Saya memohon izin Dato’ Timbalan Pengerusi Tetap, untuk saya menyampaikan amanah ini. Saya mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kehadiran sembilan ratus sembilan puluh tiga (993) orang perwakilan Wanita UMNO Malaysia dari seluruh negara. Suara puan-puan akan mewakili hasrat lebih kurang 1.3 juta ahli Wanita UMNO dari satu ratus sembilan puluh satu (191) bahagian merangkumi dua puluh ribu, enam ratus empat puluh tiga (20,643) cawangan di seluruh negara.

Sidang perwakilan sekalian,
Pagi ini saya berdiri bukan hanya untuk menyampaikan ucapan selaku Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, sebaliknya ini adalah semboyan dan obor yang saya harap akan membakar tiap-tiap jiwa srikandi wanita di hadapan saya ini.

Sebelum itu, marilah kita mengambil barakah dan bersama-sama menghadiahkan Al-Fatihah kepada para pemimpin Wanita UMNO dari seluruh negara yang telah kembali ke rahmatullah. Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

KUALA LUMPUR, 30 Nov -- Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menyampaikan ucapan pada Persidangan Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. --fotoBERNAMA (2016) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kita berhimpun pada hari ini, dalam suasana yang mengingatkan kita kepada himpunan pertama kaum Ibu pada tahun 1949. Himpunan yang mana srikandi cekal Putih Mariah berdiri di hadapan ratusan wanita yang hanya berbaju Kedah, berkain batik dan bertudung lusuh, di antara mereka tiada seorang pun jurutera, tiada seorang pun doktor dan tiada seorang pun arkitek.

Yang ada hanyalah ibu yang meninggalkan anak, keluarga serta kewajipan mereka untuk sebuah perjuangan yang lebih besar kepada agama bangsa dan tanahair.
Percayalah, betapa gedung keramat PWTC ini sudah puluhan kali menjadi saksi, betapa saya, puan-puan dan seluruh srikandi wanita terus berdiri kerana hutang budi, hutang jasa, hutang keringat, hutang amanah kita, yang tidak terbayar kepada ibu dan moyang kita sebelum ini.

Saya sedar, perjuangan kita tidak ternilai harganya. Hamparlah selaut mutiara, segunung emas dan permata, nilai dan maharnya tidak akan pernah sama dengan sekeping maruah bangsa yang berjaya diangkat dari tapak kaki penjajah.

Atas makna dan semangat ini, saya menyeru puan-puan untuk berkongsi semangat yang luar biasa, jiwa yang luar biasa, agar parti keramat UMNO kita ini, akan terus mekar sebagai bunga bangsa, kebal menjadi benteng agama, dan kukuh menjadi tiang negara.

Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,

Selain menunaikan tanggungjawab mengikut Perlembagaan UMNO, perhimpunan kita ini memberikan makna yang amat besar kepada kepimpinan parti, terutama Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Presiden parti yang kita hormati.

Wanita sebagai tulang belakang dan ibu kepada parti, sokongan jitu dari kita semua, pastinya dapat memberikan kekuatan hebat untuk Yang Amat Berhormat Presiden memimpin setiap ahli untuk menggerakkan semua sendi parti berjalan mengikut sistem yang disediakan.

Semalam, 29 November, kita telah memulakan persidangan yang dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden yang memangku tugas Timbalan Presiden pada majlis Perasmian Perhimpunan Agong Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri. Alhamdulillah saya mengucapkan tahniah di atas ucapan sulung beliau yang amat memberangsangkan dan meniup semangat Wanita. Seperti mana Wanita memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Presiden UMNO, maka Wanita juga memberi sokongan padu kepada saf kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Najib Tun Haji Abdul Razak.

Sidang perwakilan sekalian,
Saya ingin mengajak puan-puan untuk menghayati surah ke-29 dalam Al-Quran, surah Al-Ankabut (bermaksud labah-labah), menceritakan tentang kehidupan di dunia sebagai medan ujian, yang tersimpan hikmah dan ibrahnya.

Sewaktu saya teruk diuji, inilah di antara surah yang memberi kekuatan kepada saya. Dan saya tertarik dengan ayat kedua surah tersebut yang bermaksud: Apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?

Ayat ini sangat besar maknanya. Dalam dunia ini, kita sering diuji apatah lagi dalam perjuangan politik yang penuh gelora.

Rasulullah sendiri telah diuji sebegitu dahsyat di bumi Thaif sehinggakan malaikat bertanya kepada baginda: “Ya Rasulullah, apa kau nak aku ambil salah satu gunung di Thaif ini dan hempap mereka?” Lalu Rasulullah bersabda dengan penuh sabar, “Jangan, kerana mereka adalah umatku dan mereka tidak tahu”
Begitu juga halnya dengan cabaran satu ratus dua puluh empat ribu (124,000) orang nabi utusan Allah. Ada nabi yang menghadap Allah dengan umat yang berjuta, ada yang beribu, ada yang hanya 80 orang dan ada juga yang hanya membawa dirinya sendiri.

Demikianlah puan-puan, betapa Allah mengalirkan jernih kasihnya melalui perih susah dan kepayahan ujian yang diberikan kepada sekecil-kecil manusia sehinggalah sebesar-besar nabi utusan-Nya.

