KUALA LUMPUR, 26 Jan- Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail menyifatkan kenyataan Tun Mahathir yang mendakwa pendedahan dokumen CIA berkenaan skandal Bank Bumiputera (BMF) bermotifkan politik seolah-olah meludah ke langit terkena muka sendiri, memandangkan beliau dan pihak pembangkang sendiri menggunakan sumber-sumber luar, termasuk menggunakan nama Federal Biro Invertigation (FBI) untuk menyerang Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kata Zein, apabila CIA mendedahkan penyelewengan BMF ketika di zaman pentadbirannya, pandai pula Tun Mahathir dan pembangkang cuba menidakkan perkara tersebut dan mendakwa pendedahan CIA itu bermotifkan politik.

“Selama ini kita lihat Tun Mahathir terutama pembangkang, menggunakan sumber luar seperti akhbar Sarawak Report, Wall Street Journal untuk menyerang Datuk Seri Najib Tun Razak. Malah, dulu tersebar luas di media sosial, kononnya FBI juga sudah memulakan siasatan terhadap Datuk Seri Najib, sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali.

“Tetapi kali ini, bila terkena sendiri batang hidung sendiri dengan pendedahan CIA ini, pandai pula Tun Mahathir berkata  ini semua satu tuduhan bermotif politik dan sebagainya. Apabila beliau dituduh, ini semua bermotifkan politik. Tetapi apabila orang lain (Datuk Seri Najib) dituduh, tuduhan itu jadi betul sedangkan tuduhan terhadap PM itu banyak sekali keraguannya.

“Jadi hari ini jelas, bahawa serangan Tun Mahathir dan pihak pembangkang yang menggunakan sumber-sumber luar itu hanyalah serangan yang bermotifkan politik dan kuasa semata-mata. Mereka mahu jatuhkan Datuk Seri Najib dengan apa cara sekalipun, termasuklah menjaja fitnah dan tuduhan yang tidak benar kepada rakyat di negara ini,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah beliau, memang inilah cara dan pendekatan pembangkang di negara ini untuk menjatuhkan seseorang pemimpin dengan menggunakan sumber-sumber tidak sahih bahkan sanggup memfitnah, asalkan matlamat mereka tercapai.

“Contohnya ialah ketika PKR dan pakatan rakyat mahu menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim daripada jawatan Menteri Besar Selangor. Pelbagai alasan serta pelbagai cerita yang direka-reka dan dihidangkan kepada rakyat, ahli dan penyokong mereka untuk memburuk-burukkan imej dan kredibiliti Tan Sri Khalid. Bahkan mereka menipu  rakyat untuk mengadakan PRK yang terang-terang membazirkan tenaga, wang dan masa dengan mengadakan satu pilihanraya kecil yang tidak perlu.

“Apabila Tan Sri Khalid membawa segala pertuduhan dan dakwaan pihak pembangkang, khususnya PKR itu ke mahkamah, maka terbuktilah segala dakwaan mereka  itu hanyalah fitnah semata-mata apabila PKR akhirnya memohon maaf di atas segala perbuatan fitnah mereka itu melalui Setiausaha Agung mereka, Saifudin Nasution”, katanya.

Jelas beliau lagi inilah antara contoh betapa keji dan jijiknya taktik serta teknik politik yang digunakan oleh pihak pembangkang, termasuk Tun Mahathir  hari ini dengan menggunakan sumber tidak sahih serta fitnah yang direka-reka untuk menjatuhkan seseorang pemimpin.

“Apa yang berlaku terhadap Datuk Seri Najib hari ini, adalah modus operandi yang sama digunakan oleh PKR dan pihak pembangkang ketika mahu menjatuhkan Tan Sri Khalid di Selangor sebelum ini.  Cuma skala fitnah dan tohmahannya lebih besar dan lebih hebat lagi kerana Datuk Seri Najib memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

“Saya kira rakyat di negara ini secara keseluruhannya tanpa mengira agama dan bangsa perlu sedar akan hal ini. Kita mesti menolak parti politik yang menjadikan fitnah sebagai senjata utama mereka untuk menjatuhkan seseorang pemimpin, kerana perbuatan seperti itu tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan untuk rakyat dan negara,” ujarnya.-MediaUMNO