KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak membidas pembangkang yang melancarkan semula kempennya memburuk-burukkan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata pembangkang telah menyebarkan cerita-cerita rekaan yang tidak disokong oleh sebarang bukti dengan melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Rosmah.

“Malah, banyak atau cerita-cerita berkenaan telah dibuktikan palsu apabila ia mula disebarkan beberapa tahun lepas. Jadi, sekali lagi, Malaysia dihidangkan dengan pesta pembohongan,” katanya dalam catatan di blog beliau www.sskeruak.blogspot.my hari ini.

Salleh berkata Pakatan Harapan sebenarnya cuba mengalihkan tumpuan rakyat Malaysia daripada kekeliruan mereka mengenai siapa yang bakal menjadi perdana menteri mereka.

Beliau menambah Pakatan Harapan kini berada pada tahap paling kritikal dalam kitaran hayatnya yang amat singkat, dan akan berkubur sama seperti Pakatan Rakyat, jika mereka gagal menyelesaikan perkara itu.