Sidang perwakilan sekalian,
Puan-puan, umum mengetahui bahawa secara peribadi, betapa saya pernah difitnah sezalim-zalimnya, dan dihentam sehinggakan secara warasnya, perjuangan saya sudah boleh dikapan dan dikuburkan.

Tetapi hari ini, alhamdulillah, saya masih berdiri di sini dengan izin Allah. Saya tidak lari ke mana-mana, tetap setia kepada pemimpin dan parti. Saya tidak boleh bayangkan bagaimana saya mampu kembali bangkit jika bukan kerana tangan-tangan srikandi wanita di hadapan inilah, yang menahan saya dari jatuh dan rebah.
Insya Allah selaku Ketua, saya juga akan sentiasa menjadi payung dan kekuatan kepada puan-puan semua. Dengan sokongan puan-puan semua, saya berani melalui onak dan duri dalam perjuangan untuk menentukan maruah dan martabat Wanita UMNO itu sentiasa terpelihara.

Bukan semua manusia itu KALIS UJIAN. Ada yang lari bila dihambat ujian, ada yang khianat bila ditimpa ujian, ada yang mati bila didatangi ujian, tapi ada juga yang hidup lebih lama kerana keberanian untuk bertempur hadapi ujian. Jika masalah kita sebesar bahtera, sabar dan bijak bertindak, percayalah, rahmat Allah sebesar samudera.

BAHAGIAN 2
IBU TERBAIK BANGSA

Sidang perwakilan yang mulia,
Allah memuliakan IBU di dalam Al Quran dengan panggilan ummu. Ummu dalam bahasa Arab maknanya pemimpin dan ia juga sering digambarkan sebagai sesuatu yang besar dan agong seperti ummul kitabmahupun ummu mukarramah.

Mungkinlah sebab itu juga barakah yang ada di dalam nama parti ini adalah UM-NO.

Besarnya ujian dan pengorbanan seorang ibu hanya Allah yang tahu. Siapa yang sanggup menahan sakit dan derita? Mestilah ibu!
Siapa yang teguh berdiri dan bersabar bila ditekan dengan masalah? Pastinya ibu!
Yang menolak semua kepentingan sendiri demi keluarga? Sememangnya ibu!
Yang berkorban harta, kudrat, keringat malah nyawanya sendiri? Tiada yang lain, hanya Ibu.
Demikian hebatnya seorang manusia yang bernama ibu.

Di sini saya nak tegaskan, Presiden parti sendiri telah mengakui bahawa wanita adalah ibu yang menjadi tulang belakang kepada keluarga besar UMNO ini!
Setiap kali pemimpin kita dihentam, difitnah, diserang dari segenap arah, siapa di barisan hadapan bangkit membenteng nakhoda kita? Jika bukan kita IBU TERBAIK BANGSA.

Di saat kita dirantai gelang penjajah, berbekalkan peta dan bendera parti, Ibu Zain bergerak menaiki lori meyakinkan kaum ibu di seluruh Johor. Ini siapa? Jika bukan kita IBU TERBAIK BANGSA.

Kini, siapa yang cekal, sebagai jentera Jalinan Rakyat, bergerak dari rumah ke rumah, jalan jauh ukur tanah, bila disambut kita senyum, bila dihalau pun kita senyum. Kadang-kadang tak sempat pun nak minum! Kitalah IBU TERBAIK BANGSA.

Siapa yang sanggup berpanas berhujan, berkhidmat siang malam, sebut saja ada banjir besar, tanah runtuh, gempa bumi, rumah terbakar, sekelip mata Skuad Sayang tiba! Sudah tentu itulah kita, IBU TERBAIK BANGSA.

Puan-Puan, apabila orang bertanya siapa kita di sisi perjuangan yang mulia ini, bangkitlah dengan yakin dan berkata, sayalah Wanita UMNO dan sayalah IBU TERBAIK BANGSA.

BAHAGIAN 3
MENANGANI TURBULEN POLITIK
Sidang perwakilan sekalian,

Politik hari ini tidak sama seperti politik 70 tahun dahulu. Politik hari ini berdepan dengan cabaran luar biasa.
Penganalis telah membuat kajian dan merumuskan, dunia kini mengalami satu situasi yang dinamakan VUCA WORLD.

Istilah VUCA ini mula dibincangkan di peringkat dunia merentasi pelbagai bidang. Ia secara jelas menggambarkan kesukaran yang dihadapi dalam mana-mana sektor di dunia dalam menghadapi mehnah dunia yang semakin mencabar.

Selepas diteliti, politik di Malaysia juga berdepan dengan situasi yang sama. Maka dengan itu, sebagai Ibu Terbaik Bangsa, kita harus menangani turbulen politik ini dengan wadah yang bijaksana, dan wasilah yang terpimpin.

KETIDAKTENTUAN (Volatility)
Pertama, cabaran politik pada hari ini, yang terhidang dengan ketidaktentuan ataupun Volatility.
Hari ini, siapa ada pengikut sikit pun, dah berlumba buat parti politik sendiri. Tidak ada asas perjuangan, tidak tahu kemana nak tuju, cukup sekadar dendam, dah boleh buat parti politik baru.
Untuk menangani ketidaktentuan ini, Wanita harus memiliki visi yang jelas dan kuat, memegang teras perjuangan parti. Kita takkan mudah terpengaruh dengan apa jua gerakan yang membelakangkan bangsa, agama dan negara.

