1. Selamat datang kepada semua perwakilan yang bersidang di dalam dewan ini. Semoga kehadiran pada kali ini dimanfaatkan oleh semua perwakilan dengan sebaik mungkin. Gunakanlah ruang ini untuk berbahas dan mengusulkan idea-idea bernas dengan penuh beradab.

2. Terlebih dahulu, sama-samalah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Sesungguhnya, ruang untuk kita berhimpun dengan penuh keamanan ini ialah suatu anugerah dan nikmat yang sangat besar. Ingatlah, ketika kita semua diberikan nikmat ini, ada saudara kita di luar sana yang bukan sahaja tidak dapat membincangkan persoalan umat dengan selesa, malah berhadapan pula dengan pembantaian dan pembersihan etnik seperti yang berlaku di Rohingya.img_2622

3. Di sana kini, rumah-rumah etnik Rohingya dibakar. Golongan wanita dirogol bergilir-gilir sebelum dipenggal lehernya. Kanak-kanak yang belum lagi mengenal makna kehidupan dirampas di hadapan ibu bapa dan sehingga kini tidak pulang-pulang. Ibu-ibu mengandung dibelah perutnya. Umat Islam pula dipaksa menukar agama atau dibunuh.

4. Justeru, Pergerakan Puteri UMNO mengecam pembantaian dan pembersihan etnik ini. Kita menggesa agar semua pihak, khususnya OIC, ASEAN dan PBB mengambil ketetapan dengan segera untuk menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan oleh Regim Mynmar itu. Kita juga mendesak supaya Jawatankuasa Anugerah Nobel menarik balik anugerah Nobel Keamanan kepada Aung San Suu Kyi.

5. Selain menggesa supaya semua pihak mengambil tindakan segera politik yang perlu, kita juga ambillah iktibar daripada peristiwa pahit ini. Sesuatu yang menimpa saudara kita di Rohingya tidak mustahil akan menimpa kita jika kita alpa.

Pengukuhan Parti
Hadirin dan hadirat,

Kayu jati dipasak kukuh,
Dipasak kukuh kiraan berlapan,
Semangat Puteri pasti kan teguh,
Menongkah cabaran masa hadapan.

6. UMNO ditubuhkan oleh nenek moyang kita 70 tahun yang lalu. Sejak itu, sejarah UMNO dan sejarah Malaysia seakan tidak boleh dipisahkan bagai sekeping syiling. Memisahkan sejarah UMNO dengan sejarah Malaysia, seolah-olah memadamkan salah satu bahagian syiling tersebut. Kenyataan tersebut diutarakan bukan untuk dibanggakan sebaliknya supaya dapat diinsafi.

7. Hal ini kerana, mewarisi suatu sejarah yang besar bermakna kita menggalas suatu tanggungjawab yang juga amat berat. Jika gagal bertingkah laku sebagai srikandi, tidak berperanan dengan berkesan dalam parti dan masyarakat, tidak mustahil sejarah akan berubah. Kita mesti sentiasa cuba untuk bersama-sama memperkukuh dan memperkasa sayap Puteri agar dapat turut sama membantu UMNO terbang jauh ke angkasa raya ketamadunan bangsa.

Ahli dewan yang dihormati,

8. Pada tahun ini, usia Puteri menjangkau lima belas tahun. Sepanjang tempoh ini, Puteri tentunya semakin dewasa dan lebih matang. Setiap detik nafasnya, jelas kelihatan Puteri sentiasa memperkasakan Parti dengan pelbagai program. Tahun 2016 sahaja menyaksikan pelbagai program dilakukan oleh Puteri melalui pelbagai biro. Baru-baru ini telah diadakan Pink Reunion yang mengumpulkan mantan ahli puteri sejak penubuhan Puteri dan kami masih perlu bantuan, sokongan dan pengalaman kakak mantan yang kami percaya silaturrahim yang terbina dapat menguatkan lagi jentera Puteri dalam membantu untuk memenangi pilihanraya.

9. Tahun 2016 sahaja menyaksikan pelbagai program dilakukan oleh Puteri melalui pelbagai biro. Antaranya ialah kelahiran ADINDA pada tahun lepas yang diusahakan Biro Politik serta penganjuran Gelanggang Mega Adinda yang dilangsungkan baru-baru ini. Begitu juga dengan Biro keahlian yang secara konsisten berusaha untuk menambah bilangan ahli. Biro Kesihatan yang diterajui oleh Dr. Faies pula gigih mempromosikan kesedaran autisme dalam program The Beauty of Autisme bagi membawa suara golongan ini ke tengah masyarakat. Dalam masa yang sama, Puteri terus yakin untuk melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa. Melalui Biro Antarabangsa dan IPT, selepas sukses menganjurkan ASEAN Young Women Leadership Conference 2015, tahun ini dianjurkan pula ASEAN Pink Dialogue 2016. Dalam program tersebut, Saudari Nor Hazreena Hashim telah dipilih sebagai Presiden Majlis Kepimpinan Wanita Muda ASEAN. Tahniah saya ucapkan kerana berjaya membuka lembaran sejarah baru dalam kepimpinan Puteri. Biro Pendidikan yang bergerak menerusi program Kembara Ilmu juga telah berjaya menyusuri masyarakat dengan membawa kesedaran ilmu dalam kalangan pelajar. Tahniah buat Datin Azura dan pasukan.

