DARI KETUA BAHAGIAN Azmin hanya bijak tuding jari?

Azmin hanya bijak tuding jari?

40

SALAH satu isu yang menarik perhatian ialah kritikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu Universiti Selangor (Unisel) dan empat lokasi lain termasuk Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) baru-baru ini.

Kata Mohamed Azmin tindakan SPRM itu bertujuan mencemarkan pentadbiran kerajaan negeri dan ada pihak tertentu cemburu dengan kejayaan Selangor termasuk dalam soal kestabilan politik.

Penulis hairan kenapakah Mohamed Azmin boleh membuat tuduhan sedemikian sedangkan serbuan oleh SPRM dilakukan selepas terdapat bukti yang menunjukkan ada asas untuk siasatan berhubung per­tikaian antara Unisel dan Jana Niaga Sdn. Bhd.

Sepatutnya sebagai Menteri Besar yang selama ini sentiasa ­memaparkan kononnya mengamalkan pentadbiran kerajaan negeri yang telus dan bersih, beliau perlu bersikap terbuka untuk membiarkan siasatan dijalankan.

Apa yang dilakukan oleh SPRM tiada kaitan dengan politik apatah lagi mahu mencemarkan nama baik kerajaan negeri. Kalau itulah hujah yang dilontarkan, ini bermakna Kerajaan Negeri Johor yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) juga boleh ber­kata demikian apabila seorang exco kanannya didakwa di mahkamah tidak lama dulu.

Bagaimanapun itu tidak berlaku kerana pemimpin-pemimpin BN bukanlah seperti pemimpin-pemimpin pembangkang yang sentiasa bersedia mempolitikkan apa sahaja demi meraih sokongan rakyat.

Oleh itu, adalah wajar jika Mohamed Azmin lebih matang dalam berpolitik dan tidak terburu-buru membuat tuduhan ke atas SPRM yang sudah pasti menjalankan tanggungjawab mereka secara profesional dan telus. Kalau tidak ada apa-apa dalam kes tersebut, Mohamed Azmin tidak perlu bimbang atau tidur tidak lena, biarlah siasatan SPRM membuktikannya.

Bagi penulis, daripada Menteri Besar Selangor itu memikirkan soal serbuan SPRM lebih baik beliau memberi penjelasan kepada rakyat, apa sebenarnya wayang politik yang sedang berlaku di negeri tersebut melibatkan PKR, DAP dan Pas.

Ini kerana ketika Pas sudah memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR, Mohamed Azmin mendakwa melaksanakan mandat PKR untuk berunding dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tindakan Mohammed Azmin itu agak mengelirukan kerana Pas Selangor baru sahaja mengumumkan akan bertanding di 42 kerusi DUN Selangor dan sekali gus memberi bayangan bahawa hubungan antara Pas dan PKR sudah pun berakhir.

Adakah rundingan yang dijalankan oleh PKR melalui Mohamed Azmin itu untuk menutup kecelaruan hubungan politik antara Pas, PKR dan DAP? Ini memandangkan PKR berada dalam Pakatan Harapan bersama DAP yang semua orang tahu menentang keras sebarang hubungan dengan Pas.

Kalau benar Mohamed Azmin mahu menjalin hubungan dengan Pas khususnya di Selangor, bagaimana dengan DAP? Apakah ini bermaksud PKR bersedia membelakangkan DAP semata-mata untuk bekerjasama dengan Pas? Atau PKR mahu memperalatkan Pas bagi menentang BN dalam PRU-14 nanti?

Mohamed Azmin boleh sahaja mendakwa ada pihak tertentu cemburu dengan kestabilan politik di Sela­ngor, tetapi tiada siapa pun yang cemburu sebaliknya yang wujud adalah orang keliru kerana mereka tidak faham bagaimana pentadbiran kerajaan negeri boleh diuruskan dengan sempurna kalau parti-parti yang tidak sehaluan boleh berada dalam satu kerajaan.

Kestabilan politik bukannya diukur dari segi tidak wujudnya huru-hara atau pertikaian, tetapi sejauh manakah ia berkesan dalam membela nasib rakyat dan menyelesaikan masalah mereka.

Penulis percaya pelbagai masalah yang membelenggu rakyat Selangor adalah hasil daripada kecelaruan hubungan politik antara parti-parti di dalam pentadbiran kerajaan negeri. Oleh itu, Mohamed Azmin tidak harus menutup kelemahan atau mahu bersandiwara dengan menuding jari kepada pihak lain apabila berlaku sesuatu masalah.

Apa yang anehnya apabila Kerajaan Pusat cuba ­menyelesaikan masalah rakyat negeri tersebut, beliau dan exco-exco kerajaan negeri menuduh pula ia bermotifkan politik sedangkan rakyat memerlukan pembelaan. Berdasarkan keadaan itu, kita tidak perlu terkejut dengan dakwaan Mohamed Azmin yang penulis anggap lebih bijak menuding jari kepada pihak lain apabila ada masalah berlaku di Selangor.

Contohnya, dalam kes serbuan SPRM, ia tiada kaitan dengan sebarang agenda politik, tetapi ini tidak bermakna BN boleh mendiamkan diri jika ada kes atau isu melibatkan kepentingan rakyat.

Jika pemimpin-pemimpin pembangkang boleh ­melakukan pelbagai tuduhan dan dakwaan kepada kepemimpinan BN, apakah salah kalau pemimpin-pemimpin BN membangkitkan sesuatu isu yang berdasarkan kepada fakta dan bukti? Mohamed Azmin perlu faham rakyat kini sudah bijak menilai yang mana satu kebenaran dan yang mana satu sandiwara politik.

Dari semasa ke semasa, kelemahan pentadbiran kerajaan negeri Selangor di bawah kepemimpinan Mohamed Azmin semakin terserlah dan paling malang banyak isu rakyat tidak diselesaikan. Apa yang berlaku adalah tidak adil kepada rakyat Selangor.

Atas sebab itulah, Mohamed Azmin dilihat agak beremosi apabila tercetus sesuatu isu. Beliau mungkin menyedari rakyat semakin boleh menilai keupayaan sebenar beliau untuk mentadbir kerajaan negeri. Apapun penulis berharap Mohamed Azmin tidak terus mengamalkan politik sedemikian kerana ini akhirnya hanya akan menyebabkan rakyat Selangor menderita.

Datuk Zein Isma Ismail

kredit © Utusan Melayu (M) Bhd