KUALA LUMPUR, 30 Nov – Mentaliti menang menjadi semboyan tiga sayap UMNO – Pemuda, Puteri dan Wanita – dalam menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai parti yang berkemampuan untuk terus mengemudi negara.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil ketika meniupkan semboyan itu kepada anggota sayap pada persidangan pergerakan masing-masing mahu strategi mentaliti menang, dipateri dalam diri Pemuda, Puteri dan Wanita dalam menuju PRU14.

KUALA LUMPUR, 29 November -- Perwakilan sayap - sayap UMNO mengibarkan bendera sewaktu menyanyikan lagu UMNO pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap - Sayap UMNO oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di PWTC sebentar tadi. Foto:MediaUMNO

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata beliau tidak mahu lagi mendengar dalam kalangan hulubalang parti yang bercerita seolah-seolah Barisan Nasional (BN) akan kalah.

“Kita mesti yakin kita boleh menang, jangan kita mengaku kalah sebelum berperang,” pesan Khairy kepada anggota Pemuda UMNO.

Beliau berkata bila ada strategi mentaliti menang, rakyat akan berasa lebih yakin dan menyedari bahawa UMNO mampu untuk terus mengemudi negara.

“Ini bagi meniupkan semangat kepada jentera di segenap lapisan parti untuk terus mengejar setiap undi, untuk bekerja siang malam, untuk lawan hujah musuh, untuk kita terus mengejar kemenangan,” katanya.

Mas Ermieyati pula mengingatkan anggota perwakilan pergerakan itu untuk  menanam mentaliti menang dalam diri sebagai perisai dan senjata untuk mendepani pelbagai cubaan, fitnah dan prasangka musuh.

Beliau berkata antara contoh mentaliti menang yang wajar dicontohi ialah kisah tokoh politik Amerika Syarikat pada abad ke-18, Benjamin Franklin yang menanggani pesaingnya dengan tertib dan lembut sehingga akhirnya mereka bersahabat.

Franklin, menurut Mas Ermieyati telah menulis surat untuk meminjam sebuah buku dan mengembalikannya dengan nota terima kasih dan menyatakan penghargaannya dalam buku autografinya sehingga pesaing itu akhirnya menegurnya dengan lembut.

“Kisah ini menunjukkan bagaimana seorang yang mempunyai mentaliti jaguh menguruskan masalahnya. Mempunyai mentaliti jaguh yang tidak mudah mengalah, yakin dengan kemampuan dan kesungguhan diri, masalah itu akhirnya berjaya ditukar menjadi suatu kemenangan indah dan bermakna,” katanya.

Beliau berkata bagi memastikan anggota Puteri mempunyai mentaliti sedemikian, mereka perlu mempunyai asas 4K dalam diri iaitu keyakinan,
kesetiaan, keikhlasan dan kesungguhan dalam perjuangan UMNO.

“Rakyat memberikan mandat kepada UMNO kerana mereka yakin dengan prestasi dan perjuangan kita, yakin kerana kualiti kepimpinan UMNO. Datanglah apa juga cubaan, fitnah, prasangka dan sebagainya, mereka berjaya melaluinya kerana mempunyai kualiti yang dikenali sebagai mentaliti jaguh,” katanya.

Sementara itu, Shahrizat berkata UMNO perlu menang kerana ia tempat orang Melayu berpaut dan kemenangan UMNO bermakna kemenangan bangsa Melayu bersama-sama dengan semua kaum lain.

“Kita wajib menang. Kita mesti menang,” katanya.