KUALA LUMPUR: Keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan resolusi menentang penempatan haram Israel di Palestin dilihat satu kemenangan buat rakyat Palestin yang telah lama ditindas, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata Malaysia bersama tiga lagi negara iaitu New Zealand, Senegal dan Venezuela setuju campur tangan dan membentangkan draf resolusi sama menuntut Israel menghentikan penempatan haram Israel itu.

“Alhamdulillah, berkat kekuasaan dan rahmat Allah SWT jua, meskipun pada mulanya berdepan cabaran apabila Mesir menarik balik cadangan draf resolusi mereka, nasib rakyat Palestin tetap akan terbela.

“Malaysia, bersama tiga lagi negara yakni New Zealand, Senegal dan Venezuela setuju campur tangan dan membentangkan draf resolusi sama menuntut Israel menghentikan penempatan haram mereka,” kata perdana menteri dalam catatan di blog rasmi beliau hari ini bertajuk ‘Resolusi Menentang Penempatan Haram’.

Najib berkata, keputusan itu bukan sahaja dari sudut agama, sebaliknya ia juga menandakan sokongan padu komuniti antarabangsa menentang pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan rejim Zionis.

Terdahulu hari ini, 18 anggota UNSC – termasuk empat anggota tetap iaitu China, Perancis, Rusia dan United Kingdom – mengundi memihak kepada resolusi itu manakala Amerika Syarikat tidak mengundi dan Israel mengundi menentangnya.

Wakil Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa Bersatu yang akan menamatkan khidmatnya, Datuk Ramlan Ibrahim, memberitahu Bernama selepas selesainya proses pengundian UNSC itu, perkembangan positif itu jelas merupakan kisah kejayaan Malaysia dalam arena diplomatik.

Disamping itu Israel juga telah membatalkan sumbangan dana bernilai jutaan dolar kepada beberapa badan yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai manifestasi terhadap tindakan Majlis Keselamatan badan itu yang meluluskan resolusi mengenai pembinaan penempatan haram Israel.

Dalam ucapan kepada rakyat Israel, perdana menteri Benjamin Netanyahu telah mengarahkan Kementerian Luar untuk melengkapkan penilaian semula hubungannya termasuk pembiayaan kepada PBB.

“Saya sudah arahkan Kementerian Luar menghentikan pembiayaan kira-kira 30 juta shekel (US$7.8 juta) yang membabitkan lima institusi di PBB, lima badan terutamanya yang memusuhi Israel, dan akan menghentikan beberapa pembiayaan lain,” kata Netanyahu.

Sebelum ini, Netanyahu berang dengan tindakan Presiden AS Barack Obama yang mengambil keputusan berkecuali tanpa memveto resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang meluluskan resolusi menentang penempatan haram Israel di Palestin.

Resolusi itu menuntut agar Israel “dengan segera dan sepenuhnya menghentikan semua aktiviti penempatan dalam wilayah Palestin, termasuk di Baitulmuqaddis Timur.”

Lapan belas anggota UNSC – termasuk empat anggota tetap iaitu China, Perancis, Rusia dan United Kingdom – mengundi memihak kepada resolusi itu manakala Amerika Syarikat tidak mengundi dan Israel mengundi menentangnya.