KEMUDAHAN MENDAPATKAN RAWATAN DI INSTITUT JANTUNG NEGARA

Berikutan dengan paparan/kenyataan yang tular (viral) di media sosial berkaitan dengan Institut Jantung Negara (IJN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa, Kerajaan masih lagi menanggung kemudahan perubatan pesakit tanggungan Kerajaan iaitu Pegawai Kerajaan Persekutuan dan keluarga (suami/isteri, anak yang berumur di bawah 18 tahun atau sekiranya masih bersekolah di bawah umur 21 tahun dan ibu bapa yang sah), pesara persekutuan serta pesakit kurang mampu yang mendapatkan rawatan diIJN. Namun begitu, mereka terlebih dahulu perlu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam beberapa peraturan yang berkuatkuasa sebelum kos rawatan mereka dapat ditanggung oleh KKM.

Salah satu syarat yang telah ditetapkan sebelum mendapat rawatan di IJN adalah Pegawai Kerajaan Persekutuan dan pesara persekutuan perlu mendapat rujukan daripada Pakar Perubatan Umum (Physician)/Pakar Kardiologi dari hospital/klinik Kerajaan atau swasta, manakala bagi pesakit yang kurang mampu, mereka perlu mendapat rujukan daripada Pakar Perubatan Umum (Physician)/Pakar Kardiologi dari hospital/klinik Kerajaan sahaja.

Kerajaan melalui KKM sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat di mana bagi tahun 2016 sahaja, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM435.65 juta untuk membiayai kos rawatan pesakit tanggungan Kerajaan di IJN.

Sekian.

DATO’ SERI DR. CHEN CHAW MIN
Ketua Setiausaha
Kementerian Kesihatan Malaysia

23 Ogos 2017