SUBANG, 23 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Selangor, Dato Zein Isma Ismail berkata, Dr. Mahathir Mohamad perlu mengambil tanggungjawab terhadap kerugian wang negara yang dianggarkan lebih AS10 bilion (RM44 bilion) memandangkan beliau ketika itu merupakan Perdana Menteri yang berkuasa untuk membuat sebarang keputusan termasuk dalam isu pelaburan forex tersebut.

Menurut beliau, isu kerugian wang negara dalam isu pelaburan forex yang berlaku di zaman pemerintahan Dr. Mahathir bukanlah hanya sekadar tuduhan semata-mata, tetapii ianya benar-benar berlaku dan  tidak sama seperti isu 1MDB yang digunakan oleh pembangkang untuk menyerang kerajaan hari ini.

“Kerugian yang berlaku akibat kesilapan beliau membuat keputusan itu amat jelas dan diketahui umum khususnya oleh pegawai-pegawai kerajaan yang mentadbir negara ketika itu. Malah, dalam sebuah buku bertajuk  Malaysian Maverick tulisan Barry Wain yang telah diulang cetak sebanyak enam kali, turut mendedahkan beberapa skandal lain yang berlaku ketika pentadbiran beliau seperti skandal Perwaja Steel, skandal Bank Bumiputera dan beberapa lagi.

“Ini amat berbeza dengan isu 1MDB yang menjadi modal pembangkang di mana isu tersebut  hanya dikutip oleh pembangkang dari sebuah akhbar yang diragui ketelusan dan kebenarannya, tanpa ada sebarang bukti kukuh yang boleh mensabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam penyelewengan yang berlaku.

“Bahkan, Datuk Seri Najib sendiri secara terbuka dan berani membenarkan pihak-pihak tertentu seperti PAC yang turut dianggotai oleh pemimpin pembangkang untuk menyiasat tentang isu 1MDB ini. Siasatan itu juga telah membuktikan bahawa  Datuk Seri Najib terlibat dalam skandal tersebut dan ia diakui sendiri oleh pemimpin pembangkang sendiri yang terlibat dalam siasatan tersebut.

“Jadi amat jelas, skandal forex yang berlaku di zaman beliau itu amat-amat berbeza dengan isu 1MDB yang berlaku di zaman pemerintahan Datuk Seri Najib hari ini,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Zein yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Subang turut menegaskan bahawa sebagai Perdana Menteri yang berkuasa membuat keputusan ketika itu, Dr.Mahathir perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam kehilangan puluhan bilion wang negara ekoran pelaburan forex tersebut.

“Dr.Mahathir mesti mengambil tanggungjawab terhadap berpuloh bilion kerugian yang dialami oleh negara akibat kesilapan beliau dalam membuat keputusan. Beliau tidak wajar meletakkan kesalahan itu terhadap orang lain sedangkan beliau ketika itu merupakan orang nombor satu negara yang berkuasa untuk membuat sebarang keputusan.

“Ketika beliau dipuji-puji sebagai tokoh yang membangunkan negara, beliau mengambil mileageitu hanya untuk dirinya. Sedangkan, hakikatnya beliau tidaklah membangunkan negara ini secara berseorangan, tetapi dibantu oleh jemaah menteri yang bersama beliau ketika itu.

“Jadi apabila kerajaan membuka semula siasatan isu ini, beliau perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya memandangkan kuasa untuk membuat keputusan terletak di tangannya. Jangan meletakkan kesilapan dan kesalahannya di bahu pihak lain apabila pihak kerajaan menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut,” ujarnya.

Bekas Perdana Menteri itu baru-baru ini membuat kenyataan dengan meletakkan kesalahan kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Jaafar Hussein dan bekas penolongnya Nor Mohamed Yakcop berhubung skandal forex tersebut.

Dalam perkembangsan yang sama, pasukan khas siasatan kerugian forex yang diketuai oleh Pengerusi Pentronas, Mohd Sidek Hassan telah memanggil beberapa individu termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga bekas penolong gabenor Bank Negara, Abdul Murad Khalid yang mana turut mendedahkan negara telah kehilangan sebanyak AS10 bilion ekoran pelaburan tersebut dalam siasatan tersebut.