SHAH ALAM – Jabatan Penerangan Badan Perhubungan Umno Selangor akan melancarkan program ‘Bangkit Selamatkan Selangor’ sebagai usaha membangkitkan kesedaran rakyat untuk mengubah kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berkata, program di bawah Jabatan Penerangan Perhubungan Umno Negeri itu juga bertujuan untuk mendedahkan kepincangan dan kelemahan PKR Selangor sepanjang mentadbir negeri ini.

Beliau berkata, progran itu akan memberikan gambaran jelas kepada rakyat bahawa kepimpinan kerajaan negeri Selangor bukan sahaja menyusahkan rakyat, malah turut menimbulkan perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

“Isu-isu berkaitan akan didedahkan kepada rakyat secara langsung bagi membina gelombang kebangkitan rakyat untuk menukar kerajaan negeri Selangor hari ini kepada kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi taklimat program ‘Bangkit Selamatkan Selangor’ yang diadakan di Paya Jaras, malam tadi.

Turut hadir pada sesi taklimat berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan.

Zein Isma yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang berkata, program ‘Bangkit Selamatkan Selangor’ akan digerakkan ke seluruh DUN di negeri ni dan akan bermula di Paya Jaras, pada Sabtu.

“Program ini akan digerakkan di setiap DUN pada setiap hari Sabtu dan akan bermula di DUN Paya Jaras untuk memberikan pendekatan bagi menilai keberkesanan serta membuat penambahbaikan sebelum kita lancarkan ke seluruh negeri Selangor.

“Program ini diberikan nama ‘Bangkit Selamatkan Selangor’ adalah kerana untuk menyelamatkan negeri Selangor dengan memberikan penekanan terhadap kepincangan kerajaan negeri Selangor hari ini yang tidak mampu memberikan kesejahteraan kepada rakyat,” ujarnya.

Katanya, program yang akan digerakkan selama 12 jam itu akan bermula dengan memaparkan isu yang bakal diketengahkan.

“Kita akan mulakan program dengan memaparkan isu yang bakal diketengahkan kepada rakyat melalui banner dan walkabout membabitkan jentera yang terdiri daripada seluruh jentera penerangan di setiap DUN dan pusat daerah mengundi (PDN) secara serentak.

“Flashmob juga akan digerakkan di kawasan-kawasan tumpuan utama selain dan pada malamnya pula akan diadakan ceramah semasa di setiap PDN membabitkan kepimpinan negeri serta barisan penceramah dari Jabatan Penerangan,” katanya.

Menurut beliau, kepimpinan kerajaan negeri juga digesa untuk menjawab sebarang persoalan yang akan dikemukakan melalui program terbabit.

“Apa yang kita ketengahkan ialah kita minta sesiapa sahaja yang memerintah kerajaan negeri terutamanya Azmin Ali (Menteri Besar Selangor) untuk menjawab segala persoalan yang kita kemukakan.

“Dan ini akan berterusan dan kita akan perhebatkan lagi gerakan ini agar membina gelombang kesedaran rakyat untuk bangkit dan menukar kerajaan sedia ada atas tema ‘Bangkit Selamatkan Selangor’,” katanya.

Ihsan : Selangorpost.com.my