ISLAM MEMARTABATKAN WANITA*
#KamiPencintaWanita
                    ○○○
Tarikh 8 Mac merupakan hari yang istimewa untuk kaum wanita seluruh dunia kerana pada tarikh ini mereka akan diraikan dengan sambutan  Hari Wanita Antarabangsa (International Woman’s Day).  Hari Wanita bermula daripada sebuah kisah wanita biasa yang mencipta sejarah iaitu sejarah perjuangan wanita yang berabad lamanya untuk persamaan hak, keadilan, keamanan dan kemajuan dalam kehidupan.
Berbeza dengan Islam, Islam tidak menunggu Hari Wanita untuk berbicara tentang wanita. Al-Qur’an dan hadis banyak membicarakan kisah wanita sepanjang masa. Surah an-Nisa’, an-Nur, at-Talaq dan lain-lain menggambarkan keprihatinan Islam terhadap martabat wanita.
Sebelum kedatangan Islam yang lebih dikenali sebagai zaman Jahiliah, kaum wanita dipandang sebagai pembawa malang dan aib dalam sesebuah keluarga. Mereka menganggap yang wanita tidak berguna dalam institusi keluarga. Hal ini kerana, mereka tidak diberi kepercayaan untuk mengangkat senjata dan menghunuskan pedang bagi menegakkan maruah keluarga. Lebih-lebih lagi apabila berlaku pencerobohan atau peperangan untuk menentang musuh. Oleh itu, apabila sesebuah keluarga dikurniakan seorang bayi perempuan, mereka tidak akan gembira menyambutnya. Malah timbul dua pilihan bagi mereka samada bayi tersebut akan ditanam hidup-hidup ataupun keluarga tersebut akan menanggung malu dalam hidup bermasyarakat.
Hal ini dinyatakan oleh Allah S.W.T sebagaimana firman-NYA yang bermaksud :
“Dan sekiranya salah seorang dari mereka diberitahu tentang kelahiran seorang anak perempuan, mukanya terus jadi hitam kerana terlalu marah. Dia sembunyikan diri dari kaumnya kerana keburukan berita yang disampaikan kepadanya, apakah patut dipeliharanya dengan rasa malu atau ditanamkannya ke dalam tanah. Alangkah buruknya apa yang mereka putuskan”. (al-Nahl,16:58-59)
Selepas kedatangan Islam untuk mengangkat maruah kaum wanita dari kedudukan yang hina, kaum wanita telah diangkat martabatnya setanding kaum lelaki. Rasulullah SAW telah memerintahkan supaya kaum wanita diperlakukan menurut fitrah ia dijadikan sebagaimana dalam sabdanya yang bermaksud:
“Berlaku baiklah terhadap kaum wanita lantaran mereka diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok adalah bahagian yang teratas, jika kamu cuba untuk meluruskannya kamu akan mematahkannya dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok, maka berlaku baiklah terhadap kaum wanita kamu.” ( Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim, no. Hadis 4890)
Wanita menurut perspektif Islam, amat dihormati dan dihargai peranannya kerana  amat bersesuaian dengan epistemologi dan tasawur islam yang mengangkat martabat wanita dari ditindas. Sebagaimana eratnya hubungan siang dan malam yang saling melengkapi, begitu juga lelaki dan wanita diciptakan untuk saling melengkapi.  Oleh itu, setiap lelaki dan wanita memiliki tugas-tugas dan kewajipan yang berlainan, sesuai dengan fitrah masing-masing. Namun, matlamat hidup setiap lelaki dan wanita adalah sama, iaitu mencari redha Allah (Mardhatillah).
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Barangsiapa yang mengerjakan amalan yang soleh baik lelaki mahupun wanita sedang ia seorang yang beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun.” (an-Nisa’, 4:124)
Selain itu, dalam Islam wanita diciptakan sebagai penenteram dan penenang hati sebagaimana Firman Allah yang bermaksud:
“Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah, Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya.” (ar-Rum, 30:21)
Wanita pada zaman ini terutama di dalam negara bukan sahaja sudah ramai yang menyamai lelaki, bahkan lebih ke hadapan lagi. Ramai yang menjadi menteri, ketua jabatan dan sebagainya. Namun kejayaan di atas dunia ini tidak bermakna jika tidak disertai takwa kepada Allah S.W.T.
Lazimnya, di sebalik kejayaan seseorang lelaki itu ada seorang wanita menjadi tunjang di belakangnya. Keindahan dan kecantikan seseorang wanita itu terletak pada sejauh mana wanita tersebut dapat menjaga maruahnya. Manakala, kebijaksanaan wanita pula terletak pada hatinya. Wanita lebih cepat menangis daripada lelaki, hal ini memang sifat azalinya.
Wanita adalah kejadian terindah yang dicipta bagi melengkapi dan menutup kekurangan lelaki. Oleh itu, peranan lelaki dan wanita adalah sama penting iaitu untuk  menjadikan dunia ini aman harmoni di bawah naungan Allah S.W.T.  Justeru, bagi mencapainya lelaki dan wanita perlu memainkan peranan masing-masing menurut apa yang telah ditetapkan oleh syarak dan juga undang-undang yang adil.
*Selamat Hari Wanita Sedunia*
#BeraniUntukBerubah
Dato Hj Zein Isma Hj  Ismail
Ketua Penerangan UMNO Selangor
Rabu 8 Mac 2017; 15:10hr
Kota Damansara