DARI KETUA BAHAGIAN Kenapa Azmin Ali cepat melatah?

Kenapa Azmin Ali cepat melatah?

46

Saya sama sekali tidak terkejut dengan tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohammed Azmin Ali menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi dalang kekecohan dalam forum Nothing To Hide 2.0 anjuran Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Shah Alam pada Ahad lalu.

Ini adalah taktik biasa yang digunakan oleh Pakatan Harapan untuk mengalihkan perhatian rakyat dengan menyalahkan UMNO untuk menutup kegagalan mereka. Adalah tidak masuk akal bagi UMNO merancang melakukan provokasi seperti itu di tengah-tengah kehadiran penyokong pembangkang tanpa disedari mereka.

Saya difahamkan bahawa kawalan di forum tersebut dikatakan amat ketat bagaikan kawalan keselamatan ketika Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama melawat Malaysia. Oleh itu, sudah tentulah sukar jika UMNO mahu membuat kacau di situ, apatah lagi ia dihadiri oleh Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR sepatutnya lebih bijak dan matang untuk menangani krisis apabila ia berlaku. Begitulah juga dalam kes kekecohan itu. Sepatutnya sebagai pemimpin kanan sebuah parti dan memimpin sebuah negeri, beliau tidak harus tergopoh-gapah membuat tuduhan melulu kepada Perdana Menteri dan UMNO.

Tindakan beliau yang awal-awal lagi menuding jari kepada pihak lawan membuktikan Ahli Parlimen Gombak itu tidak matang untuk menangani krisis. Bagi mereka yang berada di Selangor, tindakan sebegini tidaklah menghairankan kerana itulah sikapnya sepanjang menjadi Menteri Besar.

Mohamed Azmin jarang sekali mahu me­ngakui kelemahan pentadbiran kerajaan negeri apabila timbul sesuatu isu berkaitan rakyat. Apa yang beliau bijak lakukan adalah menyalahkan pihak lain.

Di Selangor, sudah beberapa kali kita melihat bagaimana jika ada masalah termasuk krisis bekalan air, Mohamed Azmin akan menuding jari menyalahkan Kerajaan Pusat. Apabila ada masalah berkaitan pangsapuri atau rumah pangsa kos rendah, beliau akan menuding jari kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Tetapi yang menghairankan apabila Kerajaan Pusat cuba membantu menyelesaikan masalah di Selangor, beliau menganggap ia bermotifkan politik pula?

Inilah perangai Mohamed Azmin yang tidak pandai untuk bermuhasabah atau menjadi pemimpin yang matang apabila berhadapan dengan masalah atau krisis.

Sepatutnya dalam kes kekecohan di forum Nothing To Hide itu, Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar Selangor boleh bersabar menanti siasatan polis selesai.

Saya percaya tidak ada masalah untuk beliau mendapatkan maklumat daripada polis berhubung kedudukan sebenar kerana kejadian itu berlaku di dalam negeri yang beliau berkuasa.

Namun beliau cepat melatah dan cuba mempolitikkan kekecohan berkenaan untuk menunjukkan kononnya kerajaan takut kepada Dr. Mahathir dan mahu menutup mulut bekas Perdana Menteri itu yang lantang mengkritik kerajaan.

Kenyataan Mohamed Azmin menunjukkan ketidakbijaksanaan beliau dalam berpolitik. Apa perlunya UMNO mahu mengambil kesempatan di forum tersebut untuk menutup mulut Dr. Mahathir? Itu bukan kali pertama beliau berucap mengutuk kerajaan. Dr. Mahathir sudah berbuat demikian sejak dua tahun lalu tetapi kerajaan mahupun UMNO tidak melakukan tindakan tidak masuk akal untuk menghalang beliau.

Mohamed Azmin sepatutnya mengakui apa yang berlaku sebenarnya adalah bukti jelas bahawa penyokong dan ahli pembangkang sememangnya suka membuat kecoh dan huru-hara.

Bukannya tidak pernah berlaku peristiwa pergaduhan, tumbuk menumbuk, membaling kerusi dan sebagainya di dalam program pembangkang atau mesyuarat parti mereka sebelum ini, oleh itu kenapa menuduh UMNO menjadi dalang kekecohan di forum tersebut?

Mohamed Azmin sepatutnya faham, walaupun Dr. Mahathir kini sudah bersama Pakatan Harapan dan menjalin hubungan rapat dengan bekas-bekas musuh politiknya, ini bukan bermaksud segala kepincangan yang berlaku ketika beliau memimpin negara selama 22 tahun sudah dilupakan oleh penyokong-penyokong pembangkang.

Dan kekecohan yang tercetus pada forum itu disebabkan kegagalan Dr. Mahathir memberikan jawapan memuaskan terhadap soalan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Armada mengenai peristiwa Memali dan tuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jangan sangka apabila Dr. Mahathir menyertai pembangkang, semua kepemimpinan pembangkang termasuk penyokong mereka boleh menerima dengan tangan terbuka tanpa sebarang dendam, setelah apa yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu selama ini terhadap mereka.

Penyokong PPBM yang begitu taksub terhadap Dr. Mahathir mungkin lupa bahawa PKR terwujud akibat tindakan beliau memenjarakan Anwar. Malah mereka juga perlu ingat kerana kata-kata beliaulah juga menyebabkan DAP terus kekal dilihat sebagai parti yang rasis dan cauvinis di mata orang Melayu sehingga ke hari ini.

Mohamed Azmin sepatutnya mengkaji semua fakta ini sebelum sewenang-wenangnya menuduh UMNO menjadi dalang kekecohan di forum tersebut dan sebagai pemimpin PKR, beliau sudah tentu tahu apa `dosa-dosa’ Dr. Mahathir terhadap PKR.

Kesimpulanya saya berpendapat, apa yang berlaku adalah manifestasi ketidakpuasan hati serta penolakan penyokong pembangkang terhadap kehadiran Dr. Mahathir. Oleh itu, hanya orang tidak matang berpolitik seperti Mohamed Azmin sahaja yang menuding jari ­menyalahkan UMNO.

DATUK ZEIN ISMA ISMAIL

Ketua UMNO Bahagian Subang
Ketua Penerangan UMNO Selangor