10. Dengan pelaksanaan program-program yang berterusan, saya mendapati kecenderungan wanita muda sangat versatil. Salah satunya yang paling ketara ialah minat yang tinggi terhadap pelbagai jenis bidang kesenian. Mereka yang menunjukkan minat itu pula memiliki bakat yang tinggi termasuk dalam seni persembahan dan seni visual. Sentuhan magis mereka mengkagumkan saya. Menyedari potensi ini, Puteri mengambil inisiatif bagi turut sama mendekati, merasai dan menyokong usaha mereka dengan lebih efisyen. Tanggungjawab ini kini didukung oleh Saudari Dira yang mengetuai Biro Pembangunan Kreatif. Beliau akan memperjuangkan dan memastikan pembangunan seni dan dunia kreativiti golongan wanita muda ini diberikan perhatian sewajarnya oleh semua pihak agar mereka bukan sahaja mampu mengasah bakat tetapi juga dapat membawa kehalusan seni mereka ke dalam masyarakat atau ke peringkat yang lebih tinggi. Sebenarnya, kepelbagaian seni tidak hanya terhad kepada persembahan pentas dan drama semata-mata, malah boleh direalisasikan ke dalam bentuk yang versatile, seperti lukisan moto berkreativiti, hasil kerja tangan halus, kraf, grafiti bermotif, fesyen dan lain-lain. Tidak mustahil, jika usaha ini dilakukan dengan bersungguh-sungguh, karya anak-anak muda ini boleh dipamerkan ke pameran antarabangsa. Dengan perkembangan sihat ini, Puteri bercadang untuk mewujudkan sebuah Rumah Seni yang akan berfungsi sebagai pusat sehenti. Pusat tersebut akan menjadi platform bagi golongan wanita yang berbakat dalam mengumpul, mengasah kemampuan dan mempamerkan kreativiti mereka kepada masyarakat.

Menuju PRU ke-14
Hadirin yang dihormati,

11. Secara umumnya, SPR menganggarkan terdapat sekitar 5 juta pengundi baharu untuk PRU ke-14. Sebilangan besar pengundi baharu ini terdiri daripada orang muda, khususnya golongan wanita muda.

12. Semalam, telah dilancarkan Buku Kajian Persepsi dan Harapan Wanita Muda Malaysia oleh Perdana Menteri. Hasil kajian buku tersebut menyarankan tiga dapatan penting yang berkaitan dengan harapan golongan wanita muda dalam politik. Pertama, golongan wanita muda meletakkan kepercayaan dan harapan yang tinggi kepada Pergerakan Puteri UMNO. Kedua, golongan wanita muda mahukan Puteri menjadi agen penghubung yang aktif dan berkesan antara wanita muda dan agensi kerajaan. Ketiga, kajian mendapati hasrat wanita muda yang mahukan golongan muda lebih banyak menjadi calon dalam pilihanraya akan datang.

13. Inilah aspirasi yang dikongsikan oleh golongan wanita muda dan dirakamkan secara objektif dalam kajian yang dibukukan itu. Persampelan yang dijalankan hanya melibatkan 10% responden ahli puteri dan juga ada responden dalam kalangan bukan bumiputera untuk memberi hasil yang lebih adil dan tidak berat sebelah.Justeru, wujud keperluan untuk menambah bilangan calon wanita dan calon orang muda pada PRU ke-14. Bagi merealisasikannya, saya telah berbincang dan bersepakat bersama dengan YB Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO Malaysia untuk sama-sama bersetuju memperjuangkan cadangan ini. Pergerakan Puteri bersama Pergerakan Pemuda dengan ini mencadangkan kepada parti supaya memberikan sekurang-kurangnya 30 peratus kepada calon orang muda pada PRU yang akan datang.

14. Satu kajian menunjukkan faktor calon menyumbang kepada 60 peratus kepada kemenangan dalam PRU. Selari dengan kajian tersebut, calon muda yang akan membawa nama parti juga mestilah berasaskan calon yang disukai ramai dan berkredibiliti. Dalam masa yang sama, calon-calon muda yang akan bertanding itu nanti juga harus diletakkan di kawasan yang sesuai dengan kecenderungan orang muda dan bukannya di kawasan yang mempunyai peluang kemenangan yang rendah.

15. Sebagai contoh, untuk kawasan yang mempunyai komposisi pengundi muda yang tinggi, calon-calon orang muda hendaklah diutamakan. Dengan cara itu, kita bukan sahaja akan dapat meremajakan imej parti, tetapi dalam masa yang sama kita dapat menghantar isyarat jelas bahawa kita memahami dan berada selari dengan kehendak dan aspirasi golongan muda.

16. Sewaktu mesyuarat bahagian yang lepas, didapati banyak bahagian yang mengusulkan keahlian automatik dan usul melanjutkan usia Puteri dari 35 ke 40 tahun. Sebenarnya, usul keahlian automatik telah berulang kali dicadangkan sejak Ketua Puteri UMNO Malaysia yang pertama lagi iaitu Dato’ Azalina sehinggalah ke Dato Rosnah Shirlin. Kami berharap supaya dalam isu ini akan ada sinar yang baru. Kami yakin, Tan Sri Shahrizat selaku Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia begitu memahami aspirasi golongan wanita muda. Malah perhatian beliau terhadap pelbagai program Puteri membuktikan hal ini. Yang terakhir, Pergerakan Puteri UMNO Malaysia ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Tan Sri sudi hadir memberi Ucap Tama dalam program ASEAN Pink Dialogue baru-baru ini dan menyumbang sebanyak RM 50,000. Bagi saya itu ialah petanda yang cukup baik. Justeru, sebarang perbincangan yang menyentuh isu keahlian ini akan dibincangkan secara bersama-sama demi memastikan kemaslahatan parti terjamin.

