SUBANG – Ketua Penerangan UMNO Selangor, Dato Zein Isma berkata, tindakan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali yang menolak cadangan penasihat Dap, Lim Kit Siang untuk mengadakan pilihanraya mengejut di Selangor secara tidak langsung sebenarnya menafikan dakwaan Lim Kit Siang bahawa persempadanan semula yang dilakukan oleh SPR akan menguntungkan UMNO pada pilihanraya akan datang.

Menurut beliau, Lim Kit Siang mahu membuat pilihanraya mengejut di Selangor dengan alasan persempadanan semula yang dilakukan oleh SPR hanyalah untuk mengembalikan Selangor ke tangan UMNO dan BN pada PRU akan datang.

“Bila Azmin tolak cadangan Kit Siang itu, ini bermakna Azmin tidak percaya atau tidak yakin dengan alasan yang diberikan oleh Kit Siang itu. Secara tidak lansung, ini membuktikan bahawa segala tuduhan yang dilemparkan oleh pembangkang terhadap SPR kononnya persempadanan semula ini adalah untuk mengukuhkan UMNO itu tidak betul, dan hanya provokasi pembangkang semata-mata.

“Sekiranya Azmin yakin bahawa persempadanan semula itu hanya untuk mengukuhkan UMNO, sudah pasti beliau tidak akan menolak mentah-mentah cadangan yang diberikan oleh penasihat Dap itu dan mungkin beliau akan mempertimbangkan cadangan penasihat Dap itu sebelum SPR memuktamadkan persempadanan semua tersebut,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Subang tidak menolak bahawa kemungkinan besar penolakan Azmin terhadap cadangan mengadakan piliahnraya mengejut itu adalah disebabkan beliau tidak mahu memperjudikan jawatan Menteri Besar yang disandangnya sekarang ini.

“PKR juga sedar, dalam senario politik pembangkang hari ini, mereka tidak begitu yakin bahawa sokongan rakyat terhadap kerajaan PKR kini berada di tahap yang selamat. Azmin tahu, isu-isu pertelagahan serta pertelingkahan dalaman pembangkang, serta prestasi baik yang diperlihatkan BN ketika PRN Sarawak dan PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar memungkin kerajaan yang diterajuinya goyah pada PRU kali ini.

“Manakala Lim Kit Siang pula saya lihat beliau mahu mengadakan pilihanraya segera di Selangor kerana bimbang dengan pengaruh Dap yang semakin merosot terutamanya dalam PRN Sarawak baru-baru ini. Kekalahan pembangkang di dua PRK sebelum ini dengan BN dengan majoriti yang besar juga menjadi igauan Kit Siang, di mana penolakan rakyat terhadap pembangkang semakin jelas apabila 50 peratus kaum Cina di dua PRK tersebut kembali memberikan sokongan terhadap BN,” jelasnya.

Kesimpulannya menurut beliau, parti-parti pembangkang ini sebenarnya bertindak bergantung kepada keuntungan parti masing-masing dan bukannya bertindak di atas kepentingan bersama.

“Pembangkang biarpun cuba memperlihatkan mereka ini bergabung dan bersatu, namun mereka tidak dapat menutup sikap mementingkan diri sendiri yang begitu terserlah dan nampak di mata rakyat. Ketika PRN Sarawak, mereka sesama sendiri bergaduh dan bertelagah sehingga menyebabkan pembangkang kalah teruk dan kehilangan kerusi dalam PRN tersebut.

“Ketika PRK di Sungai Besar baru-baru ini, konflik dalaman PKR dan pembangkang telah menyebabkan pihak pembangkang gagal memobilasikan jentera mereka dengan berkesan dan akibatnya, mereka kalah teruk dalam PRK tersebut apabila BN memperolehi majoriti yang lebih besar dari PRU ke 13 sebelum ini.

“Justeru itu saya menyeru rakyat di negara ini, khususnya di Selangor agar tidak lagi bergantung harap kepada gabungan parti-parti pembangkang yang tidak stabil, tidak habis-habis berpolitik sesama sendiri sehingga menyebabkan janji-janji mereka tidak tertunai dan kebajikan rakyat pula terabai,” tegasnya.