Melalui reaksi terkininya semalam, YAB Lim Guan Eng berkata Barisan Nasional hanya pandai berbohong dan menyenaraikan beberapa alasan rapuhnya mengapa Pulau Pinang tidak akan menjadi negeri yang gagal.

YAB Lim Guan mendakwa salah satu bukti kononnya Pulau Pinang tidak akan menjadi negeri yang gagal ialah kerana boleh membayar bonus Hari Raya lebih tinggi kepada kakitangan awam di bawah pentadbiran negeri itu berbanding kakitangan Kerajaan Persekutuan.

Menurut YAB Lim Guan Eng ketika mengumumkan bonus berkenaan, pemberian itu akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM7.5 juta dari kerajaan negeri.

Jumlah RM7.5 juta hanyalah 4.81% dari RM156 juta yang diterima Kerajaan Pulau Pinang hasil jualan pegangan saham 49% dalam syarikat yang memiliki 80 ekar tanah di Pulau Jerejak tanpa sebarang tender terbuka 7 bulan lalu atau pada November 2016.

Dan ia juga hanyalah 4.81% dari RM156 juta yang diperolehi Kerajaan Pulau Pinang hasil jualan 7.4 ekar tanah kerajaan negeri di Lebuh Raya Peel dua bulan lalu iaitu pada April 2017, juga tanpa sebarang tender terbuka.

Kita juga tidak nampak bagaimana ia dianggap satu tadbir urus yang baik dengan membayar bonus Hari Raya melalui penjualan tanah dan aset kerajaan negeri, yang juga dikategorikan sebagai perbelanjaan operasi kerajaan negeri. Apatah lagi dengan kenaikan perbelanjaan operasi kerajaan negeri melonjak sehingga 500% dari tahun 2008.

Lim Guan Eng Dakwa Pulau Pinang Hanya Jual RM657.6 Juta Tanah Dari 2008 Hingga 2015

YAB Lim juga mendakwa salah satu faktor mengapa Pulau Pinang tidak akan terjerumus kepada kegagalan ialah kerana mereka mengamalkan tender terbuka.

Bagaimanapun, dua contoh disebutkan di atas iaitu menjual dua bidang tanah dan aset kerajaan negeri tanpa tender terbuka sudah cukup membuktikan dakwaan oleh YAB Lim tentang tender terbuka itu tidak benar sama sekali.

YAB Lim Guan Eng juga memberikan satu lagi alasan Pulau Pinang bukan negeri gagal ialah kerana ia adalah ‘negeri yang hampir hijau’ dan mendakwa kerajaan negeri melindungi rizab hutan.

Lim Guan Eng Kata 'Bukit Botak' Tak Wujud, Maka Ambiga Pembohong & Kroni BN?

Bagaimanapun, YAB Lim Guan Eng hanya perlu menjenguk tingkap pejabatnya di KOMTAR untuk diingatkan tentang ‘bukit botak’ yang menjadi tajuk utama akhbar, yang bukannya satu fatamorgana seperti di padang pasir atau ‘Penipuan BN’.

Biar kami ingatkan YAB Lim Guan Eng tentang penafian dibuat Datuk Ambiga Sreenevasan terhadap dakwaan kononnya semua projek sensitif di kawasan bukit diluluskan oleh kerajaan BN sebelum itu dan kerajaan YAB Lim Guan Eng tidak pernah meluluskan pembangunan seumpama itu.

Kenyataan media Datuk Ambiga pada 13 Februari 2016 yang turut memetik rekod rasmi Sidang Dewan Undangan Negeri menunjukkan kerajaan DAP meluluskan pembangunan 55 blok bangunan pencakar langit di kawasan bukit antara 2008 dan 2015, sekaligus membuktikan dakwaan kononnya ia diluluskan kerajaan BN sebelum itu, adalah tidak benar.

Kerajaan DAP Pulau Pinang Boros Demi Rakyat

YAB Lim Guan Eng turut mengulangi dakwaan kononnya Pulau Pinang adalah negeri yang mempunyai hutang paling rendah tetapi gagal menyebut bahawa pengurangan sebanyak 95% dari hutang kerajaan negeri adalah berikutan Kerajaan Persekutuan mengubah hutang RM655 juta kepada bayaran ansuran selama 45 tahun, bermakna jumlah hutang kerajaan Pulau Pinang masih kekal pada jumlah sama.

Jika YAB Lim Guan Eng terlupa, berikut adalah kenyataan media beliau yang mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan terhadap penukaran hutang kepada ansuran:

Selepas dua minggu dan tiga kenyataan dari kami, DAP berterusan mengelak dari menjawab mana-mana persoalan yang kami kemukakan malah sentiasa melencong dan memilih untuk menggunakan propaganda tidak benar.

Maka, siapa sebenarnya yang berbohong?

Adalah menyakitkan hati apabila terpaksa mengulangi soalan yang sama buat kali keempat namun tidak dijawab, maka kami tidak akan berbuat demikian.

Oleh Pasukan Komunikasi Strategik Barisan Nasional