Rakan-rakan seperjuangan yang dikasihi,

17. Belakangan ini, salah satu perkara utama yang ditekankan parti ialah soal mentaliti jaguh (winning mentality). Apakah itu mentaliti jaguh? Mentaliti jaguh ialah suatu sikap positif yang perlu ada dalam setiap ahli puteri diasaskan kepada kepada 4K iaitu
a) keyakinan, iaitu keyakinan yang tidak berbelah bahagi terhadap parti;
b) kesetiaan, tetap dan teguh bersama membawa perjuangan parti;
c) keikhlasan, berjuang tanpa mengharapkan sebarang balasan dan keuntungan peribadi;
d) kesungguhan, memberikan yang terbaik dalam setiap usaha ke arah kejayaan parti

18. Dalam sejarah politik Amerika Syarikat pada abad ke-18, Benjamin Franklin dikenali sebagai seorang ahli politik yang polymath, yakni menguasai pelbagai kepakaran dalam bidang yang berbeza-beza. Suatu ketika beliau sering dikritik oleh seorang pengamal undang-undang dari Pennsylvania. Kritikan yang dilakukan oleh pesaingnya itu menimbulkan pelbagai kesulitan yang berpanjangan.

19. Untuk mengatasi hal ini, beliau menggunakan cara yang sangat unik dan mengejutkan. Beliau mendapat tahu bahawa musuhnya itu mempunyai simpanan buku-buku langka yang sangat penting dalam perpustakaan peribadinya. Benjamin Franklin pun menulis sepucuk surat memohon jasa baik musuhnya itu meminjamkan buku langka tersebut untuk beberapa hari. Seminggu kemudian, Benjamin Franklin memulangkan buku-buku itu dengan nota ucapan terima kasih. Dalam autobiografinya, Benjamin Franklin menyatakan dengan penuh kegembiraan bagaimana dalam pertemuan seterusnya, pesaing itu bercakap pertama kalinya dengan lembut dan mesra lagaknya seperti seorang sahabat. Sejak itu, mereka menjalinkan persahabatan yang berpanjangan dan berkekalan hingga ke hujung hayat.

20. Kisah Benjamin Franklin ini ialah secebis kisah bagaimana seorang yang mempunyai mentaliti jaguh menguruskan masalahnya. Namun, kerana mempunyai mentaliti jaguh yang tidak mudah mengalah, yakin dengan kemampuan dan kesungguhan dirinya, masalah itu akhirnya berjaya ditukar menjadi suatu kemenangan yang indah dan bermakna.

21. Hal yang sama patut direnungkan oleh semua ahli Puteri khususnya. Jika kita lihat dari sejarah, hanya UMNO satu-satunya parti yang pada hari ini masih dipilih oleh rakyat lebih daripada 50 tahun. Rakyat memberikan mandat kepada UMNO kerana mereka yakin dengan prestasi dan perjuangan kita. Mereka menjadi yakin kerana kualiti kepimpinan UMNO dan ahli UMNO sendiri mempunyai keyakinan yang tidak goyah. Datanglah apapun cubaan, fitnah, prasangka dan sebagainya, mereka berjaya melaluinya kerana mempunyai suatu kualiti yang kita kenal pada hari ini sebagai mentaliti jaguh. Justeru, sebagai ahli, mari bersama-sama kita tanam mentaliti jaguh ke dalam diri kita. Biar ia menjadi perisai dan senjata kita setiap saat dalam berhadapan dengan pelbagai pancaroba.

Memugari Isu Rakyat: Cabaran Wanita dalam Konteks Sosial

Para pemerhati, barisan kepimpinan puteri, rakan-rakan sekalian,

Pergi ke taman mencari rusa,
Rusa berlari di dalam taman,
Wanita muda harapan nusa,
Ayuh berusaha menggapai kejayaan.

22. Persekitaran pekerjaan haruslah lebih mesra dan cakna terhadap keperluan wanita. Kebanyakan wanita muda akan berkahwin ketika terlibat dalam pekerjaan. Setelah berkahwin, kebanyakan mereka pasti mempunyai anak. Mereka akan menjadi ibu. Perbelanjaan untuk menampung keperluan keluarga dan memenuhi tuntutan psikologi anak-anak juga menjadi suatu kewajiban yang patut diambil berat oleh majikan.

23. Beberapa cadangan yang berkaitan kewujudan taska, pusat asuhan dan tempat menyusu telah diajukan dalam Persidangan tahun lepas. Namun, hal yang sama masih diutarakan tahun ini kerana melihat cadangan tersebut tidak disambut dengan serius. Kewujudannya masih kurang daripada mencukupi. Sehingga ke hari ini terlalu banyak pejabat kerajaan, GLC, pihak berkuasa tempatanatau premis swasta yang tidak memiliki kemudahan tersebut. Justeru, usaha dan perhatian yang lebih serius patut diperlihatkan oleh semua pihak. Dalam hal ini, Pihak Berkuasa Tempatan hendaklah memainkan peranan dan menyokong agar pelaksanaan ini tercapai.

24. Selain usaha memastikan persekitaran memenuhi keperluan golongan ibu dalam kalangan wanita muda, saya juga ingin berkongsi keprihatinan kami terhadap kesan dadah kepada institusi kekeluargaan. Dua minggu lepas akhbar melaporkan suatu kes penderaan di Sungai Petani yang membabitkan dua orang kanak-kanak. Salah seorang mangsa yang berumur dua tahun terbunuh. Mayat mangsa itu disimpan di dalam tong ikan. Manakala kakaknya cedera akibat penderaan dan ditahan di hospital untuk rawatan. Sebelum itu, pada bulan Ogos lepas, di Kampung Bertam Malim, Melaka, seorang lelaki yang juga penagih dadah telah mengamuk sehingga menyebabkan tiga kematian dan dua kecederaan parah. Malah, kes amuk di Kampung Bertam itu melibatkan secara langsung Pengerusi Tetap Wanita UMNO Bahagian Tangga Batu.