KETIDAKPASTIAN (Uncertainty)
Kedua, kita berdepan dengan situasi politik yang bersifat ketidakpastian ataupun uncertainty.
Iklim politik pada masa kini, tidak boleh dijangka, seperti apa yang berlaku di Amerika. Siapa sangka Donald Trump tanpa latar belakang politik, boleh menang sebagai presiden mengalahkan Hillary, yang bertahun lamanya bergelumang dalam dunia politik.
Sebab itu kita mesti bijak membaca pola politik semasa di Malaysia. Fahamilah dan binalah “politik boleh jangka” supaya kita boleh menentukan bagaimana politik yang kita mahu.

KOMPLEKS (Complexity)
Puan-puan yang saya hormati,
Situasi politik yang ketiga ialah keadaan yang kompleks. atau pun Complexity.
Semua orang mahu menjadi kiyai politik. Macam-macam gerakan tanpa haluan hadir bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Segala fahaman dan mazhab politik bercampur baur tanpa arah.
Rakyat akhirnya keliru dengan politik di Malaysia. Masakan tidak, ada pemimpin yang dah melompat sampai tiga parti satu tahun. Ada yang dahulunya musuh dan seteru ketat, sekarang musuh yang sama juga dibela mati-matian.
Dalam keadaan suasana politik tunggang terbalik ini, hanya UMNO sahaja yang masih kekal pada prinsip asal perjuangannya.

KEKABURAN (Ambiguity)
Sidang perwakilan yang mulia,
Situasi yang keempat, adalah kekaburan ataupun ambiguity. Hari ini kita berhadapan dengan situasi paling klasik iaitu: ‘you don’t know what you don’t know.’
Bagaimana kita hendak menyelesaikan sesuatu masalah, jika kita tidak tahu pun apa masalahnya. Dalam era digital ini, wanita harus bijak mengenalpasti apa yang rakyat fikir dan mahu. Isu-isu rakyat mesti menjadi isu kita. Kita mesti terus berani memperjuangkannya!

BAHAGIAN 4
NEUROLEADER
Sidang perwakilan sekalian,
Situasi VUCA ini membawa seruan untuk kita segera bangkit, sebagai pemimpin sebenar, dalam turbulen politik semasa.

Jadilah pemimpin yang bijaksana, umpama benih yang baik, dicampak kelaut menjadi pulau, ditebar ke langit menjadi kejora.

Sebagai pemimpin, Wanita harus cakna dengan perubahan zaman. Dunia sudah berubah bermula dari zaman 80-90an yang kita kenali sebagai industrial age yang melahirkan manager. Mereka yang boleh menguasai sesuatu akan berkuasa.

Muncul pula zaman information age. Mereka yang mempunyai ilmu akan berkuasa, zaman yang kita perlukan bukannya seorang manager, tetapi seorang leader.
Kini, kita memasuki zaman imagination age yang mana idea is king. Zaman dimana semua orang nak jadi opinion leader. Setiap maklumat datang dari pelbagai arah. Everyone is a reporter. Zaman inilah kita perlukan pemimpin NeuroLeader.

Puan-puan tahu siapa Neuroleader ini? Seorang Neuroleader mesti mempunyai sekurang-kurangnya empat ciri dalam kepimpinannya.
Pertama, collaboration. Neuroleader akan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak. Sebab itulah, matlamat saya untuk merejimenkan gerak kerja wanita, merentasi sempadan agama, bangsa, umur, gender dan kerjaya. Wanita tidak lagi boleh bekerja secara silo atau bersendirian.

Kedua, visionary. Neuroleader harus memiliki wawasan yang sesuai dengan keperluan zaman, visi yang akan membawa matlamat parti ke tahap yang lebih tinggi. Buatlah program bernafas baru yang boleh menjadikan masyarakat terus dekat dan minat dengan kita. Sebagai contoh, program Komunikasi Wanita Nasional (KAWAN) yang mempunyai elemen pembelajaran Bahasa Arab, Mandarin dan Tamil. Saya berharap agar Wanita UMNO Negeri dan Bahagian-Bahagian akan menyambut program KAWAN ini, malah program Wanita Kreatif, Nadi Negara, Women Power Talk, Srikandi dan lain-lain juga mesti diakarumbikan.

Ketiga, agility. Neuroleader perlu tangkas, bersegera, dinamik, efisien, proaktif, membentuk swadaya tindakan yang tepat ke kelompok sasaran. Alhamdulillah Skuad Sayang kita sudah pun mempunyai agilityini. Wanita adalah Juara Kebajikan, dan kita juga mahu menjadi juara kepada pendekatan dan idea baru yang meningkatkan keberkesanan penyampaian kebajikan kita kepada rakyat. Saya yakin WanitaMAYA kita pun akan menjadi jenama yang hebat jika puan-puan semua menghayatinya sepertimana Skuad An-Nur kini semakin dirasai impaknya.

