SHAH ALAM – Isu caj beg plastik yang dikenakan terhadap pengguna adalah soal ketelusan yang perlu diselaraskan dengan matlamat utama kempen oleh kerajaan negeri Selangor.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berkata, caj 20 sen yang dikenakan terhadap pengguna untuk setiap beg plastik telah lari daripada matlamat kempen di mana ia hanya menambahkan beban kepada rakyat.

“Bila caj dikenakan 20 sen terhadap pengguna, ini bukan lagi kempen tetapi hanya memberikan beban kepada rakyat.

“Ini menekan rakyat dan bukan lagi kempen malah hasil kutipan itu pula diserahkan bulat-bulat kepada pengusaha apabila rakyat bangkit dan marah,” katanya.

Malah kata beliau, harga sebenar beg plastik adalah kurang daripada 3 sen berbanding caj yang dikenakan dalam kempen berkenaan.

“Harga sebenar beg plastik ini tidak sampai pun 3 sen, jadi adakah kempen ini untuk bebas daripada penggunaan beg plastik atau kempen untuk menjual beg plastik?

“Malah hasil kutipannya juga tidak diketahui ke mana ia disalurkan sedangkan keuntungan yang diraih melalui caj ini adalah berlipat kali ganda,” ujarnya.

Katanya, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa kempen yang mengenakan caj 20 sen terhadap penggunaan beg plastik ini didakwa sebagai satu cubaan untuk mendapatkan dana politik.

“Malah terdapat khabar angin yang mendakwa bahawa ini adalah usaha untuk mendapatkan dana politik.

“Dan ini juga dikemukakan oleh salah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) melalui petisyennya kelmarin,” katanya.

Beliau turut menggesa agar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar memfokuskan kepada permasalahan rakyat.

“Saya minta Azmin agar fokus kepada masalah rakyat dan jangan hanya fokus kepada percaturan politik di peringkat negara tetapi rakyat di negeri Selangor ini sengsara.

“Sebelum ini pun banyak isu yang beliau lepas tangan contohnya isu air, pada mulanya dilepaskan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk jawab, selepas itu dikaitkan dengan paip pecah dan disalahkan kepada kilang haram, akhirnya Barisan Nasional pula yang dituduh mensabotaj bekalan air,” katanya.

http://www.selangorpost.com.my