25. Berdasarkan laporan polis, kedua-dua kes ini mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan masalah penagihan dadah khususnya dadah psikoaktif seperti syabu. Perkembangan ini harus dipandang serius oleh semua pihak. Sesuatu harus dilakukan agar kes-kes yang menggemparkan ini tidak berulang pada masa hadapan. Statistik menunjukkan bilangan penagih wanita adalah kecil, namun begitu, dalam kalangan anak muda lelaki menunjukkan jumlah yang membimbangkan. Hal ini secara terus telah menjerumuskan banyak institusi keluarga ke arah kehancuran dek kerana kaum lelaki yang gagal menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga.

26. Selain isu kanak-kanak, Puteri juga ingin merakamkan keprihatinan Puteri khusus kepada kanak-kanak kurang upaya. Golongan ini mampu menyumbang kepada negara. Lihat sahaja apa yang telah dilakukan oleh atlet paralimpik negara, Sdr. Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli. Mereka bukan sahaja telah membawa nama Malaysia ke mercu dunia, malah menjadi sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia.

27. Hal ini menunjukkan golongan orang kurang upaya juga ialah suatu aset negara. Walau bagaimanapun, potensi golongan ini masih boleh dikembangkan dan digiatkan khususnya dalam konteks pendidikan vokasional dan teknikal. Penekanan kepada pendidikan vokasional dan teknikal sangat penting untuk golongan kurang upaya kerana akan menyebabkan mereka mampu berdikari kerana memiliki kemahiran yang mempunyai nilai pasaran. Justeru, keperluan untuk memperkasakan pelaksanaan pendidikan T-VET kepada golongan orang kurang upaya sangat penting. Oleh sebab itu, saya ingin mencadangkan sekolah menengah T-VET untuk pelajar kurang upaya ditambah bagi memenuhi keperluan golongan tersebut dan secara tidak langsung dapat menambah sumber pendapatan mereka.

Hadirin sekalian,

28. Kadar penceraian terus memperlihatkan trend yang amat membimbangkan. Data terbaharu menunjukkan sekitar 267 kes penceraian berlaku setiap hari. Hal ini bermakna sekitar 11-12 kes penceraian terjadi untuk setiap jam, 8120 kes untuk setiap bulan dan 97455 kes penceraian selama setahun. Fenomena ini memberikan kesan rentetan yang pelbagai kepada golongan wanita muda yang terlibat termasuk kelambatan proses tertentu di mahkamah syariah, hak penjagaan dan lain-lain.

29. Sebenarnya banyak penambahbaikan telah dilakukan oleh Mahkamah Syariah sejak 2001. Walaupun begitu, pemerkasaan mahkamah syariah tidak diikuti dengan usaha untuk meningkatkan profesionalisme dan intergriti dalam kalangan peguam syarie. Pada hal profesionalisme dan intergriti dalam kalangan peguam syarie akan turut menyumbang proses di mahkamah syariah berjalan lancar dan cepat. Justeru, Puteri ingin mencadangkan agar Majlis Peguam Syarie ditubuhkan bagi meningkatkan profesionalisme dan intergriti peguam syarie yang sekaligus dapat menyelesaikan masalah kelewatan proses perceraian.

Sosioekonomi dan Cabarannya
Hadirin dan hadirat,

30. Salah satu cabaran terkini ialah impak akibat keadaan ekonomi negara yang tidak menentu. Harga minyak yang jatuh di pasaran antarabangsa, permintaan minyak sawit yang menurun, pengukuhan nilai US Dollar serta perkembangan politik antarabangsa khususnya di Amerika syarikat telah memacu kepada harga ringgit yang rendah. Ekonomi negara menerima tempias yang signifikan. Untuk menangani kesan sementara itu, kerajaan mengambil beberapa tindakan yang kurang popular termasuk mengurangkan perbelanjaan untuk menanggung subsidi. Namun, tindakan itu menjadi semakin tidak popular akibat apabila ada pihak tertentu yang menangguk di air yang keruh.

31. Sebab itu, Puteri ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang telah mengambil tindakan proaktif dan tegas kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab. Tidak sampai sebulan sejak pengumuman pengekalan subsidi minyak masak hanya untuk paket 1 kg sahaja, KPDNKK telah melakukan lebih daripada 50 tangkapan akibat pelbagai kesalahan seperti seludup dan menyorok minyak. Ini ialah isyarat yang jelas dari KPDNKK bahawa mereka tidak main-main. Tahniah kepada Menteri KPDNKK, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin atas usaha berterusan daripada beliau dan pasukan KPDNKK dalam membela nasib pengguna.

32. Namun, Puteri juga tidak mahu sekadar menjadi pemerhati. Kita ingin membantu KPDNKK menangkap lebih banyak lagi penyangak yang menyusahkan kehidupan orang kampung dan orang yang tidak berkemampuan ini. Puteri sedia ke hadapan menjadi mata-mata, bertindak sebagai sukarelawan di bawah penyeliaan KPDNKK. Kami menawarkan diri untuk memantau harga dan stok minyak di pasar-pasar raya dan kedai-kedai runcit. Puteri mampu untuk bertindak sebagai agen atau orang tengah yang menjadi pelapor dan mata-mata bagi pihak KPDNKK bagi membanteras permasalahan ini.

33. Untuk memastikan rakyat dapat membeli dengan harga yang berpatutan, kami juga ingin mencadangkan jumlah kedai 1Malaysia diperbanyakkan sesuai dengan keperluan semasa. Untuk memudahkan capaian kedai 1Malaysia, kerajaan mungkin boleh mewujudkan Kedai Bergerak 1Malaysia dan masuk ke kampung dan premis yang menjadi tumpuan golongan B40.

