai daun pisang dan itulah perumpamaan yang tepat kepada pembangkang yang sedang huru-hara dengan pergolakan dalaman mereka.

Atas sebab itulah mereka khuatir apabila ada ­pemimpin seperti Muhammad membuat tindakan meninggalkan pakatan tersebut kerana ini akan membuktikan bahawa Pakatan Harapan sama sekali tidak boleh disandarkan harapan oleh rakyat.

DATUK ZEIN ISMA ISMAIL ialah Ketua Penerangan UMNO Selangor.

© Utusan Melayu (M) Bhd