Keempat, fleksibiliti. Neuroleader harus bijak bekerja, berkomunikasi, berfikir dan bertindak bersama. Konsep ini kita gunakan untuk gerak kerja Pilihanraya bersama Wanita Barisan Nasional. Wanita UMNO mesti meluaskan jaringan kerjasama dengan rakan seperjuangan kita dalam parti komponen Barisan Nasional.
Wanita UMNO mempunyai potensi untuk menjadi Neuroleader yang terbaik. Namun begitu, kita perlukan pendekatan yang bersifat di luar kotak. Jalinan Rakyat iaitu jentera politik yang merupakan nadi dan penggerak utama parti, mesti menjadi contoh yang terbaik kepimpinan kita sebagai Neuroleader.
Seandainya kita masih tidak mahu berubah, memang betullah kata-kata Albert Einstein iaitu, “Kegilaan itu maknanya, melakukan perkara yang sama berulang dan berulang tetapi kita harapkan hasil yang berbeza.”

BAHAGIAN 5
TRANSFORMASI NEGARA 2050
Sidang perwakilan sekalian,
Dalam ucapan pembentangan BAJET 2017 yang lalu, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mencadangkan satu gagasan baru, sebagai kesinambungan kepada Wawasan 2020, iaitu Transformasi Negara 2050, ataupun TN50. Wanita UMNO menyambut baik hasrat ini.

Sebelum ini kita ada Wawasan 2020. Wawasan ini lebih kepada sebuah destinasi. Transformasi pula lebih teguh dan jelas. Apa Yang Amat Berhormat Presiden transformasikan hari ini, umpama sebuah lebuhraya, yang akan menghubungkan kita kepada kemajuan masa hadapan. Maka dengan itu, kitalah yang harus bijak menyusurinya.

Oleh kerana TN50 ini masih dalam peringkat awal pembentukannya, saya harap tumpuan dapat diberikan kepada isu pendidikan, kerana wanita percaya inilah asas dan cerucuk yang membina kekuatan negara. Ia mesti bertepatan dengan hasrat membina pendidikan yang meraikan potensi, keperluan dan kebolehupayaan pelajar secara holistic, serta menggilap bakat tenaga pendidik kita supaya lebih bersifat mesra zaman.

Pesan Saidina Umar Al-Khattab “Didiklah anak-anakmu itu berlainan dengan keadaan kamu dahulu, kerana mereka telah dijadikan Tuhan untuk zaman yang bukan zamanmu.”

Zaman ini ada lima generasi. Generasi pertama adalah baby boomers, yang lahir selepas perang dunia kedua antara tahun 1946 sehingga 1964. Kedua, adalah generasi x, mereka yang berumur 40 – 51 tahun, generasi y berumur 19 – 39 tahun, generasi z berumur 6 tahun hingga 18 tahun serta generasi alpha adalah bayi yang lahir bermula tahun 2010.

Tuntutan hari ini dimangkin oleh generasi y dan generasi z yang begitu hyper connected, social scentric, technology friendly atau lain perkataan mereka ini adalah net – generation atau pun i – generation.

Ledakan generasi inilah yang telah mencipta beratus billionaire yang pejabatnya hanya stor kecil di Amerika. Generasi ini mencipta jenama seperti Uber, Agoda, Trivago dan AirBNB yang berjaya atas inovasi pemikiran yang diluar kotak dan terkini, Malah, jika wanita diberi peluang dan pendidikan yang berteraskan inovasi, tidak mustahil innovation in this country will be powered by women.

Maka dengan itu, cabaran kita adalah untuk menyediakan satu ekosistem pendidikan, yang boleh melahirkan generasi masa hadapan, yang seimbang dan cemerlang.

BAHAGIAN 6
MEJA BULAT SYARIAH

Sidang dewan yang budiman,
Tahniah kepada Naib saya, Yang Berhormat Datuk Azizah Datuk Seri Panglima Mohd Dun yang mempengerusikan Biro Perundangan dan Advokasi kerana berjaya menganjurkan Sidang Meja Bulat Syariah pada 15 November yang lalu.
Sidang meja bulat tersebut telah dihadiri oleh pengamal dan pembuat dasar perundangan Syariah Negara dan membincangkan tiga topik penting iaitu:-
Penyeragaman Undang-Undang Syariah;
Perundangan Perwarisan; dan
Pemerkasaan Mahkamah Syariah.
Wanita percaya, bahawa sudah tiba masanya institusi Mahkamah Syariah dimartabatkan, setaraf dengan Mahkamah Sivil. Kita mendesak supaya cadangan untuk mewujudkan lima hierarki Mahkamah Syariah, yang telah pun diluluskan oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam dipercepatkan.
Melalui resolusi ini, cadangan supaya undang-undang berkaitan dengan perwarisan orang Islam dipinda, untuk mengkhususkan bahawa isu perwarisan harta pusaka orang Islam, diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, dan satu peruntukan penalti di dalam Undang-Undang Jenayah Syariah bagi sesiapa yang engkar perintah ini.

Beberapa resolusi juga telah dipersetujui untuk memperkasakan lagi Mahkamah Syariah, antaranya menambah jumlah Hakim Wanita, bailiff, pencatat / pembantu Mahkamah dan peguam di Jabatan Bantuan Guaman.

Selain itu, perjuangan untuk penyelarasan penerimaan masuk Peguam Syarie, masih diperjuangkan dengan cadangan penubuhan Majlis Peguam Syarie yang di bawah naungan dan ditadbir urus oleh Majlis Raja-Raja, bagi memudahkan urusan amalan guaman syarie di negeri-negeri.
Saya berharap agar resolusi ini dapat memberikan penambahbaikan kepada penguatkuasaan dan perlaksanaan perundangan serta memperkasakan sistem Mahkamah dan Jabatan Syariah di Malaysia.