34. Selain kesan sosioekonomi yang menyeluruh, Puteri juga mengambil berat isu pemilikan kediaman yang semakin mahal dan berada di luar kemampuan wanita muda. Harga rumah sederhana kelihatannya tidak lagi menjadi mampu milik tetapi “mampu lihat” apabila harganya mencecah RM500,000. Harga yang tinggi itu dilihat tidak berpadanan dengan isi rumah yang berpendapatan sederhana, apatah lagi untuk golongan B40. Justeru, Pergerakan Puteri menyeru dan memohon agar diperbanyakkan lagi projek perumahan yang lebih munasabah dan berada dalam kemampuan pembeli muda.

35. Ketika berhadapan dengan pelbagai realiti ekonomi yang mencabar ini, ramai pihak telah menghulurkan tangan dan sedia membantu bagi meringankan beban, lebih-lebih lagi memikirkan persiapan persekolahan anak-anak. Dalam hal ini saya ingin mengucapkan terima kasih khususnya kepada keprihatinan Kementerian Kemajuan Luar bandar dan Wilayah (KKLW) terhadap anak-anak yang masih bersekolah. Melalui Yayasan Pelajaran MARA (YPM), mereka melancarkan Program Back to school dengan memperuntukkan sekitar 200 beg sekolah untuk setiap parlimen, setiap bahagian. Malah, tuisyen-tuisyen rakyat juga akan dibuat dengan kerjasama Pergerakan Puteri dan Pemuda UMNO yang dijangka bermula tahun hadapan. Keprihatinan dan tindakan proaktif ini pasti dapat mengurangkan beban ibu bapa dan seterusnya dapat menyerap tekanan ekonomi sekarang ini dan pada masa yang sama meningkatkan pencapaian akademik anak-anak.

36. Sesungguhnya, Puteri UMNO sangat cakna dengan nasib yang terpaksa ditanggung oleh golongan wanita akibat kedudukan ekonomi ini. Dalam perkembangan terkini, Pergerakan Puteri telah mengambil inisiatif sendiri untuk membuka peluang kepada wanita muda memperbaiki taraf hidup. Dalam hal ini, Puteri melalui program “Gerak Usahawan”, mewujudkan satu kerjasama dengan jenama terkemuka Cosry bagi mewujudkan peluang golongan wanita muda agar mereka dapat menjana pendapatan dari rumah.

37. Dalam program ini, Puteri telah melakukan kerjasama dengan menghasilkan tudung dalam koleksi “Puteri by Cosry”. Kerjasama itu akan membuka peluang untuk ahli Puteri meningkatkan kemahiran menjahit manik sewaktu pembuatan tudung tersebut. Mereka juga akan dibayar atas perkhidmatan tersebut. Kerjasama ini pastinya membuka peluang untuk golongan wanita muda menambahkan pendapatan sampingan. Kami meramalkan ahli puteri dan wanita muda yang menyertai program ini meraih pendapatan sampingan bulanan yang boleh mencecah hingga RM 2000.

38. Kerajaan telah menyediakan pelbagai platform yang boleh digunakan bagi menjana pendapatan dalam keadaan ekonomi masa kini begitu mencabar bagi kedua-dua rakyat dan kerajaan, dan pelbagai inisiatif kepada golongan yang memerlukan seperti E-rezeki dan E-usahawan di bawah MDEC, serta 1Azam yang boleh direbut bagi memajukan diri serta memperbaiki taraf kehidupan wanita muda. Sayang, kita ada banyak program-program membantu rakyat yang baik tetapi tidak sampai ke pangkuan golongan yang memerlukan tetapi ada program yang baik -tapi disambut dingin kerana silap kumpulan sasar

39. Saya mohon untuk semua kepimpinan Puteri UMNO Bahagian-bahagian dan Negeri-negeri supaya berpartisipasi dengan turun ke akar umbi dan berikan penerangan supaya rakyat jelas dan faham tentang setiap tindakan yang telah dibuat oleh kerajaan sebenarnya adalah demi kebaikan rakyat.

40. Pendekatan yang holistik bolehlah diambil oleh PPUM bagi membantu mencapai tujuan tersebut:

(a) Mengenal pasti dan melihat calon-calon usahawan yang besar berpotensi dan serius dalam berhasrat untuk mendapatkan kemudahan tersebut.
(b) PPUM menjadi jambatan atau penghubung antara usahawan agensi, atau inisiatif yang boleh menawarkan kemudahan ini.

(c) Menyediakan kemudahan bagi latihan atau program-program keusahawanan dijalankan.

(d) PPUM menjadi pemantau supaya usahawan yang dibantu itu mencapai impak semakin tinggi.

Alam sekitar
Hadirin dan hadirat,

41. Dalam ketika kita ghairah mengejar kemajuan dan pembangunan, kita juga mempunyai kewajiban untuk memastikan kelestarian alam semula jadi yang kita diami ini. Apa gunanya pembangunan jika kita kemudiannya terpaksa membayar harga yang mahal apabila bumi yang kita diami ini dipenuhi oleh pencemaran. Pengurusan alam sekitar adalah lebih daripada penjagaan fizikal semata-mata bahkan meliputi ruang lingkup yang lebih luas. Puteri menyeru agar pendidikan yang lebih komprehensif dapat diberikan kepada masyarakat berkenaan dengan penjagaan alam sekitar melalui sistem persekolahan dengan penekanan pengurusan alam sekitar yang mendalam dalam subjek-subjek yang berkaitan.

Ekonomi
Rakan-rakan yang dikasihi,

42. Sektor ekonomi merupakan antara nadi yang menggerakkan pembangunan negara sejak kita mencapai kemerdekaan, yakni hampir mencecah 6 dekad tahun depan. Sebenarnya, kemakmuran yang kita kecapi hari ini ialah buah hasil perjuangan nenek moyang kita dari dahulu lagi. Jika tiada yang lama, maka mustahil untuk wujudnya yang baru.

