Sememangnya, umat Islam dituntut menjadi insan yang sentiasa taat dalam melaksanakan segala perintah Allah SWT di dunia ini. Tuntutan ini mencakupi semua aspek rohani dan jasmani yang menghubungkan manusia dengan penciptanya, menghubungkan manusia sesama manusia dan menghubungkan manusia dengan makhluk Allah yang lain.

Hakikatnya, ketaatan memerlukan kepada kesungguhan, kecekalan, keazaman dan memenuhi tuntutan agama bagi membolehkan kita mendapat keberkatan daripada apa yang diusahakan. Dalam hal ini, Imam Fakhrur Razi mentakrifkan Al-Barakah kepada dua makna iaitu (i) subur dan bertambah, dan (ii) kekal dan berterusan. Yang pasti, keberkatan merupakan suatu pengurniaan daripada Allah SWT kepada mereka yang taat dan sarat dengan nilai keimanan serta ketakwaan. Firman Allah SWT dalam Surah Al-A’raf ayat 96:

Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

PARA PEMBACA YANG DIRAHMATI ALLAH

Alhamdulillah, di permulaan tahun 2017 ini, marilah kita sama-sama mengorak langkah dengan penuh tekad dan keazaman serta cekal berusaha untuk menggapai lebih banyak kejayaan. Dengan kejayaan ini, diri kita, keluarga, masyarakat dan negara akan memperoleh pelbagai manfaat dan kebaikan.

Selain itu, kita akan terus menjadi umat yang kuat, bermaruah dan disegani kawan serta lawan berdasarkan acuan yang tersendiri demi masa hadapan yang lebih gemilang. Sesungguhnya, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat.

Namun, kita tidak boleh lemah semangat, apa lagi bersikap putus asa. Sebaliknya kita perlu rajin berusaha dan mengambil perhatian serius terhadap soal pendidikan generasi anak bangsa; menambah nilai aspek kesihatan dan kebersihan; mengurus kewangan berdasarkan keperluan dan kemampuan; dan menyemarakkan budaya perpaduan.

PARA PEMBACA YANG DIRAHMATI ALLAH

Pada masa sama kita juga menginsafi bahawa segala usaha yang kita lakukan pasti akan dipertanggungjawabkan apabila tiba saat dan waktunya kita bertemu dengan Allah SWT di hari kiamat kelak. Hal ini telah diperingatkan oleh Rasulullah SAW menerusi hadith yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Tirmizi iaitu:

Mafhumnya: “Daripada Abi Barzah Al-Aslami bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidak berganjak kaki seseorang di hari kiamat kelak sehinggalah dia ditanya tentang umurnya di manakah dihabiskan, tentang ilmunya pada apa diamalkan, tentang hartanya daripada mana diperolehi dan ke mana dibelanjakan dan tentang anggotanya untuk apa digunakan.”

PARA PEMBACA YANG DIRAHMATI ALLAH

Ibn Khaldun dalam kitabnya “Muqaddimah” menukilkan surat Abdul Hamid seorang setiausaha di Istana Hisyam bin Abdul Malik yang dibacakan kepada para setiausaha dalam hal pemerintahan menyatakan bahawa, “Benarkanlah diri kamu dibimbing pada masa hadapan dengan pengalaman masa silam. Kemudian pilihlah kaedah melakukan sesuatu pekerjaan yang lebih pasti, lebih tepat, dan yang menjanjikan hasil yang terbaik.

Sedarilah kamu bahawa ada sesuatu yang akan menghancurkan pencapaian, iaitu sesuatu yang menghalanginya daripada menggunakan pengetahuannya. Oleh yang demikian setiap daripada kamu sewaktu masih berkhidmat harus berusaha untuk berbicara tidak lebih daripada apa yang wajar, harus tepat dalam persoalan yang ditimbulkan dan jawapan yang diberikan, serta hujah yang dikemukakan. Dengan itu terdapat kebaikan dalam pekerjaannya dan dorongan untuk memperbanyakkan. Dan mohonlah kepada Allah SWT supaya Dia memberikan keberhasilan, serta membantu dengan petunjuk-Nya, kerana dibimbangi berlakunya kesalahan yang akan membahayakan tubuh badannya, akalnya serta pengetahuannya.”

PARA PEMBACA YANG DIRAHMATI ALLAH

Islam sebagai agama yang syumul telah meletakkan taklif ke atas umatnya dengan amanah dan rasa tanggungjawab. Melalui sifat-sifat mulia ini kita memberi sokongan dan memperjuangkan hak-hak kemanusiaan menurut kemampuan yang ada pada kita.

Dalam pada itu, kita tidak dapat lari dari berdepan dengan ujian dan cabaran yang tidak terduga. Kini, terdapat saudara kita di beberapa buah negeri sedang berhadapan dengan musibah banjir dan memaksa mereka berpindah dari kediaman mereka ke pusat perlindungan.

Sememangnya, dalam mengurus situasi ini kecekapan daya tindak dan tadbir urus pihak berkuasa khususnya dalam soal mengutamakan dan memperingkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana yang berlaku adalah amat penting sekali. Justeru, pelbagai langkah diambil yang merangkumi pelbagai peringkat dan menjadi tanggungjawab kita bersama supaya sentiasa bersedia jika berlaku apa-apa bencana termasuk dari segi perpindahan ke pusat pemindahan, persediaan sebelum menghadapi bencana dan sebagainya.

PARA PEMBACA YANG DIRAHMATI ALLAH

Dengan adanya kesedaran terhadap segala ujian dan hikmahnya, maka kita lebih bersedia untuk menghadapinya dengan penuh keinsafan. Bahkan kita juga sedia memikul tanggungjawab untuk bersama-sama mempersiapkan diri dengan langkah-langkah dalam memastikan keselamatan nyawa dan harta, mengamalkan sifat sabar, menginsafi diri dan redha dengan ketentuan Allah SWT, hindari segala perkara yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT dan tidak berputus asa daripada rahmat Allah SWT.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghulurkan bantuan dan mendoakan keselamatan mereka. Mudah-mudahan kecekalan kita menghadapi segala cabaran dan ujian membuahkan keberkatan daripada Allah SWT. Ingin mengajak para pembaca sekalian untuk menghayati intipati khutbah ini sebagai pedoman di dalam kehidupan kita, antaranya:

Pertama: Umat Islam dituntut untuk melipat-gandakan usaha dan tidak berputus asa dalam setiap cabaran yang datang.
Kedua: Kita dituntut beramal dengan ikhlas bagi meraih keredhaan Allah dan menambah keberkatan dalam hidup.
Ketiga: Kejadian bencana tidak boleh dipandang ringan tetapi memerlukan kesiapsiagaan dan usaha serius semua pihak.

 

Marilah kita merenungi firman Allah SWT di dalam Surah al Hadid ayat 22-23 yang berbunyi:

Maksudnya:Tidak ada kesusahan yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak juga bergembira dengan apa yang diberikan kepadamu. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabbur, lagi membanggakan diri”.