Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional siri 2 /2017 petang ini mengambil ketetapan untuk memperkukuhkan semangat dan prinsip Barisan Nasional terutama tentang kefahaman dan kerjasama dalam menentukan pembahagian kerusi kata Pengerusi Parti, Datuk Seri Najib Razak.

Mesyuarat yang berlangsung semalam 1 Jam 45 minit itu membincangkan pelbagai perkara terutamanya di dalam persiapan parti menuju ke Pilihanraya Ke-14 jelasnya lagi.

Katanya BN mahu penyelesaian pembahagian kerusi serta penentuan calon BN nanti diselesaikan mengikut semangat dan permuafakatan parti jelasnya.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, selain menyelesaikan isu penentuan kerusi secara muafakat, semua parti komponen juga sudah menyatakan persetujuan untuk menerima apa juga keputusan yang akan dibuat pucuk pimpinan.

“Soal utama kita bukan soal melobi… (namun) apa yang dianggap sebagai pilihan rakyat, ini bermakna kehendak rakyat perlu diberi pertimbangan utama,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn.

“Salah satu daripada kekuatan BN secara tradisi ialah bahawa kita merupakan satu gabungan yang kukuh dan stabil dan tidak seperti pembangkang kata perdana Menteri.

“ Mereka sering kali mengeluarkan kenyataan dan pendirian yang bercanggah antara satu sama lain sehingga kita tidak tahu siapa sebenarnya ketua mereka dan mereka juga sering mengubah pendirian mereka kata Datuk Seri Najib lagi.

Datuk Seri Najib turut mengulas mengenai beberapa faktor seperti perkembangan ekonomi negara pada penggal suku kedua ini.

Kata Datuk Seri Najib, mengambil kira beberapa angka mikro yang lebih menggalakkan termasuk kadar pertumbuhan suku kedua tahun ini yang mencecah 5.6 peratus, rizab antarabangsa yang mencecah jumlah yang terbesar dalam sejarah kita serta pengukuhan nilai ringgit yang semakin jelas dan nyata menunjukkan kita berada di dasar yang betul di dalam ekonomi negara.

Namun begitu tegas Datuk Seri Najib, ekonomi rakyat seperti kos sara hidup, perumahan rakyat harus disentuh dan diberi perhatian menjelang pembentangan bajet tidak lama lagi katanya.

Dalam pada itu, Parti BN turut mengulangi pendiriaan mengenai isu Rohingnya dimana parti memandang isu ini sebagai isu kemanusiaan dan bukannya isu agama.

Beliau turut mengumumkan misi kemanusiaan melalui Kementerian Pertahanan di mana bantuan ini akan terus diberikan kepada rakyat Rohingya yang kini menjadi pelarian di chittagong, Bangladesh .

Parti juga mengucapkan Tahniah di atas kejayaan penganjuran dan atlit di kejohanan Sukan Sea serta sambutan Kemerdekaan ke 60 baru-baru ini serta kelancaran projek MRT.

Antara yang hadir Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Tan Sri Joseph Kurup dan Pengerusi myPPP Tan Sri M. Kayveas.

Mengulas lanjut isu perpecahan parti pembangkang, Najib berkata prasyarat untuk mentadbir sebuah negara dengan kelestarian secara berterusan dan memberi keyakinan bahawa sebuah kerajaan itu boleh membawa kepada kestabilan dan pentadbiran yang kukuh adalah persefahaman dan kepemimpinan yang jelas.

Beliau berkata, persefahaman itu jelas tidak berlaku apabila pakatan pembangkang berkecamuk dalam membuat keputusan.

“Jangan kita mengetepikan peluang kita yang sangat baik untuk menjadi salah satu negara bintang bersinar dalam kalangan negara membangun,” katanya.

Ditanya tarikh PRU-14 berikutan pertumbuhan ekonomi negara yang semakin baik selain faktor perpecahan pembangkang, Perdana Menteri berkata, bila-bila masa adalah waktu yang terbaik.