Wanita UMNO akan menubuhkan satu jawatankuasa pemandu sebagai tindakan susulan supaya resolusi Sidang Meja Bulat ini dapat diperjuangkan.

BAHAGIAN 7
PEMERKASAAN EKONOMI WANITA

Sidang Perwakilan yang dihormati sekalian
Wanita UMNO mengakui bahawa pembangunan ekonomi, politik dan sosial hendaklah bergerak seiring, untuk memastikan kemajuan dan pembangunan Negara berada dalam keadaan yang stabil. Berdasarkan kepada perkembangan ekonomi di Malaysia, banyak kajian telah membuktikan bahawa wanita di Negara ini amat berminat untuk menyertai bidang keusahawanan.

Sempena Perhimpunan Agung tahun ini, Sekretariat Pembangunan Ekonomi dan Keusahawanan Wanita UMNO Malaysia telah mengadakan Wanita Kreatif Fest dari 11-13 November 2016 dengan membawa konsep batik, songket dan tenun. Lebih 120 usahawan wanita terlibat mengadakan jualan selain program business matching, job fair dan forum ekonomi wanita. Di majlis penutupan yang disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, satu resolusi telah dikemukakan supaya bidang industri kreatif dapat diberikan perhatian oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan lagi ekonomi wanita Malaysia.

Wanita UMNO mahupun pejabat Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri (KIW) sedar bahawa isu kos sara hidup adalah satu isu yang memerlukan perhatian. Kemahiran wanita dalam bidang keusahawanan perlu dipertingkatkan lagi untuk membangunkan ekonomi diri, keluarga dan seterusnya ekonomi Negara.

Ramai usahawan wanita yang baru bertatih dalam perniagaan, yang mempunyai produk-produk berpotensi untuk menembusi pasaran yang lebih luas, tidak mempunyai rangkaian pemasaran, dan ruang niaga serta bantuan kewangan. Mereka memerlukan antara lain, tapak kekal untuk mempamer dan menjual produk masing-masing.
Maka dengan itu, Pejabat KIW telah memperkenalkan program PASARNITA (Pasar Untuk Wanita) yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 31 Mei 2015. Beliau juga telah mengumumkan satu Tapak Kekal PASARNITA di Wilayah Persekutuan di bawah kelolaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Saya amat berharap ianya akan menjadi kenyataan secepat mungkin.

Alhamdulillah, perjuangan menjadi kenyataan. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu yang telah menyahut saranan ini dengan melancarkan Tapak Kekal PASARNITA di Pasar Tanjung Terengganu pada 16 November 2016. Satu-satunya lokasi premium yang sedang membangun di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu. Saya amat berharap kerajaan negeri lain akan menyambut perjuangan ini dan menubuhkan PASARNITA di negeri masing-masing. Saya juga berharap, Yang Berhormat Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, akan merintis jalan, dan menentukan kementerian beliau adalah yang pertama, untuk menyahut hasrat perjuangan wanita dan mewujudkan PASARNITA di premis perniagaan di bawah MARA buat permulaan. Semoga perjuangan kita untuk menentukan tiap-tiap wanita di Malaysia, mempunyai kebebasan ekonomi dan mempunyai ‘’dompet” sendiri, menjadi kenyataan. Insya Allah.

BAHAGIAN 8

MEMBENTENG KEDAULATAN NEGARA

Srikandi-srikandi wanita yang dihormati,
Untuk semua ini berlaku, syaratnya negara mesti stabil. Untuk negara stabil, perlembagaan mesti dihormati. Malaysia negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama. Ada tempat untuk semua, selagi Barisan Nasional menjadi kerajaannya. Dalam kita menghormati kepelbagaian ini, hak orang Melayu dan Bumiputra mesti dipertahankan. Pepatah Melayu ada berkata, ‘takkan Melayu hilang di dunia’. Kata bukan sebarang kata, kata ini harus dikota dan dijaga. Kita perlu sedar yang kini bukan hanya parti yang diuji, malah seluruh rakyat juga sedang diuji. Jika kita tidak kuat mempertahankan negara, sejarah 505 tahun yang lalu di mana pada tahun 1511, bermulanya titik hitam penjajah menjadi tuan di tanahair kita sendiri, mungkin berulang kembali.

Dunia politik hari ini adalah dunia yang amat brutal. Pastinya bukan untuk mereka yang lemah semangat dan mudah mengalah. Puan-puan perlu ingat yang kita semua adalah ahli parti politik dan bukan ahli NGO biasa. Untuk ahli politik, pilihanraya berlaku setiap hari malah setiap saat. Lihat saja di media sosial betapa kita dihukum dan dihakimkan seolah kita hidup di bawah mikroskop masyarakat.

Pelbagai perkara boleh berlaku, namun begitu, kita sebagai pemimpin dalam parti jelas yang perjuangan kita mesti penuh kewarasan untuk rakyat. Walau bagaimana dahsyat badai mendatang, saya yakin rakyat pada akhirnya akan tetap memilih Barisan Nasional.

