Dan ingatlah nikmat Allah atas kamu, tatkala kamu bermusuh-musuhan, lalu ia jinakkan antara hati-hati kamu, lantas dengan nikmat Allah kamu jadi bersaudara.
( Al-Imran :103 )

Ukhwah atau persaudaraan merupakan nikmat dari kekuatan iman dan ketakwaan yang melahirkan perasaan kasih sayang yang mendalam, rasa saling percaya mempercayai dan hormat-menghormati, sesama insan yang terikat dengan akidah Islamiah. Kesinambungan daripada perasaan ini melahirkan keikhlasan yang tidak berbelah bahagi untuk saling tolong-menolong, berkasih sayang, saling memaafi, setia kawan, dan sikap mulia lainnya. Tidak akan ada ukhwah tanpa iman dan takwa dan begitu juga sebaliknya.

UKHWAH MENURUT AL-QURAN

Perkataan al-akh ( sebutan tunggal-mufrad ) disebut sebanyak 52 kali di dalam al-Quran dengna pelbagai maksud iaitu :

1.Saudara kandung seperti pada ayat tentang kewarisan, atau keharaman mengahwini orang-orang tertentu.

” Diharamkan bagi kamu (mengahwini) ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, saudara-saudara perempuan kamu, saudara-saudara perempuan bapa kamu, saudara-saudara perempuan ibu kamu, (dan) anak-anak perempuan dari saudara-saudara kamu yang lelaki “.
( Al-Nisa :23 )

2.Ikatan kekeluargaan seperti doa Nabi Musa a.s. di dalam Al-Quran

” Dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku, (yaitu) Harun, saudaraku “.
( Thaha :29-30 )

3.Saudara sebangsa, walaupun tidak seagama

” Dan kepada suku ‘Ada, (kami utus) saudara mereka Hud “. ( Al-A’raf :65 )

4.Saudara semasyarakat

“Sesungguhnya saudaraku ini mempunyai 99 ekor kambing betina, dan aku mempunyai seekor saja, maka berkata kepadaku, ” Serahkan kambingmu itu kepadaku “; dan dia mengalahkan aku di dalam perdebatan “.
( Shad :23 )

5.Saudara seagama

” Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara “.
( Al-Hujurat : 10 )

ASAS UKHWAH

Persaudaraan atau ukhwah berasaskan kepada faktor persamaan seperti persamaan keturunan, kekluargaan, bangsa, masyarakat dan sebagainya. Hari ini muncul pelbagai pertubuhan atau organisasi yang mengikat sekelompok manusia berasaskan kepada persamaan seperti persamaan keturunan, hobi, latar belakang professional, ideologi, agama, organisasi tempat bekerja dan sebagainya.

Persaudaraan tanpa iman dan takwa tidak akan dapat bertahan dengan baik. Ini disebabkan persaudaraan tanpa iman dan takwa akan dihancurkan oleh kepentingan peribadi atau kepentingan kelompok tertentu, pra-sangka isi hati, hasad dengki dan sebagainya.

Asas ukhwah dalam Islam ialah akidah Islamiyah. Hanya Allah Taala sahaja yang mampu untuk menyatukan jiwa-jiwa manusia. Dengan memahami dan menghayati akidah Islamiyah, umat Islam akan menjadi umat yang bersatu dan cemerlang. Seperti firman Allah Taala :

” Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah ( menjaga dan memberi perlindungan ) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongannya dan dengan ( sokongan ) orang-orang yang beriman Dan Dialah yang menyatupadukan di antara hati mereka ( yang beriman itu ). Kalaulah engkau belanjakan segala ( harta ) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara ( hati ) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana ‘.
( Al-Anfal : 62 )

Rasulullah S.A.W bersabda :

” Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri “.
( Riwayat : Bukhari & Muslim )

Firman Allah Taala :

“Dan tolong menolonglah kamu dalam ( mengerjakan ) kebajikan dan takwa, dan janganlah kamu tolong menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan “.
( Al-Maidah : 3 )

Islam telah menerapkan beberapa prinsip sosial untuk menjamin ukhwah yang sejahtera seperti yang dianjurkan oleh Al-Quran. Antaranya ialah :

1.Konsep Khalifah

Manusia diangkat oleh Allah Taala sebagai Khalifah di muka bumi ini. Mereka adalah pemimpin dan wakil Allah untuk memakmurkan alam. Manusia bukanlah penakluk yang berkuasa terhadap seluruh alam atau pimpinannya, tetapi sebagai khalifah untuk memimpin manusia pada jalan yang benar.

