Bersorak sakan si Lim Guan Eng apabila Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya agar salah satu seksyen dalam Akta SPRM diisytiharkan sebagai tidak mengikut perlembagaan. ‘Kemenangan’ tersebut segera dihebahkan dan sambutan dibuat secara besar-besaran, seolah-olah Lim Guan Eng sudah bebas daripada pertuduhan jenayah rasuah dan salahguna kuasa.

Para penyokongnya cuba menggambarkan bahawa Lim Guan Eng telah menang dan tidak perlu menghadiri perbicaraan rasuah dan salahguna kuasa menerusi media-media sosial. Lim Guan Eng sendiri sebaik-baik sahaja Mahkamah Rayuan membuat keputusan membenarkan permohonannya bahawa Seksyen 62 Akta SPRM adalah tidak berperlembagaan, mengisytiharkan kemenangannya dalam tiga bahasa dan disebarkan menerusi media-media sosial.

Seksyen 62 hanyalah suatu peruntukan yang mengkehendaki orang yang kena tuduh untuk menfailkan pembelaannya. Dengan itu, secara tidak langsung akan mendedahkan inti pati pembelaan serta salinan dokumen yang akan dikemukakan sebagai bukti sebelum perbicaraan bermula.

Dengan kata lain, Seksyen 62 yang diputuskan melanggar perlembagaan itu, sebenarnya tidak menghalang Lim Guan Eng daripada dibicarakan kerana rasuah dan salahguna kuasa. Bahkan usaha Lim Guan Eng untuk memansuhkan Akta SPRM menggunakan mahkamah kononnya tidak berperlembagaan, sebenarnya tidak kesampaian.

SPRM dalam satu kenyataan medianya bertarikh 8 Ogos 2017 menyatakan, pihak mereka akan membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan itu. Namun pada masa yang sama, menjelaskan, keputusan Mahkamah Rayuan itu tidak akan menjejaskan pendakwaan terhadap Lim Guan Eng dan pasangan ‘gelapnya’, Phang Li Koon sebelum ini.

Maknanya, pendakwaan rasuah terhadap Lim Guan Eng pada 14 November ini memang akan diteruskan. Cuma kali ini, Lim Guan Eng tidak perlu failkan pembelaan sebelum didapati bersalah. Namun, seandainya hakim mendapati ada ‘prima facie’ baru yang mana sudah tentu pendakwaraya akan berusaha menimbulkannya, Lim Guan Eng tetap perlu failkan pembelaan.

Angka ’14’ nampaknya betul-betul menakutkan Lim Guan Eng. Tidak hairanlah seandainya air muka dan gerak tubuh Lim Guan Eng sendiri menceritakan ketakutan, kegusaran dan kebimbangannya kerana dia adalah Ketua Menteri pertama yang dibawa ke muka pengadilan kerana rasuah setelah bersungguh-sungguh mempropagandakan dirinya sebagai ‘terbersih’ ketika masih menjawat jawatan berkenaan.