Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan menanggung kos subsidi jemaah haji sebanyak RM200 juta pada tahun depan, berbanding RM160 juta tahun ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri menyifatkan kos tanggungan itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memelihara dan terus menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia, selain membantu umat Islam menyempurnakan Rukun Islam kelima itu.

“Meskipun kos pengurusan haji meningkat saban tahun, seperti mana pada tahun hadapan yang meningkat kepada RM19,550 seorang, kadar bayaran haji buat jemaah tidak berubah sejak 2009, masih kekal RM9,980 seorang.

“Malah, lebih daripada itu, Tabung Haji turut memberikan subsidi buat jemaah haji bagi membantu memudahkan lagi urusan mereka dalam menyempurnakan ibadah haji yang mabrur,” katanya dalam catatan terbaharu di laman blog rasmi beliau, hari ini.

Katanya, urusan jemaah haji juga jauh lebih mudah dan ringkas melalui Tabung Haji, yang memberikan ruang buat umat Islam menyimpan wang secara beransur-ansur untuk melengkapkan perbelanjaan ke Tanah Suci Makkah. – Bernama