KUALA LUMPUR, 20 Sept – Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail membalas sindiran pihak pembangkang kononnya UMNO menerima ‘surat khabar lama’,  ekoran kembalinya bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mat Taib ke pangkuan UMNO dengan menyifatkan pembangkang sebenarnya lebih teruk apabila menerima ‘surat khabar yang lebih lama’ untuk dijadikan pengerusi Pakatan Harapan.

Lebih menyedihkan kata beliau, ‘surat khabar yang lebih lama’ itu dulunya amat dibenci oleh pihak pembangkang, khususnya Dap, PKR, dan termasuklah Pas, tetapi ‘surat khabar yang lebih lama’ itulah kini yang diambil oleh pembangkang sebagai tempat rujukan.

“Pihak yang suka mengumpul ‘surat khabar lama’ bagi saya ialah pembangkang. Mereka terima dengan lahapnya segala macam jenis bentuk ‘surat khabar lama’, terutama sekali yang datang dari UMNO. Mereka tidak peduli, sekalipun surat khabar lama itulah dulu yang menghentam dan mencerca mereka, janji matlamat mereka untuk menjatuhkan kerajaan BN dan UMNO tercapai.

“Sudah pasti kembalinya mereka kepada UMNO itu bersebab, di mana saya yakin seperti mana kata Tan Sri Mat Taib, sebabnya ialah apabila beliau akhirnya sedar bahawa parti pembangkang sememangnya tidak mampu untuk berjuang sepertimana perjuangan UMNO dalam membela Islam, Bangsa Melayu dan Tanahair ini.

“UMNO seperti mana yang kita tahu, sentiasa membuka pintunya kepada sesiapa sahaja untuk menjadi ahli. Malah, ahli UMNO atau pemimpin UMNO yang keluar parti, kemudian mahu kembali kerana sedar bahawa tidak ada parti selain UMNO yang mampu berjuang untuk agama, bangsa dan negara, pastinya kita alu-alukan.

“Katakanlah jika Datuk Seri Shafie Apdal, atau pun Tan Sri Muhyiddin sekali pun ingin kembali kepada UMNO, insyaAllah saya yakin pintu UMNO sentiasa akan terbuka untuk membuat rundingan ke arah itu. Jadi tidak timbul isu soal surat khabar lama atau tidak!” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Zein berkata pembangkang sebenarnya cuba menutup isu ini dengan menimbulkan persoalan dan polemik yang remeh temeh demi untuk menutup kepincangan gabungan parti pembangkang itu sendiri apabila satu persatu pemimpin mereka mula meninggalkan pakatan harapan.

“Tapi saya yakin, isu remeh temeh yang cuba diprovokasikan itu tidak dapat mengalih perhatian rakyat daripada melihat kelemahan dan kepincangan yang sedang berlaku di dalam pakatan harapan. Jika pemimpin pakatan harapan sangka mereka dapat memperbodohkan rakyat seperti dulu-dulu, maka mereka salah percaturan.

“Mana mampu kita menyorokkan bangkai gajah dengan sehelai daun pisang, dan itulah perumpaan yang tepat kepada pembangkang yang sedang huru hara dengan pergolakkan dalaman mereka sendiri.

“Saya yakin, rakyat juga sudah mulai nampak bahawa gabungan parti politik mana yang lebih stabil dan mampu untuk mentadbir negara, dan bijak untuk memilih di antara intan dan kaca,” jelasnya.-MediaUMNO

Save