Dalam era globalisasi ini, kesejahteraan dan kebajikan rakyat adalah merupakan sebagai ‘public goods’ yang sangat penting. Ia dapat memastikan kestabilan sosial dan menyumbang kepada kemakmuran, keamanan dan ketenteraman sesebuah negara. Malah, ia juga merupakan penanda aras status negara tersebut sebagai negara yang maju atau sebaliknya. Firman Allah SWT dalam Surah Saba’ ayat 15 iaitu:

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi penduduk Saba, ada tanda-tanda yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu dua kebun, yang terletak di sebelah kanan dan kiri. Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya. Negerimu adalah negeri yang baik dan Tuhan yang Maha Pengampun.”

Dalam konteks Wilayah Persekutuan hari ini, keberkesanan menangani dan memberikan bantuan kebajikan kepada masyarakat yang miskin, berkeperluan khas, anak-anak yatim dan mereka yang ditimpa musibah dan bencana adalah merupakan wadah dalam hubungan yang saling ber­gantung satu sama lain demi faedah dan kebaikan bersama. Ini bertepatan dengan hasrat negara untuk membawa kehidupan rakyat berkualiti tinggi, sejahtera dan terpelihara untuk masa akan datang.

PEMBACA YANG DIRAHMATI ALLAH,

Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Pelan Strategik 2016-2020 menyatakan bahawa pembangunan dan pertumbuhan berpaksikan rakyat merupakan salah satu tanggungjawab yang menjadi keutamaan mereka. Ini dijangka memberi manfaat kepada semua lapisan warga Wilayah Persekutuan khususnya dan warga Malaysia amnya.

Oleh yang demikian, bagi merealisasikan pelaksanaan strategi dan program yang telah dirangka, penyertaan dan pemerkasaan peranan masyarakat adalah amat diperlukan agar segala inisiatif yang diatur benar-benar mencapai sasarannya dan diteruskan ke generasi berikutnya. Hal ini mencakupi pemerkasaan jasmani dan rohani sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Yunus ayat 98:

Maksudnya: “(Dengan kisah Fir’aun itu) maka ada baiknya kalau (penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian – ketika mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka, dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan).

PEMBACA YANG DIRAHMATI ALLAH,

Sesungguhnya elemen kesejahteraan negeri atau negara dan kebajikan sosial rakyat adalah begitu kompleks dan pelbagai bentuk. Contohnya, ada yang memerlukan bantuan kewangan, pekerjaan, pendidikan, perubatan, perumahan dan kos sara hidup. Namun, adalah tidak wajar bebanan ini hanya digalas oleh pihak tertentu sahaja. Sebagai rakyat, kita mempunyai tanggungjawab yang sama dalam memastikan negeri dan negara ini sentiasa ceria dan sejahtera.

Tambahan lagi apabila kajian menunjukkan bahawa indeks perpaduan dan integrasi nasional masih kurang memberangsangkan dan perlu di atasi. Ini bermakna rakyat Malaysia yang pelbagai agama dan kaum, perlu menyokong kuat dan mengekalkan keharmonian yang dinikmati. Hari ini, pembangunan pesat Wilayah Persekutuan bukan sahaja telah mengubah lanskap fizikalnya, bahkan turut berdepan dengan pelbagai cabaran sebagai sebuah negeri yang moden dan masyarakat yang bertamadun.

Sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia dan seluruh negerinya sebagai sebuah negara maju 2050, maka sudah pasti ini satu tugas yang berat dan memerlukan komitmen yang tinggi. Sejarah membuktikan bahawa bandar-bandar besar yang maju zaman dahulu seperti Rom, Parsi, Kaherah, Baghdad, Cordova adalah kota yang kaya dengan kegemilangan disebabkan sumbangan ilmu, organisasi sosial, sistem perhubungan, sistem perundangan, bandar dan kesenian yang hebat.

PEMBACA YANG DIRAHMATI ALLAH,

Sempena Hari Wilayah Persekutuan yang disambut pada 1 Februari setiap tahun mimbar berkongsi keazaman bersama Wilayah Persekutuan dalam memastikannya menjadi pusat ekonomi, budaya, pendidikan, pembangunan, dan kesihatan yang unggul di negara ini. Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 105:

Maksudnya: “Dan katakanlah: Beramallah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya dan orang mukmin akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

Jelasnya, Wilayah Persekutuan boleh menjadi contoh atas langkah proaktifnya menceriakan bandaraya dan mensejahterakan warganya seperti menaiktaraf kualiti hidup dalam aspek pendidikan, pekerjaan, kemudahan infrastruktur dan utiliti; menyediakan rumah mampu milik bagi kumpulan berpendapatan sederhana dan ke bawah seperti RUMAWIP; memperkasa fungsi pelancongan; memupuk integrasi sosial masyarakat; meningkatkan jati diri, sahsiah dan nilai murni komuniti yang lestari; penubuhan dan pengoperasian Pusat Pengagihan Makanan dan Pusat Transit Gelandangan; dan meningkatkan kelestarian bandar.

PEMBACA YANG DIRAHMATI ALLAH,

Walau bagaimanapun, apa ertinya mempunyai fasiliti bertaraf kelas pertama jika masih ada segelintir masyarakat yang bermentaliti kelas ketiga dengan melakukan tindakan yang tidak wajar dan melanggar peraturan yang ditetapkan. Usahlah kita tergolong di dalam kategori mereka yang kurang bersyukur kepada Allah SWT sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Al-‘Araf ayat 10:

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya penghidupan, tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur.

Tuntasnya, orang yang kurang bersyukur menyebabkan dirinya tidak tenang, tidak bahagia, sentiasa keluh kesah dan tertekan akibat runtunan hawa nafsu yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia.

PEMBACA YANG DIRAHMATI ALLAH,

Menjelang cuti perayaan ini, ingin mengingatkan para pembaca sekalian agar memandu dengan selamat dan berhati-hati. Ini memandangkan catatan Ops Selamat 8/2016 lalu merekodkan sebanyak 19,572 kes kemalangan dengan 261 adalah kemalangan maut. Justeru, bagi meningkatkan tahap keselamatan di jalanraya, pihak Polis Diraja Malaysia akan melancarkan Op Selamat 10/2017 pada 21 Januari hingga 5 Februari 2017. Ingatlah, hadiah yang terbaik untuk yang tersayang apabila kita tiba ke destinasi dalam keadaan selamat. Ingin menegaskan bahawa:

Pertama Keamanan adalah kehidupan yang paling nikmat manakala ketakutan menghalang manusia mencapai kemajuan dan perpaduan.
Kedua: Kesejahteraan sosial seiring dengan misi Islam sebagai rahmatan lil alamin berasaskan konsep bekerja untuk memenuhi keperluan dan meraih kesejahteraan hidup individu, keluarga, masyarakat dan negara.
Ketiga: Negeri yang sejahtera, adil dan makmur adalah berlandaskan faktor kebijaksanaan dan perancangan yang strategik.

 

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdo’a dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. Allah berfirman: “(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan mengheretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali..” (Surah Al Baqarah: 126)