SUBANG – Ketua Penerangan UMNO Selangor, Dato Zein Isma Ismail menyifatkan tuduhan bahawa UMNO merupakan dalang dalam kekecohan yang berlaku di program Nothing Too Hide 2.0 baru-baru ini merupakan salah taktik yang biasa digunakan pihak pembangkang untuk mengalih perhatian rakyat dengan menyalahkan UMNO untuk menutup kegagalan mereka.

Menurut beliau yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Subang, adalah tidak masuk akal UMNO merancang untuk melakukan provokasi seperti itu ditengah-tengah kehadiran para penyokong pembangkang tanpa disedari oleh mereka.

“Kita diberitahu bahawa kawalan program Nothing 2 Hide itu dikatakan amat ketat bagaikan kawalan keselamatan ketika Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama ketika hadir ke Malaysia. Jadi sudah tentulah sukar jika UMNO mahu membuat kacau di program tersebut, apatah lagi ianya dihadiri oleh Tun Mahathir.

“Bahkan, suar juga boleh dibawa masuk ke dalam program tersebut yang membuktikan bahawa kawalan keselamatan bagi program itu amat longgar dan tidaklah seketat yang digembar gemburkan oleh penyokong pembangkang, terutamanya PPBM.

“Jadi tuduhan pembangkang kononnya UMNO menjadi dalang dalam kekecohan tersebut bertujuan untuk mencederakan Tun Mahathir merupakan satu tuduhan yang dangkal dan tidak masuk akal jika difikirkan secara logik.

“Jika benar ada usaha untuk mencederakan Tun Mahathir, bukan begitu caranya. Pastinya Tun Mahathir dicederakan bukan di atas pentas, tetapi ketika berada di khalayak ramai seperti peristiwa beliau disembur dengan semburan lada ketika di Kelantan dulu.

“Apa yang berlaku sebenarnya hari itu adalah bukti jelas para penyokong dan ahli pembangkang yang sememangnya suka membuat kecoh dan huru hara. Bukan tidak pernah berlaku peristiwa pergaduhan, tumbuk menumbuk, membaling kerusi dan sebagainya di dalam program-program pembangkang  ataupun mesyuarat parti mereka sebelum ini,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Zein turut membidas kenyataan Marina Mahathir di dalam tweeternya dan kenyataan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali yang menuduh UMNO dan Datuk Seri Najib menjadi dalang dalam kekecohan tersebut bertujuan untuk mencederakan Tun Mahathir.

“Marina saya lihat kehilangan punca apabila porgam yang dihadiri oleh bapanya jadi sebegitu rupa dan serta merta menyalahkan Datuk Seri Najib dan UMNO, kononnya kekecohan yang berlaku itu adalah perancangan UMNO.

“Sedangkan hakikatnya, penyokong pembangkang sendiri yang bertindak liar akibat terlalu taksub dengan pemimpin mereka dan tidak boleh menerima  sebarang pertanyaan yang dilihat mengkritik pemimpin mereka itu.

“Manakala Azmin pula memperlihatkan kecetakkan pemikirannya apabila beliau tidak meneliti dan menyiasat terlebih dulu punca insiden tersebut dan secara semberono menuduh ini adalah kerja UMNO, yang mana ini adalah salah satu cara yang paling mudah untuk mengalihkan segala kelemahan dan kegagalan pembangkang kepada UMNO,” tegasnya.

Beliau seterusnya berkata, episod kekecohan seperti itu boleh dijangka memandangkan Tun Mahathir sendiri sebenarnya mempunyai sejarah hitam dengan parti-parti pembangkang seperti PKR dan Dap.

“Jangan sangka apabila Tun Mahathir menyertai pembangkang, semua kepimpinan pembangkang termasuk para penyokong mereka boleh menerima dengan tangan terbuka tanpa sebarang dendam, setelah apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir selama ini terhadap mereka.

“Penyokong PPBM yang begitu taksub terhadap Tun Mahathir mungkin lupa bahawa kerana tindakan beliau memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahimlah, parti PKR wujud untuk menentangnya. Kerana kata-kata beliau selama ini jugalah imej Dap terus kekal sebagai parti yang rasis dan cauvinis di mata orang Melayu sehingga ke hari ini.

“Jadi apakah penyokong PPBM menyangka, dengan setahun dua  Tun Mahathir di dalam pembangkang, penyokong dan kepimpinan pembangkang akan lupa segala perbuatan Tun terhadap mereka? Bagi saya apa yang berlaku itu adalah manifestasi ketidakpuasan hati serta penolakan penyokong pembangkang terhadap kehadiran beliau bersama pihak pembangkang,” ujarnya.