43. Antara dasar ekonomi yang memberikan impak ialah Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1970 yang digagaskan Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Dasar itu menjadi penawar kepada masalah perkauman akibat jurang ekonomi antara kaum. Kadar kemiskinan bumiputera juga menyusut daripada 52% kepada 16%. Pemilikan korporat dalam kalangan orang Melayu juga bertambah daripada 1.5% kepada 30% sehingga tahun 1990 (Muhammed Abdul Khalid 2014). Inilah ialah suatu fakta yang patut dihayati generasi kini agar mereka dapat menghargai perjuangan orang terdahulu.

44. Ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Dalam Belanjawan 2017, Datuk Seri Najib Tun Abd. Razak juga telah melancarkan Transformasi Nasional 50 (TN50). Justeru, saya ingin menyeru ahli-ahli Puteri sekalian untuk berkongsi visi dengan YAB Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO dan bersama-sama beliau dalam merealisasikan TN50 walaupun saya & KJ ketika itu akan berumur sekitar 70 tahun. Saya yakin, gagasan itu akan terus memakmurkan dan memajukan negara, bukan sahaja untuk faedah orang-orang Melayu sahaja, bahkan untuk seluruh rakyat Malaysia juga. Puteri bersama-sama Pemuda akan berganding bahu dalam menyahut cabaran bagi memastikan visi TN50 menjadi satu realiti.

Ahli-ahli Puteri, Para Pemerhati, Hadirin Hadirat yang saya kasihi,

45. Dalam titah Sultan Nazrin Shah pada 5 Oktober 2017 di Dewan Bahasa dan Pustaka, baginda bertitah tentang tanggungjawab memartabatkan bahasa Melayu yang turut menjadi tanggungjawab utama kerajaan. Sudah tentu, titah baginda sultan patut dijunjung oleh semua pihak kerana Bahasa Melayu di rantau ini sudah dituturkan sejak 2000 tahun yang lalu. Sehingga ke hari ini, keagungan bahasa Melayu itu tercatat dalam pelbagai karya ulama, cendekiawan dan pujangga, yang merangkumi ilmu agama, sains dan kesusasteraan. Besarnya tamadun Melayu seperti yang terpancar dalam khazanah itu sehingga ke hari ini belum lagi mampu dikaji secara menyeluruh.Di perpustakaan negara sahaja, terdapat hampir 4000 nashkah yang belum disentuh. Itu belum lagi mengambil kira pelbagai manuskrip Melayu yang tersebar dan disimpan di muzium dan pelbagai institusi di seluruh dunia.

46. Dengan kekayaan khazanah yang besar ini, saya ingin menyeru supaya isu bahasa Melayu ini tidak sahaja dilihat dalam skop politik, keselamatan Negara dan jatidiri bangsa, tetapi juga dalam konteks ekonomi dan kaitannya dengan industri kreatif. Pada tahun 2013, industri kreatif menyumbang sebanyak RM 16 billion kepada KDNKK negara. Jumlah itu tentunya terus bertambah dari tahun ke tahun. Justeru, bahasa Melayu ialah suatu warisan dan khazanah besar yang perlu diteroka. Pelbagai potensi dalam pelbagai khazanah Melayu, seperti kitab tib dan perubatan, sastera, teknologi dan sebagainya memerlukan sentuhan emas anak bangsa agar menukarnya menjadi suatu yang berharga dan mampu menyumbang kepada GDP negara.

Ancaman Bersih
Politik Sederhana: Pengajarannya Dari Sejarah Nabi

47. Kita juga tidak boleh alpa dengan kemungkinan ancaman politik dan campur tangan kuasa asing melalui pelbagai mekanisme. Ketika dunia semakin mengecil akibat kemajuan teknologi maklumat, usaha menghakis keyakinan dan kesetiaan rakyat dari luar juga tidak harus dilupakan. Kita harus belajar dan mengambil pengajaran khususnya daripada pelbagai peristiwa pahit yang melanda beberapa Negara di timur tengah. Pada hari ini, orang boleh sahaja menjatuhkan sesebuah Negara dengan menggunakan mantera demokrasi dan perhimpunan haram.

48. Jangan sekali-kali kita membiarkan orang luar dan penyangak antarabangsa seperti George Soros mempengaruhi kita dalam menentukan hala tuju negara kita. Sama-sama kita ambil pengajaran daripada apa yang berlaku di luar sana seperti Arab Spring di Asia Barat dan Revolusi Oren di Ukraine. Sehingga hari ini, revolusi yang berlaku di negara-negara terbabit, tidak langsung memberikan manfaat, malah telah menimbul suasana politik dan ekonomi yang tidak stabil.

49. Isu kedaulatan negara ialah suatu isu yang tidak ada tolak ansur. Kita dengan ini mengecam sebarang campur tangan luar dalam apa-apa urusan pun di negara ini. Individu seperti Soros ialah musuh besar negara. Justeru, sesiapa sahaja yang bersekongkol dengan Soros untuk menjatuhkan kerajaan juga harus dianggap sebagai pengkhianat negara, biarpun mungkin suatu masa dahulu, individu itu mempunyai jasa kepada negara.

Hadirin dan hadirat,

50. Dalam Pembentangan Belanjawan 2017 yang lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak menukilkan pesan Allahyarham Tn. Guru Hj. Haron Din. Almarhum mengingatkan supaya sentiasa berpada-pada sama ada ketika menyayangi atau membenci seseorang kerana keadaan itu boleh berubah. Pesan yang disampaikan oleh Perdana Menteri itu ialah suatu isyarat akan pentingnya penghayatan politik sederhana lebih-lebih lagi menjelang PRU ke-14. Politik sederhana Perdana Menteri yang dipasakkan ke dalam konsep wasatiyah harus dibezakan dengan politik pembangkang sebenar. Dalam politik sederhana Perdana Menteri tersebut, jika kita amati dan sambut, tujuan akhirnya menyatukan rakyat, bukannya memecahkan umat.

