SUBANG – Dakwaan Tun Dr.Mahathir Mohamad kononnya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi bertemu dengan beliau bagi memohon sokongan bagi menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah usaha terancang bagi memecah belahkan UMNO.

Sambil mengakui pertemuan antara bekas Perdana Menteri dan Ahmad Zahid itu memang berlaku, Ketua Penerangan UMNO Selangor, Dato Zein Isma berkata, ia berlaku 10 hari selepas Timbalan Perdana Menteri menduduki jawatan itu.
“Ia hanya merupakan pertemuan biasa. Ketika itu sudah tentulah antara individu yang akan beliau temui adalah Dr.Mahathir, atas dasar hormat kepada beliau atas pengalamannya selaku bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

“Namun kenyataan Dr. Mahathir mengenai pertemuan itu yang menggambarkan seolah-olah Ahmad Zahid ada membuat gerakan untuk menjatuhkan Najib merupakan satu yang tidak masuk akal, fitnah dan berniat jahat.

“Kita dapat lihat bagaimana Ahmad Zahid hari ini berdiri teguh mendokong, setia dan membela  Najib Tun dalam apa juga isu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Zein yang merupakan Exco Pemuda UMNO ketika Ahmad Zahid mengetuai pergerakan itu berkata,  hubungan baik Ahmad Zahid dengan Najib bukan baru.

“Ahmad Zahid telah bekhidmat dengan Najib sejak zaman Pemuda lagi bahkan beliau pernah juga menjadi Setiausaha Politik Najib malah selaku Ketua Penerangan  Pemuda UMNO tatkala Datuk Najib selaku Ketua Pemuda.

“Apa yang dilakukan oleh Tindakan Timbalan Perdana Menteri  bertemu dengan Dr. Mahathir adalah perkara biasa dan ia dilakukan oleh ramai pemimpin di dalam UMNO atas dasar hormat kepada yang lebih senior.

“Ia satu yang berbeza apabila bertemu untuk meminta nasihat dan sokongan dengan bertemu untuk berkonspirasi menjatuhkan pemimpin, seperti mana yang dilakukan oleh Dr. Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini,” jelasnya.
Oleh itu tegas beliau  ahli dan kepimpinan UMNO jangan mudah termakan dengan apa yang didakwa oleh Dr. Mahathir itu, yang dilihat bertujuan untuk menimbulkan syak wasangka sesama pemimpin dan ahli UMNO di peringkat akar umbi.
“Saya dapat rasakan kekecewaan Dr. Mahathir apabila melihat Ahmad Zahid terus menumpahkan taat setianya kepada Najib sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

“Beliau kecewa apabila melihat Zahid terus mempertahankan PM daripada apa juga serangan yang dilakukan oleh pembangkang.

“Dr. Mahathir tahu inilah masa yang terbaik untuk beliau memainkan isu ini bagi menenggelamkan isu DAP yang kini menjadi kepala bagi pakatan harapan. Inilah cara beliau mengalih perhatian rakyat daripada isu kegagalan pakatan harapan serta skandal pemerintahannya, kepada isu mahu menjatuhkan  Najib,” katanya.