Hari ini kita berdepan dengan empat jenis ancaman campur tangan asing. Ancaman pertama, mereka sudah berani masuk campur urusan politik kita. Mereka tidak akan berputus asa untuk memecahbelahkan orang Melayu dan menghancurkan kuasa dominan politik orang Melayu. Lihat saja bagaimana liciknya pembangkang menjaja kisah 1MDB sebagai kononnya satu skandal kewangan sehingga DOJ campur tangan, walhal kita semua dapat membaca ini agenda politik pembangkang untuk menjatuhkan seorang Melayu iaitu Dato’ Sri Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia serta mengulingkan kerajaan Barisan Nasional yang telah dipilih secara demokrasi.

Tidak cukup dengan itu, kedua, mereka gunakan media untuk memfitnah semua yang kita buat dan gambarkan bahawa kita di Malaysia ini mengalami keadaan yang sangat teruk. Daripada laporan-laporan media dan analisis yang kita baca, Wall Street Journal (WSJ), Sarawak Report, MalaysiaKini dan beberapa lagi media, telah menjadi ejen penabur fitnah yang mengapi-apikan sentimen kemarahan rakyat terhadap kerajaan. Jangan sekali-sekali kita terpedaya dengan helah ini.
Seterusnya, untuk memastikan cita-cita kotor pembangkang ini tercapai, mereka sanggup menerima dana yang disuntik oleh pihak asing untuk mengkucar-kacirkan negara. Puan-puan, George Soros sudah kembali semula, dialah petualang dan penyangak matawang yang menjadi punca kejatuhan teruk ringgit pada 1997. Daripada laporan yang dibocorkan oleh DC Leaks, Soros membiayai petualang-petualang yang nak menggulingkan kerajaan Malaysia. Maka dengan itu, Wanita mendesak pihak berkuasa supaya menyiasat dengan segera, siapa dia penerima dana haram, yang bertujuan untuk menggulingkan kerajaan Malaysia, dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengkhianat-pengkhianat ini.

Wanita menggesa agar penggubalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA) disegerakan, untuk menangani isu dan mengawal kemasukan dana asing kepada NGO yang berkepentingan politik untuk mengulingkan kerajaan yang sedia ada.

Keempat, ancaman ini datang dalam bentuk ‘civil movement’ seperti Bersih dan seangkatan dengannya digerakkan untuk melumpuhkan ekonomi dan politik negara sama seperti mana mereka huru-harakan Mesir dalam kejadian Arab Spring. Mereka mahu kehidupan kita juga hancur, mereka mahu kita juga jadi pelarian, mereka mahu kita juga meminta sedekah, dan matlamatnya mereka mahu kawal dan tawan negara ini!.

Sampai sebegini teruk kita diancam, kalau kita masih tidak berkeras dan tidak sedar, kita bukan hanya hilang parti, kita akan hilang sebuah negara? Apa yang kita nak jawab dengan anak cucu kita nanti?

Mana konsep Malaysian Malaysia yang dilaungkan DAP selama ni? Kenapa kini sanggup mereka menjual maruah negara dengan bersekongkol dengan pihak asing yang terang lagi bersuluh, niatnya jahat untuk memporak-perandakan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Malaysia pada hari ini!
Hakikatnya keputusan PRU-14 hanya akan membawa kepada dua senario sahaja. Satu, jika Barisan Nasional menang, UMNO akan menjadi tulang belakang kerajaan bersama sokongan parti-parti komponen, di mana formula keharmonian kaum akan dapat diteruskan. Kedua, Nauzubillah jika pakatan pembangkang menang PRU-14, Malaysia akan ditadbir oleh kerajaan DAP. Lihat sahaja apa telah berlaku di Pulau Pinang yang mempunyai pemerintah chauvinist DAP. Orang Melayu disisih dan dipinggir, tunggu masa sahaja dihalau keluar dari bumi Pulau Pinang!

Rakyat Malaysia buatlah pilihan, nak kerajaan Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO, atau kerajaan pembangkang DAP yang hanya mementingkan kaum-kerabatnya sahaja!

Sidang perwakilan yang dihormati,
Saya mengajak puan-puan mengimbau kembali, sejarah pemodenan Malaysia, bagaimana kita membangun dengan rasa bangga, kita terima perubahan dengan tangan terbuka, tanpa ada tangan asing menggoncang kebahagiaan kita.

Kini saya kesal puan-puan, apabila ada di antara mantan pemimpin kita, insan yang pernah mengajar kita berlari di jalan yang lurus, hari ini beliau sendiri menyimpang ke jalan yang makin jauh.

Secara peribadi saya sendiri telah berkhidmat di bawah kepimpinan 3 orang Presiden UMNO. Tak ada seorangpun yang terkecuali dari diuji, yang tiada musuh dalam selimut, yang tiada seteru di dalam dan luar parti dan pelbagai isu yang lain.

Sepanjang waktu ini, Wanita tidak pernah derhaka, walaupun sehingga UMNO diharamkan, Wanita tidak goyah mengikat kesetiaan kepada parti dan pemimpin.
Ini negara demokrasi, siapa pun boleh diangkat menjadi Perdana Menteri melalui sistem pilihanraya yang kita ada, tapi kini katanya ada yang merancang hendak mengangkat anaknya sendiri menjadi Perdana Menteri.

Paling menyedihkan, beliau dan ramai muka yang kita kenali, turut serta dalam perhimpunan haram Bersih 5 baru-baru ini. Bukan setakat hadir, siap bagi ceramah yakinkan rakyat dengan agenda pembangkang yang dibenci sebelumnya, kini boleh berbincang duduk semeja, jadikan jalanan tempat politik merosakkan minda anak bangsa.