51. Saranan Perdana Menteri itu juga selari dengan sejarah Islam. Tindakan awal Nabi Muhammad SAW selepas hijrah ialah mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajirin. Sayap Puteri ingin menegaskan agar kita semua mengambil iktibar daripada peristiwa penting Hijrah itu agar Barisan Nasional mempunyai asas yang kukuh sebelum berhadapan dengan PRU ke-14. Sekali lagi ditegaskan, bahang PRU ke-14, panasnya makin terasa. Justeru, usaha merapatkan saf patut digiatkan.

52. Dalam masa yang sama, saf dari dalam parti UMNO sendiri harus kukuh. UMNO ialah tulang belakang dalam Barisan Nasional. Justeru, jika saf dalam UMNO sendiri goyah, maka, fungsinya sebagai tulang belakang Barisan Nasional akan turut terjejas.

53. Tadi, saya ada menegaskan bahawa kesetiaan ialah salah satu ciri utama mentaliti jaguh. Dalam konteks gerak kerja PRU ke-14 ini, tentunya soal kesetiaan menjadi lebih penting. Sebab itu, dalam kesempatan ini saya ingin sampaikan secara peribadi rasa bangga kita semua khusus kepada Ketua Puteri Semporna. Kita semua maklum tentang kemelut yang melanda Bahagian Semporna. Namun, biar apapun yang berlaku, saya ingin menyebut di sini, Ketua Puteri UMNO Bahagian Semporna terus setia dengan Parti, khususnya Puteri. Dengan ini saya mohon Ketua Puteri Semporna untuk bangun sebentar bagi kita kecapi sama-sama kebanggan ini.

54. Inilah contoh puteri terbaik kita. Inilah contoh hidup dari Puteri sendiri tentang bukti kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada parti. Dan inilah juga salah satu kekuatan asas yang mematangkan UMNO kekal dalam sejarah sehingga kini. Kesetiaan kepada pemimpin dan parti umpama tiang seri yang akan memastikan kestabilan dalam UMNO. Sejarah menunjukkan banyak negara besar dan agung, kemudiannya hancur berkecai kerana soal kesetiaan.

Strategi dan Cabaran Mendepani PRU ke-14
Para perwakilan saya amat hargai,

Berjalan di hutan terasa sunyi,
Sedang berjalan mencari sawi,
Semboyan perjuangan sudah berbunyi,
Bangkitlah srikandi harapan pertiwi.

55. Apa yang hendak saya utarakan selepas ini ialah perkara penting dan menjadi tanggungjawab mengikut Perlembagaan Parti Fasal 6 iaitu tanggungjawab hak dan ahli. Antara yang tersebut dalam fasal itu ialah mendaftarkan diri sebagai pengundi, menjalankan kerja parti dan menyokong calon-calon parti di dalam pilihanraya. Tanggungjawab yang paling utama pula dinyatakan pada fasal 6.1.7 iaitu bersedia dan sanggup menentang musuh negara.

56. Untuk makluman, PRU 13 telah pun matang pada 5 Mei 2016 yang lepas. Hal ini bermakna sudah 6 bulan berlalu. Jika diikutkan selepas matangnya tempoh PRU ke-13, maka dibolehkan adanya pilihanraya umum pada bila-bila masa sahaja. Jika kita ambil tempoh maksimum PRU 13 tamat, kita hanya 545 hari sahaja lagi. Mari kita bertanya pada diri kita sendiri. Apakah kita semua sudah bersedia berhadapan dengan pilihanraya umum ke-14?

57. Saya sengaja menyebut semua ini lebih awal supaya kita jangan lagi leka dan rasa selesa. Yang paling saya geruni, ialah rasa yakin bahawa kita pasti memenangi pilihanraya akan datang tetapi dalam masa yang sama tidak diikuti dengan usaha dan gerak kerja yang luar biasa. Sebab itu kami memerlukan Sahabat Puteri BN untuk berpadu tenaga dalam memenangi PRU14, terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan daripada MCA, MIC, Gerakan dan KIMMA yang tidak pernah putus asa dalam menggembling tenaga ke arah kemenangan bersama dalam PRU 14.

58. Sebagai Ketua Puteri yang bertanggungjawab terhadap pemilih dan pengundi muda, saya mesti mengingatkan diri saya dan semua ahli di bawah saya supaya selepas ini tiada masa rehat lagi. Hanya yang perlu ialah terus berusaha bekerja dan berlatih bagi memastikan kita benar-benar bersedia dengan PRU. Ayuh, tanamkan niat kita secara jujur bahawa pada PRU ke-14 nanti, kita akan memastikan UMNO dan Barisan Nasional terus kekal sebagai parti memerintah negara ini.

59. Untuk itu, dalam ruang ini, saya akan menggambarkan secara kasar betapa besarnya tanggungjawab kita pada hari ini. Secara keseluruhannya, kita mempunyai 222 parlimen yang dipenuhi DUN, Pusat daerah mengundi dan lokaliti di seluruh Malaysia. Cuba bayangkan betapa besarnya kawasan yang menuntut kita bekerja dengan bersungguh-sungguh. Jadi, saya menegaskan, masa yang tinggal untuk kita sangat sedikit. Kita sudah tidak boleh menggoyang kaki lagi. Kita mesti bersedia menggerakkan jentera pilihanraya dan memastikan Unit Khas Pilihanraya Puteri mula bekerja.

Rakan-rakan seperjuangan,

60. Untuk pengetahuan semua, saya telahpun memaklumkan Unit Khas Pilihanraya Puteri bahawa kali ini kita perlu pergi terus ke lokaliti yang menghampiri 80,000. Menjadi tanggungjawab kita untuk mengenal pasti kecenderungan pemilih. Apakah mereka masih lagi menyokong dan berdiri teguh di belakang kita? Atau sebenarnya mereka telah goyah dan sudah beralih arah?

