Dato Hj Zein Ism: Berhenti Buat Kenyataan Berbelit-Belit : Pembangkang Berterus Terang Sajalah Siapa Bakal PM Mereka – Zein Isma

SUBANG, 9 Mac –Ketua Penerangan UMNO Selangor, Dato’ Hj Zein Isma Hj Ismail menggesa parti pembangkang supaya berhenti daripada terus memberikan kenyataan yang berbelit-belit berhubung siapa calon Perdana Menteri mereka dan berterus terang siapa bakal calon Perdana Menteri pihak pembangkang sekiranya mereka  menang dalam PRU ke 14 nanti.

Menurut beliau, kenyataan pihak pembangkang berhubung siapa yang bakal diangkat menjadi Perdana Menteri seringkali bercanggah sesama sendiri, seolah-olah setiap parti pembangkang itu ada calon pilihan masing-masing untuk diangkat sebagai perdana menteri.

“Saya yakin, rakyat menjadi keliru dan bingung dengan kenyataan kepimpinan pembangkang yang kerap bertukar dan bercanggah antara satu sama lain. Sebelum ini, jelas bahawa PPBM melalui Tun Mahathir telah memperlihatkan kecenderungannya untuk mengangkat Tan Sri Muhyiddin atau pun Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai perdana menteri.

“Bahkan, ada dakwaan di mana telah wujudnya satu perbincangan tertutup antara Tun Mahathir dan penasihat Dap, Lim Kit Siang dalam isu ini di mana sehingga ke hari ini, tidak ada penafian yang dibuat oleh kedua-dua ahli politik veteran bagi menafikan dakwaan tersebut.

“Dan yang terbaru, kenyataan wakil  Dap di dalam parlimen semalam yang tetap bertegas mahukan Datin Seri Wan Azizah sebagai Perdana Menteri, telah menambahkan lagi kekeliruan di kalangan rakyat,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang, kenyataan saling bercanggah pihak pembangkang itu secara tidak langsung juga menimbulkan beberapa persoalan di mana apakah parti pembangkang ini sudah sampai ke tahap tidak jujur dan berbohong sesama sendiri demi untuk kepentingan parti masing-masing?

“Dengan kenyataan yang saling bercanggah itu, ia memperlihatkan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena diantara parti-parti pembangkang itu sendiri dalam soal siapa yang bakal dilantik menjadi Perdana Menteri.

“Apakah mereka ini sudah sampai ke satu tahap terpaksa berbohong terhadap rakan sekutu mereka sendiri demi untuk kepentingan dan survival parti politik masing-masing? Jika dilihat daripada senario pembangkang hari ini, ada kemungkinan  bahawa sesama mereka sendiri sudah tidak ada kepercayaan dan saling guna mempergunakan demi untuk keuntungan politik parti masing-masing,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar tidak memberikan kepercayaan kepada gabungan parti yang seringkali mengeluarkan kenyataan mengelirukan rakyat serta bercanggah daripada pelbagai sudut.

“Bukan soal isu siapa calon perdana menteri sahaja yang bercanggah, malah banyak lagi kenyataan mereka yang  bercanggah sesama sendiri yang sebenarnya telah menghakis kepercayaan rakyat terhadap kredibiliti pihak pembangkang,” ujarnya.