Ini semua drama, apabila Peguam dari Amerika Syarikat (AS) Kimberly Motley meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabatnya hari ini.

Beliau hadir ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada pukul 11.05 pagi dan meninggalkan bangunan itu kira-kira sejam kemudian selepas misinya gagal.

Takkanlah sebagai peguam negara Uncle Sam yang menganggap diri mereka hebat itu tidak tahu betapa pentingnya temujanji awal untuk bertemu Perdana Menteri sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Mengapakah Motley sengaja pergi secara ‘walk-in’ ke pejabat Najib pada hari Jumaat dengan harapan dapat bertemu dengannya secara berdepan.

Sedangkan CEO syarikat besar-besar pun perlukan temujanji lebih awal untuk pertemuan dengan orang lain inikan pula Perdana Menteri.

Dramanya ialah, Motley mahu dunia kononnya menganggap Najib menyifatkan perkara berkaitan niat mahu membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini adalah tidak penting dan menganggapnya satu perkara yang tidak perlu disegerakan.

Beliau pula kemudian membuat kenyataan kononnya faham Najib mempunyai jadual yang sibuk padahal gerakan untuk memburukkan Najib sudah pun bermula.

Kalau diikutkan, sememangnya Anwar tidak penting untuk dibebaskan kerana dia disabitkan bersalah oleh mahkamah yang sah dan bebas dari sebarang pengaruh atas kesalahan jenayah melalui tempoh yang terlalu lama perbicaraan.

Mengapa pula Najib mahu mendengar dan melayan permintaan merepek dari peguam Motley untuk kononnya memperjuangkan kebebasan seorang pesalah jenayah liwat.

Menurut Motley beliau telah menulis surat memohon pertemuan dengan Najib dua hari lepas namun tiada maklum balas.

“Jelas sekali saya kecewa tetapi saya memahami bahawa beliau mempunyai jadual yang padat.

“Jadi, saya tidak mahu ganggu beliau tetapi saya berharap dalam beberapa minggu akan datang saya akan dapat bertemu dengan dia secara peribadi kerana adalah sangat penting untuk kita jelaskan apa yang perlu beliau dengar, apa yang kami mahu beritahu dia,” katanya.

Motley berkata demikian kepada pemberita di luar perkarangan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya sebentar tadi.

Motley dilantik oleh Anwar untuk membantu beberapa kes yang sedang berlangsung, termasuk semakan semula sabitan liwat pada Februari 2015.

Bagaimanapun, mengulas lanjut Motley berharap beliau dapat bertemu dengan Najib sebelum pulang ke Washington dua minggu akan datang.

Jika peguam mangsa liwat Anwar pula mahu ke AS dan mahu bertemu dengan Presiden Barack Obama sepertimana yang Motley lakukan, adakah mungkin Obama sudi bertemu dengan peguam berkenaan.

Najib yang hadir di AS pun tidak disambut oleh Obama ketika tiba di sana.

Motley, seorang graduan lulusan Marquette Law School pada tahun 2003, berkhidmat di Amerika Syarikat dan Afghanistan.

Beliau juga pernah membantu melatih ratusan peguam Afghanistan.