61. Untuk makluman, jumlah pemilih setakat ini ialah 13.6 juta di seluruh negara. Pemilih wanita pula berjumlah hampir 7 juta orang. Dari jumlah itu, Wanita Melayu hanyalah 3.6 juta orang. Manakala wanita muda di bawah 40 tahun pula ialah 2.5 juta orang. Jika diambil jumlah wanita muda Melayu, bilangannya pula ialah 1.5 juta orang.

62. Kita tahu bahawa bukan semua wanita muda melayu ini terdiri daripada Pergerakan Puteri. Ahli Puteri ataupun Pengundi Muda kini hanyalah sekitar 300,000 orang. Apabila saya meneliti angka-angka ini seawal saya menjadi Ketua Puteri, maka tindakan saya ialah meminta Biro Keahlian memastikan wanita muda yang berumur 18 tahun perlu didaftarkan sebagai ahli Puteri agar mereka boleh menjadi pemilih pada PRU ke-14. Alhamdulillah, hari ini sudah lebih dari 70,000 wanita muda yang berumur 18 tahun bersama-sama dengan kita. Di samping itu, kita terus memujuk wanita muda yang belum bersama-sama supaya dapat terus menyokong kita walaupun tidak menjadi ahli. Hal ini amat penting dan memiliki kesan yang besar.

63. Selepas perhimpunan Agung UMNO ini, Puteri menerusi Unit Khas Pilihanraya, ringkasnya UKP Puteri, akan memastikan segala perancangan yang telah disusun atur. Perancangan yang telah disusun itu perlu dipastikan bergerak secara berterusan sehingga PRU ke-14.

64. Saya ingin memaklumkan kepada semua UKP pada kali ini bahawa kita telah menyusun gerak kerja kita lebih teratur dan fokus. Di bawah Sekretariat Unit Khas Pilihanraya kita hanya akan mempunyai 3 unit khas iaitu Skuad IT, Skuad Penerangan dan Skuad #PuteriPeduli.

65. Unit IT dan Penerangan akan memperkasa lagi jentera untuk PRU 14. Unit IT akan mempunyai dua lagi sub-unit lain iaitu Unit Sistem Pengundi yang akan menjadi rujukan bagi mengenali pengundi tempatan dan Unit Siber yang akan memperkukuh pasukan dalam mempromosi calon dan agenda nasional selain mendepani fitnah-fitnah yang ditabur pihak tidak bertanggungjawab. Unit Penerangan akan menggalas tugas memantau anak muda agar mereka menerima informasi yang tepat supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah palsu pihak pembangkang.

66. Menyentuh Skuad #PuteriPeduli, inilah masanya kita semua betul-betul menggempur dan memperbanyak program-program yang mempunyai impak ke arah PRU-14.

67. Puteri Peduli akan bertebaran ke seluruh pelusuk negara, masuk ke kampung-kampung bagi bertemu dengan akar umbi.

68. Puteri Peduli mesti menggempur dan mendekati semua golongan wanita, dari yang bekerja di bangunan tinggi, pelajar universiti atau yang tinggal di luar bandar.

69. Puteri Peduli akan menjadi barisan paling hadapan dan unit paling efektif dalam membentuk mod yang baik para pengundi kepada parti.

70. Puteri Peduli akan meredah hutan belantara bertemu orang asli demi memastikan PRU ke-14 menjadi milik kita.

71. Puteri Peduli akan berhadapan dengan segala rintangan binatang berbisa demi UMNO tercinta.

Rakan-rakan yang dikasihi, ahli-ahli perwakilan yang saya hormati,

72. Nampaknya, ucapan saya menghampiri penghujung. Justeru, sebelum saya menghentikan ucapan ini, izinkanlah saya berkongsi satu cerita.

73. Pada suatu pagi, seorang ibu sedang menyapu dan membersihkan rumahnya. Tidak lama kemudian, anaknya yang pertama bangun dan berkata kepada ibunya, “Saya sayangkan ibu.” Lalu berlalu pergi.

74. Kemudian, anaknya yang kedua dan ketiga bangun. Anak-anaknya itu memeluk ibunya yang sedang menyapu, lalu mencium ibu mereka. Kata kedua-dua anaknya, “Kami sangat sayangkan ibu.’ Kemudian kedua-dua anak itu pun berlalu.
75. Tidak lama kemudian, bangun pula anaknya yang keempat. Anak itu juga melakukan perbuatan yang dilakukan oleh abang-abangnya. Cuma selepas memeluk dan mencium ibunya, dia berkata, “Saya sangat sayangkan ibu. Ada apa yang boleh saya tolong?”

76. Ini sebuah kisah yang sangat dekat dengan hidup kita. Jika saya bertanya, antara keempat-empat anak itu, sebenarnya siapakah yang paling menyayangi ibunya? Sudah tentu kita akan menyatakan bahawa anak yang keempatlah yang paling menyayangi ibunya.

Ahli-ahli puteri yang saya kasihi,

77. Dalam perjuangan parti juga seperti itu. Cinta terhadap parti bukan semata-mata perlu dizahirkan dengan kata-kata tetapi juga perbuatan. Cinta, kata pujangga, adalah pelaksanaan kata-kata. PRU ke-14, semakin hampir. Justeru, ayuh mari kita buktikan kecintaan kita kepada perjuangan parti dengan melakukan yang terbaik buat UMNO.

78. Lipat gandakan usaha dalam memacu parti ke arah yang lebih mantap dan progresif.

79. Akan tiba masanya untuk kita menikmati manisnya hasil perjuangan. Tetapi dalam keadaan sekarang, terlebih dahulu kita perlu mengecap makna pahitnya perjuangan.

80. Sekian WBT