2.Mengakui dan menghormati perbezaan

Umat Islam hendaklah cuba berusaha untuk mencari titik persamaan antara sesama manusia. Sesuatu yang perlu diakui ialah Allah telah menjadikan manusia ini pelbagai, malah dengan anugerah akal dan nafsu kepelbagaian ini adalha jelas. Sekiranya tiada titik persamaan, hendaklah saling hormat-menghormati sesama manusia, walaupun berbeza akidah. Firman Allah Taala :

” Bagimu agamamu dan bagiku agamaku “.
( Al-Kafirun : 6 )

3.Menghindari sifat mazmumah yang merosakkan persaudaraan

Prinsip ukhwah atau persaudaraan ialah mencari persamaan yang akan mengikat kasih sayang dan mendorong kepada kekuatan di kalangan segolongan manusia. Bagi tujuan ini hendaklah menghindari secara langsung segala sifat terutama yang bersifat batiniah seperti berpura-sangka, cemburu, iri hati, dan hasad dengki. Seperti Firman Allah Taala :

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kaum (pria) memperolokkan kaum yang lain, kerana boleh jadi mereka ( yang diolok-olokkan ) itu lebih baik daripada mereka ( yang memperolokkan ); dan jangan pula wanita-wanita ( mengolokkan ) wanita yang lain, kerana boleh jadi wanita-wanita yang diperolokkan lebih baik dan mereka ( yang memperolokkan ), dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri, dan janganlah kamu memanggil dengan gelaran yang buruk. Sejelek panggilan adalah ( sebutan ) yang buruk sesudah iman. Barangsiapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim:.
( Al-Hujurat : 69 )

KELEBIHAN UKHWAH

Allah taala mengurniakan beberapa kelebihan bagi mereka yang mengamalkan ukhwah Islamiah dengan ikhlas antaranya ialah :

1.Wajah bersinar

“Sungguh di antara hamba-hamba Allah itu ada beberapa orang yang bukan Nabi dan Syuhada’, tetapi para Nabi dan Syuhada’ mengingini keadaan seperti mereka, kerana kedudukannya di sisi Allah. Sahabat bertanya: ” Ya Rasulullah, beritahulah kami siapa mereka? ” Rasulullah S.A.W menjawab : ” Mereka adalah satu kaum yang cinta-mencintai kerana Allah tanpa ada hubungan dengan sanak kerabat di antara mereka serta tanpa hubungan harta benda yang ada pada mereka. Maka, demi Allah, wajah mereka sungguh bercahaya, sedang mereka tidak takut apa-apa di kala orang lain takut, dan mereka tidak berduka cita ketika orang lain berduka cita “.
( Riwayat Abu Dawud )

2.Dosa diampunkan

“Sesunguhnya seorang muslim apabila bertemu saudaranya muslim, lalu ia memegang tangannya (berjabat tangan) gugurlah dosa-dosa keduanya sebagaimana gugurnya daun dari pohon kering ketika ditiup angina kencang. Sungguh diampuni dosa merekka berdua, meski sebanyak buih di laut.
(Riwayat Thabrani)

3.Berada di bawah naungan arasy

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“sesunguhnya Allah SWT pada hari Kiamat berfirman: “Di manakah orang yang cinta-mencinntai kerana keagungan-Ku? Pada hari ini Aku akan menaungi mereka dengan naungan-Ku, pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Ku.
(Riwayat Muslim)

4.Berada di bawah naungan Mahabbah Ilahi
“Bahawa apabila seseorang mengunjungi saudaranya di desa yang lain, lalu Allah mengutus Malaikat untuk mengikutnya. Ketika Malaikat bertanya: “Kau hendak ke mana? Ia menjawab: “Aku ingin mengunjungi saudaraku di desa ini. Malaikat terus bertanya: Apakah kamu akan memberikan sesuatu kepadanya? Dia menjawab: “Tidak ada, melainkan hanya aku mencintainya kerana Allah SWT. Malaikat berkata: “Sesunguhnya aku utusan Allah kepadamu, bahawa allah mencintai orang tersebut kerana-Nya.
(Riwayat Muslim)

5.Mendapat syurga dan keredhaanNya

Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa menjenguk orang sakit atai mengunjungi saudaranya kerana Allah, maka dia akan dipangil oleh Allah: “Berbahagialah langkahmu, dan engkau telah menyediakan tempat tinggalmu di syurga€.
(Riwayat Tirmidzi)

6.Merasai manisnya iman

Rasulullah SAW bersabda:

