pppp

Mutakhir ini kita dapat melihat pelbagai isu yang melibatkan ancaman terhadap akidah Islam datang dalam pelbagai bentuk yang boleh menggelincirkan akidah khususnya aliran pemikiran yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah wal-Jamaah. Jika ia tidak dibendung segera, kesucian akidah Islam akan tergugat, malah boleh mencabar kedudukan istimewa agama Islam sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia sebagai pemerintah Islam yang diamanahkan untuk menjalankan amar makruf dan nahi mungkar telah bertindak bijak dalam soal ini berasaskan Siasah Syar’iyyah iaitu demi menjamin kesucian agama di samping membangunkan urusan dunia. Firman Allah SWT dalam surah al-‘Araf ayat 157,

Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad SAW) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada disisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.”

Menerusi konsep ini, maka pengharaman pemikiran tertentu adalah salah satu cara yang digunakan demi menyekat jalan-jalan (sadd al-zari’ah) yang boleh merosakkan aqidah dan pemikiran umat Islam sebagaimana keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 pada 25 – 27 Julai 2006 bahawa Gerakan Pemikiran Liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah. Persoalan besar yang timbul ialah apakah ciri-ciri mereka yang menjadi daya penarik kepada masyarakat Islam?.

Berdasarkan sejarah Islam, aliran pemikiran ini telah wujud dengan kemunculan golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubay yang cuba menggoncang akidah kaum muslimin ketika itu dengan argumentasi yang bertujuan untuk meragukan keimanan mereka. Peranan Abdullah bin Ubai sebagai pencetus keraguan amat jelas sepertimana perbuatannya memfitnah Saidatina Aisyah r.a dan mengenai pembinaan Masjid Dhirar di Madinah dengan tujuan untuk mengintip dan meragukan pegangan akidah umat Islam semata-mata.

Inilah wajah sebenar gerakan pemikiran liberal yang merupakan salah satu bentuk daripada serangan pemikiran dan kebudayaan yang secara tidak langsung boleh meruntuhkan pegangan agama masyarakat Islam dan memberi kesan kepada keruntuhan Islam itu sendiri. Oleh itu, dalam membentengi akidah, umat Islam perlu mempunyai pengetahuan yang cukup dalam memahami aliran pemikiran baru terutama yang berwajahkan Islam. Cara ini dapat mengelakkan kita daripada terpengaruh dengan fahaman yang bertentangan dengan akidah Islam.

Umat Islam perlu tahu dan mengenali golongan pemikiran Islam liberal ini agar terselamat daripada dosa yang lebih besar. Antara ciri-ciri mereka adalah seperti (i) Bersifat Sekularisme iaitu pemikiran yang membawa kepada penafian kesempurnaan agama Islam. Bagi mereka amalan Islam hanyalah sebagai tuntutan pelaksanaan ibadah ritual sahaja, tidak termasuk mengurus dan mentadbir dunia ini. Bahkan agama dianggap belenggu yang mengikat kebebasan hidup mereka. (ii) Penolakan terhadap syariah di mana mereka secara berani melontarkan idea yang sangat jijik dengan menimbulkan persoalan tentang keadilan Allah SWT. Mereka merasakan ada kepincangan dalam Islam, lalu mula mencari penyelesaian seolah-olah mahu membela Islam tetapi akhirnya mencemar kesucian Islam itu sendiri. (iii) Penolakan terhadap autoriti keagamaan iaitu mereka enggan menerima wahyu al-Qur’an tetapi meletakkan wahyu tidak bertulis iaitu akal semata-mata sebagai pemandu kehidupan. (iv) Kebebasan mentafsirkan teks al-Quran iaitu dengan menggelarkan diri mereka sebagai mujtahid alaf baru, maka mereka bebas membuat penafsiran teks al-Quran berdasarkan pemikiran liberal mereka.

Mereka juga menentang kuat undang-undang keluarga Islam dan Jenayah Syariah atas dakwaan ada peruntukan yang akan menzalimi perempuan. Tidak kurang juga, ada yang menganggap Islam menindas kaum wanita, tidak memberi kebebasan dan mengongkong wanita daripada melakukan aktiviti kemasyarakatan. Sebenarnya apabila kita meneliti sejarah Islam, jaminan hak ke atas kaum lelaki mahupun wanita tidak pernah menjadi persoalan diskriminasi. Hakikatnya, kedatangan Islam telah menyelamatkan kaum wanita daripada menjadi mangsa diskriminasi kaum jahiliyah yang tidak langsung memberi ruang kepada anak-anak perempuan yang dilahirkan untuk hidup. Bahkan Islam terus membela kaum wanita dan semenjak dari awal lagi pengiktirafan diberi kepada mereka.

Secara jelasnya, kewajipan golongan lelaki adalah menjadi pelindung kepada kaum yang lemah, dan Islam menuntut kaum lelaki berbuat baik terhadap golongan wanita. Islam melarang golongan lelaki melakukan keganasan, apatahlagi menzalimi wanita sekalipun terhadap isteri yang menderhaka. Allah SWT telah menjelaskan di dalam Surah an-Nisa’ ayat 34,

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”

Qawwam di sini bermaksud seseorang yang bertanggungjawab menjaga dan melaksanakan sesuatu iaitu mentadbir, mengawal dan memastikan pendidikan dalam keluarga secara adil. Saya percaya keganasan rumahtangga mampu dihalang selagi mana pemimpinnya membentuk pimpinannya dengan kehendak Islam sepenuhnya, memegang asas keagamaan yang kukuh, dan memahami tanggungjawab masing-masing.

Kita perlu sedar bahawa cabaran yang melanda umat Islam, dulu kini dan akan datang sentiasa menjadi polemik yang berterusan. Tidak dinafikan bahawa umat Islam sedang bertungkus lumus untuk mencapai kemajuan material dan dalam masa yang sama berusaha untuk menjadi umat Islam yang berkualiti dari aspek akidah dan keimanannya. Marilah kita memperbanyakan usaha, iltizam dan memperkasa ilmu agar menjadi benteng yang ampuh dalam kita menghadapi cabaran-cabaran ini.

Maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka):”Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam) itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahi yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu”. (Surah Al-Baqarah ayat 120)

Rujukan : http://www.islam.gov.my