Rata-rata rakyat tidak mahu kerajaan digulingkan di luar proses demokrasi, tunggu sahajalah pilihanraya umum. Yang lebih utama adalah majoriti rakyat enggan masuk perangkap Bersih yang dilaporkan ditaja dana asing, demi kepentingan politik peribadi.

Tapi hari ini, Wanita kesal. Kesal kerana beliau sendiri yang merosakkan nilai perjuangan yang kita bangunkan. Namun percayalah bahawa sebesar mana tamadun sekalipun akan hancur apabila seorang pemimpin menilai kepentingan sendiri itu lebih mahal dari harga sebuah negara.

Wanita tidak akan sesekali melanggar tradisi. Naluri Wanita adalah naluri ibu, tidak mungkin seorang ibu akan meninggalkan keluarganya ketika susah, tidak mungkin seorang ibu membiarkan keluarganya berpecah kerana fitnah. Itu ikrar Wanita.

Sidang perwakilan sekalian,
Saya yakin ramai ahli UMNO tidak akan pernah melupakan bait-bait puisi Perjuangan Belum Selesai.

“Sesungguhnya tidak ada lebih menyayat hati daripada melihat bangsaku dijajah. Bukan kecil langkah wira bangsa, para pejuang kemerdekaan bagi menegakkan kemuliaan dan darjat bangsa. Perjuangan kita belum selesai rupanya” kata beliau.

Hari ini siapa yang telah membuka pintu bangsa ini untuk dijajah semula? Siapa yang memperkecilkan langkah wira bangsa? Siapa yang meruntuhkan kemuliaan bangsa? Jika dahulu, sajak ini beliau baca dengan linangan airmata, hari ini dengan senyum tawa beliau memeluk erat musuh dan petualang bangsa.
Cuma satu pesan wanita kepada beliau dan semua yang telah menggadai perjuangan, betapa ingatlah orang Melayu takkan mudah lupa, jangan nanti menang sorak kampung tergadai.

Sidang perwakilan sekalian,
Saya kagumi ketabahan dan kecekalan Dato’ Sri Najib, walaupun diasak dengan fitnah, tetapi masih kekal berdiri sebagai pemimpin yang berjiwa besar
Wanita menghargai semua transformasi dan perubahan yang dibawa oleh Dato’ Sri Najib, walaupun sering dikaburkan pembangkang. Di luar negara, Malaysia terus memilih pendekatan diplomasi dengan mempromosikan nilai kesederhanaan yang Dato’ Sri Najib gagaskan. Kita membina hubungan yang lebih erat dengan pelbagai negara, dasar luar kita mendapat pujian dan penghormatan dunia.

Wanita juga sedar, melonjak status negara membangun kepada negara maju, jauh lebih sukar dari mundur kepada membangun kerana usaha mentransformasikan acuan yang telah lama dibentuk bukanlah sebuah usaha yang mudah. Pun begitu, Dato’ Sri Najib masih cekal berdiri memperbetulkan satu demi satu kesilapan acuan sebelumnya. Bagi Wanita, inilah pejuang bangsa. Wanita akan kekal setia pada Presiden walaupun seratus kali difitnah, seribu kali bangkit mara semula.

BAHAGIAN 9

SEMBOYAN PERJUANGAN

Sidang perwakilan sekalian,
Hari ini kita mesti mempunyai semangat yang kental. Kita mesti berani, tabah dan kuat dalam menghadapi ranjau politik yang semakin hari semakin menguji ketabahan kita sebagai pejuang bangsa.

Wanita akan kekal bersetia dengan Presiden dan parti. Kesetiaan yang kita miliki adalah kesetiaan yang tidak berbelah bahagi, kesetiaan simpul mati, kesetiaan yang benar-benar mendalam dan hakiki, bukan yang mempunyai agenda tersendiri.

Wanita telah membuktikan, walaupun kita menghadapi pelbagai rintangan, saya tahu dalam kalangan puan-puan, ada yang menghadapi masalah dengan ketua-ketua bahagian, ada yang tak cukup peruntukan, ada yang guna duit poket sendiri, namun Wanita masih lagi menjadi jentera terkuat parti dan terus bergerak ke setiap nadi rakyat di akar umbi.

Saya sedar, perjuangan politik ini tidak mudah. Kita lakukan ia tanpa bayaran, dengan kerelaan seluruh jiwa dan raga kita.
Kita wajib menang. Kita mesti menang. UMNO perlu menang kerana ini tempatnya orang Melayu untuk berpaut, kemenangan UMNO bermakna kemenangan bangsa Melayu bersama-sama dengan semua kaum lain. Kemenangan Barisan Nasional dalam PRU nanti bermakna kemenangan untuk rakyat.
UMNO akan terus gagah selagi kita memelihara dan mempertahan nasib rakyat terutama orang Melayu. Kita perlu yakinkan diri bahawa UMNO akan kekal kukuh dalam kerajaan Barisan Nasional.

