Kalau dari segi keputusannya, hubungan antara PAS dan PKR sudah terbatal atau putus sepertimana hubungan DAP dan PAS dalam Pakatan Rakyat dulu, apabila Majlis Syura Ulamak PAS membuat keputusan itu selepas mesyuarat mereka hari ini.

Kenyataan media dari mereka sudah menjelaskan bahawa hubungan antara dua parti itu putus selepas PAS berpendapat banyak pelanggaran berlaku dalam hubungan Tahaaluf Siyasi antara PAS dan PKR.

Usul untuk putus dengan PKR sudah diterima sebulat suara dalam Muktamar Tahunan PAS Pusat di Kedah dan ia adalah muktamad.

Menurut Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh, antara pelanggaran syarat dalam kerjasama PAS dengan PKR ialah PKR tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa oleh PAS contohnya pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355.

“Melanggar adab-adab berkerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan-tuduhan palsu yang merosakkan imej PAS.

“Khianat dalam hubungan politik dengan PAS antaranya dengan bekerjasama dengan pihak-pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Negeri Kelantan dan menentang PAS dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan keras Majlis Syura Ulamak ini nampaknya sama dengan pendirian PAS ketika putus dengan DAP iaitu hubungan ketiga-tiga parti di negeri Selangor mungkin terus dikekalkan kononnya atas dasar maslahah, kepentingan Islam dan rakyat.

Masalahnya, jika diteruskan PAS akan terus bersama dengan parti itu juga. Adakah PAS melihat UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Selangor sebagai pihak yang mereka tidak boleh bekerjasama untuk sama-sama mentadbir negeri Selangor seandainya kerjasama mereka berjaya mendapatkan majoriti seandainya keluar dari Kerajaan Negeri Selangor.

Di bahagian akhir, Nik Muhammad Zawawi berkata sebarang tindakan atau keputusan melibatkan urusan pentadbiran di Selangor diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk ditentukan.

Penghujungnya, sengketa PAS dan PKR ini nampak macam drama dibuat-buat pulak kerana di belakang rakyat, mereka masih bersahabat sama-sama. – pru14.tv