“Tiga perkara, sesiapa yang memilikinya ia dapat merasakan manisnya iman, iaitu cinta kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi cintanya kepada selain keduanya, cinta pada seseorang kerana Allah, dan membenci kekafiran sebagaimana ia tidak mahu dicampakkan ke dalam api€.
(Riwayat Bukhari-Muslim)

UKUWAH ASAS KECEMERLANGAN

Pembentukan kerajaan Islam Madinah melalui perlembagaan Madinah merupakan bukti bahawa ukuwah merupakan asas kecemerlangan ummah. Bangsa Arab yang terdiri dari pelbagai kaum dan kafilah telah bersatu untuk memajukan madinah. Peristiwa hijrah Rasulullah bermula dengan rasa ukhwah yang jitu di kalangan penduduk Madinah yang tidak sanggup melihat saudara seislam mereka ditindas dan dizalimi di Mekah. Antara perkara terawal yang dilakukan oleh Rasulullah untuk mencapai kecemerlangan di Madinah ialah :

1.Mempersaudarakan kaum Muhajiran dan Ansar

Ukhuwah Islamiah merupakan asas dalam menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar. Mereka saling memerlukan dan tolong menolong. Bertepatan dengan hadis Rasulullah:
“Seorang Muslim bersaudara dengan Muslim lainnya. Dia tidak menganiaya, tidak pula menyerahkannya (kepada musuh). Barangsiapa yang memenuhi kebutuhan saudaranya, Allah akan memenuhi pula kebutuhannya. Barangsiapa yang melapangkan dan seorang Muslim suatu kesulitan, Allah akan melapangkan baginya satu kesulitan pula dan kesulitan-kesulitan yang dihadapinya di hari kemudian. Barangsiapa yang menutup aibnya di hari kemudian.
(Riwayat At-Tirmidzi dari Abu hurairah)

Larangan di atas di lengkapi dengan hadis yang menyebut:

“Dia tidak mengkhianatinya, tidak membohonginya, dan tidak pula meninggalkannya tanpa pertolongan.”

2.Membina Masjid

Masjid merupakan satu alat yang digunakan untuk menyatu padukan masyarakat. Masjid berfungsi sebagai pusat social masyarakat. Mereka berkumpul, bertukar-tukar pendapat dan menjalankan pelbagai aktiviti di masjid.

3.Perlembagaan Madinah

Perlembagaan madinah merupakan satu perlembagaan negara yang pertama di dunia. Melalui perlembagaan ini Rasulullah bukan sahaja telah menyatukan masyarakat Islam pelbagai kaum, malah juga pelbagai agama dan kepercayaan. Setiap kaum ini diberi hak dan tanggungjawab kea rah kesejahteraan dan kemakmuran Madinah. Melalui kebijaksanaan Rasulullah iini beliau telah membawa negara madinah kepada kecemerlangan melalui jiwa dan semangat ukhwa.

CABARAN UKHUWAH

Cabaran utama kea rah penyatuan jiwa ukhwah Islamiah yang paling besar ialah perbezaan Mazhab dan pendapat dan ideology. Perbezaan pendapat yang membawa kepada perpecahan telah wujud dalam sejarah peradaban Islam bermula dari kewafatan Rasulullah. Masyarakat islam telah berbeza pendapat tentang siapa yang layak sebagai pengganti Rasulullah untuk menjadi ketua umat Islam. Kemuncak kepada perbezaan pendapat ini telah menyebabkan perpecahan aliran pemikiran dalam Islam. Golongan-golongan ini salingmenidakan sumbangan pihak yang lain dan melahirkan pelbagai slogan dan fatwa yang bercanggah. Perbezaan yang paling ketara ialah antara golongan syiah dan sunni. Malah dalam kelompo sunni sendiri telah berpecah kepada empat mazhab yang besar. Umat Islam sewajarnya melihat perpecahan sebagai satu rahmat kepada seluruh umat Islam. Perpecahan ini sewajarnya menjadi sesuatu yang saling mengukuhkan dan mengisi kekosongan antara satu sama lain.

Kepentingan diri merupakan tembok yang paling besar kepada penyatuan ummah. Seringkali manusia kalah apabila berlaku konflik antara kepentingan diri dan kepentingan umum. Prinsip Islam jelas, bahawa apabila berlaku konflik ini, kepentingan umum adalah mengatasi. Di sini, kekuatan iman yang melahirkan ukhuwah Islam yang sebenar akan diuji. Hanya Iman dan takwa mampu mengenepikan kepentingan diri demi untuk saudara seislam dan agama Islam umumnya.