Pilihan Raya Umum ke-14 bakal menjadi pilihan raya paling sengit dalam sejarah UMNO yang akan menentukan kelangsungan parti kita sebagai parti pemerintah.
Satu perkara yang saya ingin tekankan di sini, pengundi untuk PRU-14 akan terdiri daripada lebih kurang 37 peratus pengundi muda dan lebih kurang 50 peratus pengundi wanita.

Jika kita lihat dalam pola politik hari ini, mana-mana parti yang tidak memberi tempat secukupnya kepada wanita untuk menjadi calon akan dilihat tidak inklusif dalam membuat keputusan. Di Malaysia, jika wanita mampu jadi jentera utama sudah semestinya lebih ramai daripada kita layak menjadi calon pilihanraya.
Namun begitu sebelum kita menuding jari, kita tanya diri kita, sudahkah kita persiapkan diri untuk memastikan harapan ini dapat dicapai. Saya selaku ketua bersama Naib dan Exco sedar harapan tinggi Wanita UMNO. Insya Allah kita akan memperjuangkan penambahan jumlah calon wanita pada PRU-14 nanti.

Sidang perwakilan sekalian,
Bermacam keperitan yang pernah kita rasai, kita alami, kita lalui dalam berpolitik ini. Semuanya kita harungi dan kita telan
Puan-puan kita sudah berjalan sejauh ini, pernahkah kita terfikir dan bertanya pada diri sendiri, kenapa kita sedegil ini, kenapa kita setabah ini, kenapa kita secekal ini? Kenapa dengan semua keperitan ini puan-puan masih berdiri untuk parti yang mulia ini?
Kerana satu, kerana kita sayangkan masa depan anak-anak kita, mesa depan cucu-cucu kita, kerana kita sayangkan keluarga kita, kerana kita sayangkan orang Melayu, kerana kita sayangkan satu-satunya parti orang Melayu. Kerana itulah kita adalah ibu terbaik bangsa.
Seorang ibu sanggup berkorban untuk keluarganya, kita susah macamana pun, anak tidak akan tahu kita susah, begitu jua wanita dalam parti ini, susah macamana pun, kita telan dan lalui, kadang-kadang siapa pun tidak tahu.

Saya nak tanya pada puan-puan, adakah perjuangan kita akan kekal 100 tahun lagi? Adakah orang Melayu akan masih berbangga kerana mereka adalah Melayu? Adakah akan ada Melayu yang berani bangkit bila kita dihina? Dan adakah lagi keringat dan airmata Melayu yang tumpah membela bangsanya.
Tengok baju kurung yang puan-puan pakai hari ini. Kata nenek moyang, kurung itu maknanya mengurung iman dan maruah, maka jadikan lah baju kurung ini sebagai pusaka.

Ayuh kita lepaskan kaki dan tangan terikat, kita buka mata, kita rasa dengan jiwa, kita buang rasa curiga, kita terus kekal setia di sisi pejuang mulia.
Wahai Ibu Terbaik Bangsa. Ini rumah kita. Ini pusaka kita. Ini maruah kita. Kecil atau besar di mata orang, di sinilah tempat rebah dan bangkit kita, sihat dan sakit kita, tempat kita menikmati sujud paling khusyuk.

PRU-14 ini, bukan lagi sekadar pilihanraya. Sebaliknya, sebuah peperangan yang akan menjadi penentu hidup mati kita dalam perjuangan. Peperangan yang akan menentukan nasib anak cucu kita di masa hadapan.
Di sini maruah kita dipasak dengan semangat, dibenam dengan hakikat. Parti ini yang telah melahirkan kita. Parti ini adalah nyawa kita. Parti ini adalah nyawa orang Melayu.

Wahai Tentera-tentera Wanita, kita bersiap untuk turun bertempur. Wanita pantang berundur, Wanita bukan pengecut atau bacul. Biar beribu musuh meluru, usahkan berundur, sampai mati Wanita berkubu. Kita benam dan tentang petualang negara. Ingat, ini Pergerakan Wanita UMNO, sekali kita melangkah ke medan perang, sampai ke akhir nyawa kita berjuang.

Keberanian adalah maruah, kecekalan adalah maruah, ketabahan adalah maruah.
Sekali wanita melangkah, membujur lalu melintang patah. Walau seribu musuh menentang, biar putih tulang jangan putih mata. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

Ayuh pahlawan-pahlawan wanita, di mana pun anda berada, dari Arau hingga ke Tawau, berjanji dan bersumpahlah, pekat darah Tun Fatimah, demikian pekat semangat kita membenteng maruah.

Gendang PRU degil dipalu, teriak jihad kuat berseru, Wanita tidak gusar, wanita tidak gentar, walau datang segala badai gelora, walau menyelinap pengkhianat dan penderhaka.

Bersaksi tangan kanan yang disinsing inilah, wanita akan terus menerjah. Bersaksi tangan kiri yang digenggam inilah, wanita tidak akan sekali menyerah. Ingat, kita lahir atas parti yang sama, kita hidup atas parti yang sama.
Duhai Ibu Terbaik Bangsa
Parti ini pusaka kita
Yang dihirup dengan jiwa
Yang dihembus dengan raga.
Ibu Terbaik Bangsa
kita hala meriam setia,
bersama bijih semangat waja,
kita bedil petualang bangsa,
agar mereka tidak lupa,
Takkan Melayu hilang di dunia!

Hidup Wanita! Hidup UMNO! Hidup Barisan Nasional!
Sekian dan selamat bersidang.