Bahawa rata-rata rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam membaca laporan berita, melihat berkeping-keping gambar dan menonton paparan video berhubung penderitaan hidup etnik Rohingya di wilayah bergolak sekitar Rakhine, di Myanmar.

Begitu luluh hati melihat pembunuhan kejam berlaku di mana kanak-kanak dipenggal kepalanya, golongan wanita dirogol beramai-ramai sebelum dibunuh, malah ribuan mangsa yang dibunuh serta tidak kurang dibakar hidup-hidup di sana.

Cuba bayangkan sekiranya diberi peluang untuk ke wilayah Rakhine bagi melihat dengan mata kepala sendiri tentang tahap kehidupan dan penderitaan sebenar yang mereka alami. Dengar sendiri rintihan dan tangisan mereka.

Kebetulan setelah episod penderitaan etnik Rohingya memuncak dengan pembunuhan lebih 400 mangsa, manakala mencecah ratusan ribu mangsa kekejaman rejim di Myanmar terpaksa melarikan diri, penulis rasa terpanggil untuk menceritakan sedikit sebanyak pengalaman ke wilayah bergolak itu pada 2012.

Penulis berada di Rakhine kira-kira seminggu. Menyertai misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) yang diketuai Dato’ Seri Abdul Azeez Rahim, kami menggalas amanah Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, Kerajaan Malaysia dan umumnya rakyat Malaysia yang prihatin terhadap konflik tersebut.

Berlaku adil dan menggunakan perancangan strategi diplomasi yang berkesan, misi berkenaan berjaya disempurnakan dengan baik meskipun bantuan yang dibawa berkapal-kapal itu turut dikongsi oleh masyarakat Rakhine yang berseteru dengan etnik Rohingya.

Namun begitu, tahap kehidupan bagi kedua pihak agak berbeza.

Misalnya, penempatan bagi etnik Rohingya begitu dhaif sekali. Tempat berlindungnya terlalu asas. Keadaannya seperti pondok di kebun pisang yang disusun bagai rumah panjang. Berdindingkan anyaman buluh beratapkan rumbia, sungguh menyedihkan sekali.

Tandasnya bagai tandas di negara kita sekitar tahun 1950’an dulu. Tempat najisnya tak ubah bagai takungan kolam kecil di bawah papan bertenggek yang tidak mengalir ke mana-mana saliran keluar. Cuba bayangkan…

Selain itu, bekalan ubat-ubatan cukup terhad. Ketika kami di sana, ramai yang terbiar tanpa rawatan yang wajar. Walau dibekalkan, namun dalam jumlah yang sangat terhad. Maksudnya, jika diperlukan 4 biji paracetamol, mereka hanya dapat sebiji sahaja kerana terpaksa selebihnya terpaksa diberikan kepada pesakit lain di sesebuah penempatan itu.

Begitu juga dengan bekalan makanan. Ketika kami hadir membawa bantuan makanan, mereka menyerbu dan tidak putus-putus mengucapkan syukur kepada Allah selain berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia.

Maka tidak hairanlah jika mereka menangis teresak-esak apabila kami melangkah pulang dari penempatan mereka di sana. Meskipun etnik Rohingya juga ada yang masih tinggal di kampung mereka, namun mereka dikawal ketat oleh tentera Junta. Nyawa mereka tetap bagai telur di hujung tanduk.

Ia agak berbeza dengan penempatan masyarakat Rakhine yang turut diancam keganasan. Mereka agak selesa berlindung di kuil-kuil Buddha dan kampung halaman sendiri dengan kawalan ‘mesra’ tentera.

Penulis sendiri tidak dapat menahan airmata, terhambur keluar begitu mudah sebagaimana peserta misi bantuan yang lain. Perasaan marah, geram, sedih dan kecewa bercampur baur bila melihat rakaman visual bagaimana etnik Rohingya dibunuh kejam di dalam rumah mereka sendiri.

Satu rakaman yang pernah ditunjukkan etnik Rohingya di sana, penulis saksikan parang dihayun, menetak ke leher dan seluruh tubuh. Perut terburai dan darah terpercik ke serata rumah mereka. Difahamkan bahawa rakaman itu diambil oleh satu-satunya anggota keluarga yang terselamat kerana sempat menyorok di atas bumbung rumah mereka.

Jauh di sudut hati, penulis sujud meluahkan rasa syukur kepada Allah kerana Malaysia tidak pernah melalui saat-saat begitu kecuali ketika diserang tentera Jepun dulu. Itu pun rasanya tidaklah sekejam apa yang berlaku kepada etnik Rohingya.

Sekiranya dirujuk pada sejarah, sememangnya terdapat banyak ‘khilaf’ berhubung status etnik Rohingya di Myanmar. Itu normal. Namun walau apa pun status mereka, adalah tidak berperi kemanusiaan untuk mereka diperlakukan seperti binatang di negara tersebut.

Tidak kiralah sama ada mereka dizalimi oleh penduduk Rakhine beragama Buddha atau tentera Junta Myanmar, namun pada pandangan penulis, konflik yang berlaku di Myanmar perlu dihentikan segera atas dasar peri kemanusiaan.

Justeru itu, penulis memohon kepada Kerajaan Malaysia supaya mengambil langkah lebih pro-aktif dengan kerjasama negara-negara ASEAN supaya memberi tekanan kepada Kerajaan Myanmar untuk segera menghentikan ‘penghapusan etnik’ di sana.

Sekiranya negara berkenaan tidak mampu menangani konflik yang berlaku, adalah wajar mereka membenarkan PBB masuk untuk membantu mengatasi konflik berkenaan dengan penyertaan negara ASEAN dan pemantauan OIC. Pokok pangkalnya, kekejaman yang berlaku perlu berhenti serta merta.

credit : www.mykmu.net