KUALA LUMPUR, 28 Nov- Setiausaha Jabatan Penaziran Politik dan KPI UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden,  Datuk Seri Dr Zahid Hamidi memberikan peringatan kepada semua Setiausaha Bahagian UMNO di setiap negeri supaya sentiasa mempersiapkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang akan datang.

Ujarnya, peringatan itu diberi ketika Zahid mengadakan pertemuan tertutup bersama semua Setiausaha Bahagian UMNO di PWTC sempena Perhimpunan Agung UMNO yang bakal bermula esok sehingga 3 Disember ini.

Kuala Lumpur, 28 November--Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bergambar bersama Setiausaha-setiausaha UMNO Bahagian-bahagian selepas majlis taklimat bersama setiausaha UMNO bahagian sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 di PWTC petang ini. - Foto : MediaUMNO

“Datuk Seri Zahid turut menekankan tentang kesetiaan kepada institusi kepimpinan parti yang harus diperkukuhkan melalui organisasi setiausaha negeri mahupun bahagian dan perkara itu perlu dilakukan dari peringkat akar umbi agar dapat memastikan kemenangan parti dalam PRU-14.

“Selain itu beliau juga menyatakan bahawa setiap ahli haruslah sentiasa peka terhadap apa jua kemungkinan yang boleh berlaku terutama sekali elemen-elemen yang boleh memecah belahkan parti. Kerana itulah tugas setiausaha sememangnya sangat penting bagi menjamin kestabilan parti.

“Setiausaha merupakan individu yang dilantik oleh pengerusi, jadi sudah tentu ianya merupakan satu jawatan yang penting bagi menjamin struktur pentadbiran agar sentiasa memenuhi aspirasi realiti semasa dan tidak mengikut kaedah yang lama” ujarnya kepada UMNO-Online selepas program tersebut.

Tambah Irmohizam yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Zahid turut menyatakan agar hasil dari Jabatan Naziran UMNO Malaysia dijadikan dokumen bagi dilakukan penambaikan di dalam memperkukuhkan lagi jentera UMNO.

Program yang dihadiri seramai 189 orang ketua bahagian itu turut dimeriahkan dengan pemberian anugerah Penaziran politik dan KPI UMNO yang diberikan kepada zon-zon tertentu.

Antara kategori yang disampaikan adalah anugerah kehadiran terbaik mengikut zon, dokumentasi dan rekod terbaik mengikut zon, war room bahagian terbaik mengikut zon, laman sesawang facebook yang memperoleh ‘like’ tertinggi, pusat cyber troopers terbaik dan pusat khidmat terbaik. -MediaUMNO